Di dalam suasana sunyi Studio Resital Esplanade sementara menanti persembahan bermula, saya bersama penonton lain masing-masing menyimpan pelbagai rahsia – termasuk rasa gusar, takut dan kerinduan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Pada ketika itu, timbul satu persoalan di fikiran bahawa hanya mereka yang pernah dihimpit derita akibat suatu pemergian mampu mengenali dan memahami makna di sebalik objek harian yang melingkari hidup mereka.

Sempena Pesta Raya 2026, saya berpeluang menonton pementasan boneka, PUNO: Sewing Memories, yang dipersembahkan oleh kumpulan teater dari Yogyakarta, Indonesia, Papermoon Puppet Theatre, di Studio Resital Esplanade, pada 17 April.

Karya yang dihasilkan oleh pengarah dan penulis asal Indonesia, Maria Tri Sulistyani, itu berhasil menemukan keindahan dalam sesuatu yang tampak biasa menerusi kisah anak perempuan, Tala (didalangkan Beni Sanjaya), yang berusaha meneruskan perjalanan hidup selepas pemergian ayahnya yang juga tukang jahit, Puno (Anton Fajri).

Persembahan dibuka dengan gelak tawa penonton yang bergema ketika salah seorang pelanggan sedang membuat tempahan baju, namun mudah rasa geli sewaktu Puno mengambil ukuran badannya.

Menariknya lagi, adegan tersebut turut melibatkan seorang penonton yang dijemput ke pentas bagi menyertai adegan lucu itu.

Sepanjang sejam, pementasan itu berlangsung tanpa dialog.

Ia hanya berlandaskan rangkaian gerak tangan, gumaman dan ujaran nama ‘Puno’ dan ‘Tala’, diselang-seli dengan babak tarian.

Antaranya termasuk satu tarian memukau antara Puno dengan isterinya (didalangkan Beni Sanjaya), diselubungi selendang panjang.

Tarian itu semakin memuncak sebelum seorang bayi muncul dalam dakapan Puno.

Namun, itulah kemunculan terakhir isterinya yang memudar daripada penglihatan penonton, meninggalkan hanya selendang yang menyelubungi Puno sebagai satu-satunya kenangan buatnya.

Ketika Tala bermain dengan pelbagai objek harian di rumah – antara kain yang berselerak di atas meja, pakaian yang tergantung pada papan putih seakan kanvas, serta mesin jahit milik ayahnya – kami menyaksikan Puno gigih membaiki perahu kertas anaknya, bermain bersama sebagai penjelajah di atas ‘kapal’ kanvas buatan, malah memberi peluang kepada Tala mencuba mesin jahit tersebut.

Namun, detik paling menonjol muncul hampir di akhir pementasan.

Ketika Puno menjahit, beliau mula terbatuk berterusan dan dua benang yang disambungkan pada sebatang tiang serta mesin jahitnya – sebelum ini diikat oleh Puno dan Tala ketika mereka bermain – terputus.

Benang yang terputus itu seolah-olah mencerminkan berakhirnya hayat Puno secara mendadak; rohnya terurai dan lenyap ke dalam kegelapan.

Di sinilah suasana berubah secara mendadak menjadi suram dan gerun.

Dengan arahan muzik oleh Iwan Effendi dan gubahan oleh Yennu Ariendra, pentas diselubungi cahaya merah pekat dan latar muzik yang dramatik; Puno terapung di udara, bertukar menjadi satu tarian seperti sedang ‘bergelut’ mempertahankan hayatnya untuk terus hidup.

Teknik seni boneka yang diinspirasikan daripada seni boneka kuruma ningyo dan bunraku dari Jepun terserlah dengan jelas apabila tiga orang dalang menggerakkan anggota tubuh Puno dengan penuh teliti ketika itu, bersama iringan muzik, sebelum Puno akhirnya terlantar di ranjang kematian.

Apabila cahaya lampu sorot menyelimuti jasadnya, keheningan di sekeliling terasa amat mencengkam.

Hanya sesekali kedengaran esakan halus daripada penonton.

Pementasan selama sejam itu sarat dengan keajaiban – para seniman berjaya menghidupkan boneka di pentas dengan begitu berkesan, manakala set buatan yang sederhana berfungsi dengan baik dalam memperkenalkan pelbagai latar dan suasana.

Meskipun pengakhirannya terasa agak mendadak, setiap pergerakan boneka tetap bergema kuat sarat dengan makna.

Namun, pementasan itu bukan semata-mata tentang merungkai maknanya.

Sebaliknya, empati menjadi keutamaan yang mengajak penonton untuk berdiam diri sejenak dan menyelami perasaan duka yang turut dirasai oleh mereka.

Walaupun berdepan dengan perpisahan, kelembutannya tetap terasa. Tala menyambung semula benang yang telah terputus pada mesin jahit.

Beliau menemukan kestabilan, berdiri di atas benang itu, meneruskan perjalanan dengan perahu kertas yang digenggamnya – kini menjadi kenangan peninggalan ayahnya – sementara Puno, yang terapung di udara, seakan membimbing langkah anaknya.

Mereka yang telah pergi mungkin tetap hadir dalam jiwa, namun mustahil untuk mereka kembali semula; hanyalah berlegar sebagai suatu memori.

Setelah menonton pementasan itu, saya pulang dengan rasa yang sukar dihuraikan.

Persoalannya, apakah mungkin rasa syukur diucapkan atas rasa nikmat – daripada pandangan, sentuhan, dan dakapan insan tersayang – sebelum ia ditarik, lalu pudar dan lesap, hanyut menjadi suatu rindu?

Namun begitu, kerinduan yang kadang muncul terhadap mereka yang sudah tiada kadang juga ditepis dengan mudah, bersembunyi di sebalik pedihnya sebuah kehilangan.

Dan ada juga insan yang membesar dalam runtuhan konflik, di tengah-tengah medan perang, yang tidak pernah rasai sentuhan dan dakapan daripada orang tersayang, bak kerinduan yang tiada kesampaian.

Tala berdiri di tengah lautan perahu kertas, dilimpahi cahaya keemasan sebelum kegelapan, untuk kali terakhir, menyelubungi pentas.