Pencipta kandungan seram sahut cabaran baru dalam dunia lakonan
Pencipta kandungan seram sahut cabaran baru dalam dunia lakonan
Kandungan berteraskan genre seram kini semakin menjadi kegilaan ramai dalam kalangan masyarakat Melayu, dan kian berkembang di laman media sosial bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Bermula dengan video pendek berkonsepkan ‘POV’ atau sudut pandangan di YouTube pada 2019, jenama kandungan seram, True Horror Stories POV, kemudiannya berkembang dengan format vodcast.
Pendek kata, pada awalnya, True Horror Stories POV terkenal kerana menghasilkan video lakonan semula berasaskan kisah benar yang dikongsikan penonton.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, antara karya paling mencuri tumpuan ialah video berjudul, The Last One, yang mencatatkan sebanyak 2.7 juta tontonan di YouTube.
Tak cukup ‘seram’ dengan unsur visual, jenama kandungan seram itu turut memperluaskan kandungan mereka ke platform audio menerusi podcast, THSPOV On Air, di Spotify.
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) di Mediacorp Campus, pengasas yang juga pencipta kandungan True Horror Stories POV, Siti Naqiah Ayub, 35 tahun, berkata kandungan seram kini semakin diterima masyarakat dan tidak lagi dianggap tabu, sebaliknya dilihat sebagai ‘hiburan’.
“Sampai sekarang, saya masih terima komen negatif seperti – ‘Tak ada kandungan lain ke, asyik-asyik content seram?’ – termasuk dalam kalangan keluarga sendiri.
“Namun, lama-kelamaan, mereka sedar inilah genre yang akan selalu menjadi bualan masyarakat,” katanya, yang lebih mesra disapa Naqiah.
Sebelum tampil dengan format vodcast, Naqiah mengakui pasukannya hanya terdiri daripada tiga orang kakitangan.
Kini, jenama itu memiliki kakitangan sebanyak sembilan orang bagi mengisi pelbagai peranan dalam penghasilan kandungan di media sosial.
Bagi Naqiah, cabaran terbesar dalam mengekalkan mutu kandungan adalah menghasilkan bahan yang menarik, memandangkan selera penonton berbeza dan segelintir daripada mereka sukar menerima perubahan.
“Pada awalnya, kandungan bersiri, Real or Not, yang lebih mesra keluarga, agak sukar diterima penonton kerana berbeza daripada kandungan sebelum ini.
“Saya juga menambah unsur interaktif supaya penonton boleh meneka sama ada situasi seram yang dipaparkan itu benar atau rekaan.
“Namun, lama-kelamaan semakin ramai yang mula menyukainya.
“Jadi, menghasilkan kandungan baru yang segar memang mencabar.
“Kita tidak boleh cepat berputus asa walaupun kadangkala hasilnya lambat mendapat sambutan,” ujar Naqiah.
Malah, kini Naqiah juga sedar jenama True Horror Stories POV mempunyai pengikut daripada kalangan bukan Melayu.
Melihat kandungan seram semakin bermaharajalela di media sosial, beliau akur berasa bimbang melihat terdapat kandungan seram yang melampaui batas demi menjana tontonan tinggi.
“Pada tahap tertentu, walaupun kami menghasilkan kandungan seram, tetapi ada batasnya.
“Namun, saya melihat ada sesetengah kandungan yang agak membimbangkan dan melampaui batas, mungkin kerana mereka mahu tampil berbeza daripada kandungan seram lain yang ada di media sosial.
“Secara peribadi, bagi saya, di situlah bahaya sebenar.
“Pada akhirnya, kita tidak seharusnya melupakan ajaran agama,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Naqiah menyahut cabaran berlakon di kaca televisyen menerusi program realiti terbitan Oonik di Mediacorp Suria iaitu, Berani Lakon!.
Bagai ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’, Naqiah perlu menyesuaikan diri kerana kini tidak lagi berada di sebalik kamera, sebaliknya berada di ruang rakaman yang lebih besar dan menuntut cabaran berbeza.
“Apabila berada di depan kamera, kalau tersilap cakap, ia masih boleh dipotong atau disunting.
“Berbanding di atas pentas atau studio rakaman bagi program hiburan seperti ini, kita perlu menghafal skrip dengan teliti dan mengikut latihan yang telah dibuat,” katanya, yang juga sedang hamil enam bulan sewaktu rakaman berlangsung.
Perbezaan ini dirasakan paling ketara dalam pusingan monolog apabila Naqiah perlu menghafal skrip dengan teliti bagi mengelakkan tersasul semasa rakaman.
“Saya sedar perkara ini ketika sedang melakukan monolog pada pusingan pertama dalam Berani Lakon!.
“Kalau tersasul disebabkan gugup, rasa macam ‘game over’ (kehabisan peluang).
“Jika situasi itu berlaku pada saya, maka habislah!
“Saya mungkin tidak akan dapat peluang lagi untuk menonjolkan bakat lakonan dalam pusingan seterusnya.
“Namun, yang pasti, inilah kebimbangan yang dirasai oleh setiap peserta, terutama kerana ramai di antara kami merupakan pencipta kandungan,” seloroh Naqiah.
Berani Lakon! boleh ditonton setiap Selasa, mulai 8.30 malam di Mediacorp Suria, serta melalui aplikasi mewatch dan laman, YouTube Mediacorp Entertainment.

