Topik diikuti
Pergi ke BHkuPak Nil imbas detik korbankan kerjaya stabil demi impian seni
Pak Nil imbas detik korbankan kerjaya stabil demi impian seni
Bukan mudah untuk seseorang pengacara terus bertahan lebih empat dekad dan kekal relevan dalam dunia seni seperti pengacara, pelakon dan penyanyi, Datuk Aznil Nawawi.
Anak jati Kuala Lumpur, yang mesra disapa Pak Nil itu, berhasil menempa nama sebagai antara pengacara tersohor Malaysia hasil disiplin dan kerja keras, sekali gus meraih nama julukan ‘Pengacara Nombor Satu Negara’.
Nama Aznil, 64 tahun, juga mula ‘naik’ sekitar 1990-an menerusi program hiburan Pop Kuiz dan Melodi serta terus menempa populariti menerusi program realiti terkenal, Akademi Fantasia, sejak 2003.
Beliau juga mencipta fenomena menerusi program kanak-kanak seperti Macam-Macam Aznil (2004) dan Tom Tom Bak (2007).
Namun begitu, ramai yang tidak tahu sejarah awal Aznil yang memang sukakan kelainan dan tidak suka mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain kerana mahu menjadi ‘trendsetter’ (pencetus trend) sejak kecil lagi.
“Sejak kecil saya suka buat benda yang orang lain tak buat. Kalau orang lain buat sesuatu macam ini, saya akan fikir kenapa kita nak buat benda yang sama?
“Jadi, saya akan buat benda yang lain dan kalau orang tak suka, terpulanglah.
“Saya memang tak boleh hidup dalam suasana yang sama dengan orang lain kerana suka bawa kelainan,” katanya dalam laman Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Aznil, kecenderungan itu dapat dilihat sejak beliau berada di sekolah rendah apabila memilih menyertai pertandingan membaca Rukun Negara.
Malah, sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau sudah menunjukkan bakat kepimpinan dan kreativiti apabila menubuhkan kumpulan boria sendiri ketika berada di darjah satu dan dua, selain mengetuai kumpulan itu serta menulis lirik persembahan.
“Kalau setakat menari, menyanyi atau bercerita, ramai murid lain sudah buat. Tapi saya suka benda yang orang lain tak buat macam siapa nak baca Rukun Negara?
“Ketika melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, saya juga mengambil inisiatif menubuhkan pasukan bahas sendiri untuk menyertai pertandingan di Kuala Lumpur.
“Tanpa bergantung kepada pihak sekolah, saya bersama rakan-rakan menguruskan penyertaan kami sendiri sehingga pasukan juga berjaya menjadi juara dan saya turut dinobatkan pendebat terbaik,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Aznil akur penjelasan juri mengenai pendekatan yang digunakan ketika berdebat turut meninggalkan kesan pada dirinya.
“Saya tanya juri kenapa saya dipilih sebagai pemenang dan mereka cakap cara saya berbeza daripada peserta lain.
“Mereka juga beritahu, saya ada selera jenaka dan boleh buat orang ketawa.
“Cara saya bercakap lebih macam bercerita dan bukan macam peserta lain.
“Dari situlah, saya tahu kalau kita nak jadi sesuatu, kena buat kelainan,” ujarnya.
Sebelum mencipta nama sebagai antara pengacara tersohor Malaysia, Aznil pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat perkapalan selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya (UM).
Langkah awal Aznil dalam dunia hiburan bermula secara kebetulan apabila beliau didekati seorang pencari bakat di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang untuknya menjadi model iklan secara sambilan.
Bagaimanapun, Aznil mengakui pada mulanya beliau kurang yakin untuk menceburi bidang tersebut kerana kebanyakan model iklan komersial ketika itu memiliki wajah kacukan atau berpenampilan Pan-Asia.
“Pada awalnya, saya kurang yakin dan berasa rendah diri kerana kebanyakan model iklan komersial ketika itu memiliki wajah kacukan atau berpenampilan Pan-Asia.
“Apabila iklan Cadbury itu disiarkan dan gambar saya terpampang dalam akhbar, barulah saya mula yakin dengan kemampuan diri.
“Selepas itu, saya menerima tawaran membintangi iklan jenama lain seperti Colgate, Nescafe dan Pepsi,” kongsinya.
Bagaimanapun, kegiatan sambilannya itu akhirnya diketahui pihak pengurusan syarikat perkapalan tempat beliau bekerja sehingga menyebabkan Aznil menerima surat amaran.
Ketika minatnya terhadap dunia seni semakin mendalam, Aznil berdepan pilihan antara mengekalkan pekerjaan tetap atau meneruskan kerjaya sebagai model iklan.
Beliau akhirnya nekad meletak jawatan dengan notis 24 jam pada 1984.
“Saya semakin seronok menjadi model iklan dan minat terhadap dunia seni juga semakin mendalam.
“Jadi, apabila menerima surat amaran daripada pihak syarikat, saya nekad berhenti kerja dalam tempoh 24 jam dan meninggalkan kerjaya tetap ketika itu,” kata Aznil.