Sebagai pendatang baru dalam dunia lakonan, pelakon Malaysia, Hana Tiha, berkongsi bahawa beliau sanggup mengubah penampilannya demi memenuhi tuntutan watak.
Tidak mahu hanya menayangkan wajah cantik, sebaliknya Hana, atau nama sebenarnya, Nur Fatiha Natenan, 27 tahun, berkata beliau bersedia bereksperimentasi dengan pelbagai gaya berbeza.
Malah, beliau mengakui tiada masalah mencukur rambutnya hingga botak sekiranya diminta oleh pihak penerbitan.
“Saya sebenarnya lagi suka ubah penampilan untuk jayakan apa-apa watak, kadangkala saya yang cadangkan kepada pihak produksi.
“Saya tak mahu sekadar cantik depan skrin malah saya mahu tunjukkan sisi lain saya kepada penonton.
“Kalau diminta saya botakkan kepala pun saya sanggup demi tampilkan yang terbaik untuk setiap watak,” katanya ketika dihubungi mStar.
Berkongsi pengalaman terpaksa memotong dan mewarnakan rambut demi watak, Hana memberitahu tindakannya itu merupakan bukti bahawa beliau serius berada dalam industri seni.
Malah, Hana mahu mencipta nama dengan bakat dan kesungguhan dan bukannya dengan gosip semata-mata.
“Sebelum ini saya pernah dapat watak yang memerlukan saya potong rambut pendek dan warnakan rambut biru, itu kali pertama saya ubah penampilan saya demi jayakan watak.
“Saya rasa ini usaha saya untuk orang di luar sana lihat dan kenal bakat yang ada dalam diri saya.
“Tetapi yang paling penting, saya nak mereka nampak kesungguhan saya bekerja untuk hidupkan setiap watak,” kongsinya.
Hana juga turut memaklumkan beliau merupakan cucu saudara kepada pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hasan.
Menurutnya, beliau mula berminat untuk terlibat dengan dunia seni selepas menonton lakonan datuk saudaranya itu di televisyen sejak kecil.
“Saya mula berminat jadi pelakon selepas tengok datuk saudara saya berlakon.
“Sejak kecil, saya rasa berlakon ini macam menyeronokkan dan tak sangka pula bila dah besar akan terlibat dengan dunia lakonan,” kongsinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg