Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjuangan pikat anak muda cintai, pelihara seni genderang Melayu diiktiraf

Pengasas bersama Nadi S’pura, Yaziz Hassan, terima Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) 2024
Apr 3, 2025 | 5:30 AM
Pengarah dan pengasas bersama kumpulan genderang, Nadi Singapura, Yaziz Hassan, berasa perlu untuk mengadakan komunikasi dua hala sesama penggiat seni sekali gus memperbaiki diri mengikut peredaran zaman, demi memastikan seni dan budaya Melayu kekal relevan.
Pengarah dan pengasas bersama kumpulan genderang, Nadi Singapura, Yaziz Hassan, berasa perlu untuk mengadakan komunikasi dua hala sesama penggiat seni sekali gus memperbaiki diri mengikut peredaran zaman, demi memastikan seni dan budaya Melayu kekal relevan. - Foto NHB

Pengalaman membawa ‘rangka kosong’ atau bingkai rebana ke sebuah pesta budaya Melayu di Pekanbaru, ibu kota Riau, Indonesia, pada 1997, telah membuka mata Yaziz Hassan, pemain muzik tradisional Melayu, untuk mendalami seni membuat dan membaiki alat genderang.

Semasa berada di pesta berkenaan, kejadian yang berlaku menyedarkan Yaziz atau nama sebenarnya, Mohamed Yaziz Mohamed Hassan, 50 tahun, tentang pentingnya ilmu penjagaan dan pembaikan alat genderang, khususnya gendang.

“Pada 1997, saya mewakili Persatuan Kemuning Singapura untuk ke pesta budaya Melayu di Pekanbaru, di bawah naungan Majlis Pusat.

“Di festival tersebut, kulit rebana saya koyak. Saya pun terfikir, ‘macam mana saya nak main rebana kalau koyak?’

“Bertemu pula saya dengan seorang pak cik di sana, yang merupakan pakar baiki gendang.

“Hanya dalam masa 24 jam, beliau menukarkan kulit rebana saya, proses yang biasanya akan mengambil masa beberapa hari,” kata Yaziz, dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian (BH) pada 1 April.

Beliau yang berusia 22 tahun ketika itu, terangsang untuk mendalami ilmu membaiki gendang kerana meyakini pemuzik bukan sahaja perlu mahir memainkan alatnya, malah perlu memahami seni penjagaan, pembaikan dan pembuatannya juga.

Di atas ketekunannya memperjuangkan seni paluan gendang selama hampir 30 tahun, Yaziz menjadi antara lima penerima Anugerah Peneraju Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) 2024, pada 2 April, di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Galeri National Singapura.

Acara itu dirasmikan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Empat penerima lain ialah pencipta barang kemas dan aksesori kebaya Peranakan, Thomas Kwan; pelukis ‘rangoli’, Vijayalakshmi Mohan; pengusaha teh warisan, Pek Sin Choon (diwakili generasi keempat keluarga usahawan teh, Kenry Peh); dan pengusaha pastri Cina, Thye Moh Chan (diwakili Pengerusi BreadTalk Group, George Quek).

Anugerah yang disampaikan Lembaga Warisan Negara (NHB) itu, mengiktiraf sumbangan cemerlang Yaziz dalam usaha melestarikan warisan muzik Melayu di Singapura dan seni membuat dan membaiki alat genderang Melayu.

Setiap penerima Anugerah ICH, sama ada individu atau pertubuhan, akan menerima piala, sijil penghargaan, serta hadiah wang tunai $5,000.  

Mereka turut berpeluang memperolehi geran hingga S$20,000 bagi melaksanakan projek yang mendapat kelulusan NHB.

Dalam wawancara bersama BH, Yaziz mengakui pada awal-awal melibatkan dirinya dalam bidang ini, adalah sukar menghubungi pakar baiki alat genderang setiap kali alat muzik itu rosak.

Ini disebabkan ketiadaan media sosial pada ketika itu, lantas beliau terdorong mempelajari selok-belok pembaikan alat gendang semasa terlibat dalam pesta seni dan budaya luar negara seperti di Pekanbaru, Karimun, Medan dan Tanjung Pinang, Indonesia.

“Apabila mendapat peluang terlibat dalam pesta seni di Indonesia, saya akan bertanya kepada pakar buat dan baiki gendang, untuk mendapatkan ilmu soal penjagaan, pembaikan dan pembuatan genderang daripada mereka,” ujar Yaziz, yang meminati seni muzik tradisional Melayu sejak berumur 10 tahun.

Kini, Yaziz selaku pengarah dan pengasas bersama kumpulan genderang tanah air, Nadi Singapura, menurunkan ilmu berkenaan kepada anggotanya.

Sebagai tulang belakang kumpulan itu, beliau yakin usaha memartabatkan dan memelihara budaya serta warisan Melayu harus bermula dengan memberi teladan yang baik kepada generasi muda.

“Ramai yang tanya saya, ‘apa yang harus anak muda lakukan untuk terus melestarikan seni?’

“Bagi saya, kita perlu mengubah pemikiran itu dan sebaliknya bertanya kepada diri sendiri, ‘apa yang kita lakukan supaya anak muda mempunyai minat dan rasa terangsang untuk meneruskan perjuangan ini?’

“Maka itu, saya percaya kita perlu berkongsi ilmu, sentiasa adakan komunikasi dua hala bersama penggiat seni rentas generasi dan memperbaiki diri kita, mengikut peredaran zaman demi kekal relevan,” singkap bapa empat anak itu.

Terdahulu, kumpulan genderang, Nadi Singapura, ditubuhkan pada 2011 setelah menyedari minat golongan muda terhadap pengaruh muzik Afrika dalam seni genderang Brazil, atau ‘Brazilian Batucada’.

Melihat keadaan itu, Yaziz dan rakannya, Muhammad Riduan Zalani, berasa terpanggil untuk menubuhkan kumpulan yang memainkan alat genderang tradisional Melayu dan Nusantara, sambil menambah unsur gerakan untuk menarik minat anak muda terhadap seni dan budaya Melayu.

“Kami tidak menyalahkan hal itu (minat pada seni genderang Brazil) kerana sewajarnya, kami juga ikut tertarik dengan aliran muzik tersebut, yang popular pada saat tersebut.

“Setelah melakukan beberapa tinjauan, kami dapati anak muda rasa kurang seronok bermain kompang sambil berdiri, tanpa unsur gerakan. 

“Dengan itu, kami berusaha memberi kelainan dalam cara memainkan alat tradisional seperti kompang, hadrah, rebana, caklempong dan jidur, supaya anak muda lebih tertarik memainkan alat muzik budaya sendiri,” tambahnya.

Sejauh ini, kumpulan genderang berkenaan telah membuat persembahan di lebih 10 negara seperti Korea, Uzbekistan, Vietnam, Thailand dan Taiwan.

Bahkan, setiap kali kumpulan itu membuat persembahan, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan dan di luar jangkaan mereka sendiri.

Ditanya mengenai perancangannya selepas menerima sokongan Anugerah ICH, Yaziz berharap dapat menunaikan rancangannya menerbitkan buku digital yang merangkumi langkah penjagaan dan pembaikan gendang, bagi kegunaan penggiat seni di Singapura.

Selain itu, beliau turut merakamkan rasa syukur dapat berkongsi ilmu dan mewariskan legasinya kepada penggiat seni, khususnya anggota Nadi Singapura.

“Anugerah ini memberi saya semangat baru untuk melatih lebih ramai anak muda dalam seni penjagaan dan pembaikan alat genderang. 

“Namun begitu, seni ini juga menuntut ahli muzik untuk melatih kesabaran, keikhlasan dan ketulusan dalam mengerjakan sebuah karya seni.

“Melalui anugerah ini juga, ia menunjukkan seni, budaya dan warisan Melayu di Singapura, dipandang dan diiktiraf oleh pemerintah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg