Biarpun bergerak solo, penyanyi Malaysia, Naqiu, tidak pernah melupakan rakan seperjuangan dalam kumpulan Boboy, lebih-lebih lagi ketika mencipta nama dalam arena muzik bersama sejak 2001.
Berkawan lebih dua dekad, Naqiu mengakui hubungan mereka kekal utuh, malah tidak ubah seperti adik-beradik.
Sehubungan itu, Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 39 tahun, menafikan kumpulan Boboy sudah berpecah.
“Kami dalam Boboy bukan sekadar anggota band, tapi hubungan sudah dianggap adik-beradik.
“Dalam seminggu, sekurang-kurangnya tiga atau empat hari, saya akan habiskan masa ‘melepak’ dengan mereka.
“Cuma, orang tidak tahu kami masih ‘lepak’ atau main muzik bersama. Kadang-kadang, kami ‘layan’ muzik dan kenang pengalaman lalu terutama ketika zaman sekolah.
“Bagaimanapun, untuk band Boboy berpecah tidak sama sekali. Kami hanya nikmati momen sebagai adik-beradik dan sahabat.
“Cuma, kami tidak aktif. Bagaimana 25 tahun lalu, begitu jugalah kami sekarang,” kata Naqiu dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Naqiu turut berkongsi beliau mempunyai perancangan untuk menjayakan konsert bersama Boboy di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau masih menantikan ruang dan peluang yang tepat.
“Dengan Boboy sudah tentu saya perlu buat sebab kami belum pernah adakan konsert (di Malaysia).
“Namun, Boboy pernah sekali buat konsert di Brunei.
“Jadi, saya kena fikir untuk buat sesuatu dengan mereka (anggota Boboy lain).
“Malah, single yang saya hasilkan sebagai penyanyi solo sudah mencapai 10 lagu.
“Mungkin apabila saya sudah ada berbelas lagu, boleh fikirkan perancangan ‘showcase’ atau konsert,” kata penyanyi asal Johor itu.
Terdahulu, Naqiu pernah menyepi dari bidang hiburan selama 12 tahun dek komitmennya kepada keluarga.
Dalam tempoh itu, beliau turut menumpukan perhatian sebagai penyanyi kelab bagi menjana pendapatan.
Pada 2019, nama Naqiu kembali ke carta popular setelah dinobatkan juara dalam program nyanyian realiti, Gegar Vaganza Musim 6 (GV6), bersama penyanyi Singapura, Hady Mirza.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg