Apabila diberi peluang bekerjasama dengan syarikat penerbitan dari Sabah, Malaysia, melalui filem Mantera, pelakon veteran, Namron, mengakui apa yang dilalui memberi pengalaman berbeza.
Namron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, 55 tahun, berkata pengalaman bekerja di bawah pengarahan sutradara, Chester Pang dan pasukan penerbitan dari Sabah iaitu Pro Merge Vision Sendirian Berhad, membuka matanya.
“Seronok ‘shooting’ di Sabah. Ketika kami lakukan penggambaran, ada empat lagi syarikat yang melakukan perkara sama dan semuanya adalah penerbitan tempatan.
“Rata-ratanya, syarikat penerbitan di Sabah bergerak sendiri. Mereka melakukan promosi dan menghantar naskhah ke luar negara.
“Saya terkejut apabila melihat kerja filem di Sabah sangat aktif,” lapornya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Menerusi Mantera, Namron menghidupkan watak sebagai Sarjan Ramli, iaitu anggota polis dari Semenanjung yang ditugaskan untuk menyiasat satu kes mistik di Tambunan, Sabah.
Ia diilhamkan daripada kisah Bobolian atau bomoh yang sinonim dengan kaum Dusun di Sabah.
Selain itu, Namron berkata, Pang mengambil daya usaha mengumpul anak-anak seni di Sabah untuk diketengahkan di arus perdana.
“Ini boleh dikatakan usaha yang agak baru buat mereka di Sabah. Syukur mereka di Sabah juga terima bantuan seperti Dana Kandungan Digital (DKD),” katanya.
Namron berkata, biarpun syarikat penerbitan di Sabah tidak mempunyai peralatan lengkap, mereka bijak dalam menggunakan kreativiti untuk menjayakan karya mereka.
“Apabila menjayakan penggambaran di Sabah, saya boleh lihat syarikat penerbitan di Kuala Lumpur boleh dikatakan agak mewah daripada segi kelengkapan.
“Namun, di Sabah, kelengkapan agak terhad dan tidak secanggih di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, mereka kreatif dalam menggunakan peralatan yang ada.
“Pasukan kerja mereka juga tidak ramai seperti kumpulan penerbitan di Semenanjung Malaysia seperti Astro Shaw dan sebagainya. Namun, mereka saling membantu dan semuanya dari Sabah,” ceritanya lagi.
Namron turut berharap pengkarya di Sabah lebih diberikan perhatian supaya lebih bersemangat untuk terus menghasilkan karya bermutu yang mampu membanggakan industri perfileman Malaysia.
“Saya nampak peningkatan mereka berbanding sebelum ini. Rasanya kalau mereka terima dana lebih besar, pastinya boleh menghasilkan karya yang lebih baik.
“Sudah tentu mereka (pengkarya di Sabah) suarakan mengenai agihan. Namun, saya puji semangat dan kerjasama mereka.
“Pengkarya di Sabah menyokong antara satu sama lain. Kurang kita tahu bahawa 10 panggung ‘indie’ di Sabah, dibangunkan di rumah kedai sahaja.
“Mereka menayangkan filem di panggung wayang mereka sendiri. Mereka menayangkan filem asing, namun, beri lebih ruang kepada filem Sabah.
“Mereka bukan sahaja menghasilkan filem, malah memikirkan bagaimana untuk memasarkan filem mereka,” ulasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg