Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon lagak ngeri Indonesia, Iko Uwais, intai peluang di M’sia

Dec 29, 2025 | 6:32 PM
Iko Uwais,
Pelakon Indonesia, Iko Uwais, terbuka dalam menimbang tawaran bekerja di bawah penerbitan Malaysia jika diberi peluang. - Foto INSTAGRAM IKO UWAIS

Bintang filem aksi Indonesia, Iko Uwais, terbuka dalam menimbang tawaran bekerja di bawah penerbitan Malaysia jika diberi peluang.

Malah, beliau yang kini berusia 42 tahun itu mengakui sanggup mengosongkan jadual seni demi merealisasikan hasrat itu.

Iko, yang turut dikenali sebagai pelakon lagak ngeri, mengakui kerjasama rentas sempadan mampu memperkukuh karya aksi di rantau ini.

Apatah lagi, beliau berkata Indonesia dan Malaysia adalah dua negara serumpun.

Perkara itu bergantung sekiranya ada penerbitan dari Malaysia. 

“Saya terbuka sepenuhnya dan sanggup mengosongkan jadual.

“Jika ada penerbitan Malaysia yang berminat, saya dengan senang hati bersedia untuk berkolaborasi. Kita berasal daripada rumpun yang sama. Kita boleh bersama-sama memajukan dunia filem aksi di Asia.

“Apabila kita bersatu, kita dapat tampilkan kepelbagaian budaya dan menjadikannya satu kekuatan yang kaya,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau ditemui BHM selepas malam gala filem sulung arahannya berjudul, Timur, di pawagam GSC Midvalley Megamall, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Beliau tidak lagi asing dalam industri perfileman setempat mahupun antarabangsa. 

Dengan seni bela diri silat yang dikuasai serta keterampilannya di hadapan kamera, Iko menjadi antara figura disegani terutama dalam arena filem aksi.

Pelakon kelahiran Jakarta, Indonesia, itu terkenal dengan pelbagai filem aksi seperti, The Raid (2011) dan The Raid 2 (2014), yang mencipta fenomena dan meraih kutipan pecah panggung.

Selain itu, Iko memulakan kerjaya dalam arena perfileman Hollywood menerusi filem, Man of Tai Chi, pada 2013, yang turut menampilkan bintang terkenal, Keanu Reeves. 

Iko juga pernah membintangi filem, Star Wars: The Force Awakens (2015).

Kini, beliau menguji kebolehan sebagai pengarah menerusi filem aksi, Timur, yang turut menampilkan dirinya sebagai teraju utama.

“Saya pilih untuk sahut cabaran ini. Saya mahu teroka dan meluaskan lagi pengalaman. Dengan pengalaman yang saya miliki di peringkat tempatan dan antarabangsa, saya juga dapat berkongsi ilmu serta pandangan yang diperoleh sepanjang kerjaya saya,” ujar Iko.

Timur mengangkat tema persaudaraan, pengorbanan dan konflik dalaman yang dipersembahkan melalui penceritaan emosi serta aksi sinematik yang realistik.

Filem itu mengisahkan seorang anggota pasukan khas bernama Timur (lakonan Iko Uwais), yang mengetuai misi menyelamat berisiko tinggi di kawasan hutan belantara bagi membebaskan sekumpulan penyelidik yang diculik oleh kumpulan bersenjata. 

Namun, misi yang pada awalnya bersifat kemanusiaan itu perlahan-lahan bertukar menjadi perjalanan penuh cabaran apabila Timur terpaksa kembali ke tanah kelahirannya.

Filem Timur ditayangkan di pawagam di Malaysia pada 1 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg