Penyanyi Malaysia, Farisha Iris, 26 tahun, tidak serik kembali bercinta meskipun pernah gagal dalam perhubungan sebelum ini.
Bagaimanapun, Farisha atau nama sebenarnya, Farisha Asmadi, berkata beliau lebih berhati-hati dalam perhubungan dan belajar tidak berkongsi kisah peribadi sebelum bergelar isteri.
“Saya okey sahaja dan tiada masalah. Saya tak trauma ataupun serik. Namun, saya lebih selesa tidak menghebohkan hubungan kepada sesiapa.
“Dunia sekarang menakutkan, saya tak nak menyalahkan penyakit ‘ain’ (perasaan iri hati), jadi masih berjaga-jaga. Kalau sah bergelar isteri barulah boleh berkongsi cerita.
“Kalau berkahwin saya takkan sorok, tapi saya bukan popular mana nak umum pada semua orang,” lapornya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, pada masa sama, naib juara peraduan realiti nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil Musim Keempat itu berkongsi, beliau sedang mengenali hati budi seseorang dan enggan mendedahkan identiti jejaka berkenaan.
Farisha menambah, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu banyak berkongsi dan hanya mengharapkan yang terbaik.
“Saya sekarang sedang mengenali seseorang, tapi siapakah jejaka ini, biarlah rahsia.
“Tak mengapa kenal lama-lama, takut nanti berjumpa dengan lelaki baran atau sebagainya. Saya lebih suka lelaki pendiam.
“Jadi, minta doa yang baik-baik sahaja,” tambahnya.
Bagi dirinya, beliau sedang menikmati kehidupan, lantas perkahwinan bukanlah suatu yang dikejar, buat masa ini.
“Saya datang beraya pun orang bertanya bila mahu kahwin? Tak pasti mengapa orang bertanya dan mengapa orang ukur kejayaan dengan perkahwinan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Farisha mengakui sekarang sedang seronok berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang komunikasi sejak September 2024 di sebuah pusat pengajian swasta.
Bekas peserta, Big Stage Musim Ketiga itu juga kini melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi dan Media di UiTM Shah Alam, Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg