Raja Azura mohon bekas suami jumpa anak
SHAH ALAM: Pengacara dan pelakon terkenal, Raja Azura menggesa bekas suaminya, Adzmin Osman, agar tampil memberi peluang kepada tiga anak mereka bertemu serta mengenali bapa kandung sendiri.
Luahan itu disuarakan Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku selepas memikirkan permintaan anak-anaknya yang kali terakhir bertemu bapa mereka pada 2016, lapor Berita Harian Malaysia.
“Anak-anak saya sudah lama tidak berjumpa bapa mereka.
“Selepas kami berpisah, ada juga mereka bertemu, namun kali terakhir adalah ketika anak sulung saya berusia 13 tahun.
“Mereka selalu bertanya, ‘Mama, kalau ayah datang mahkamah, boleh tak kami berjumpa?’
“Mereka mahu beritahu dan tunjuk kepada ayah mereka bahawa mereka sudah dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada 20 Januari.
Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, Raja Azura menegaskan beliau tidak pernah menyimpan rasa dendam atau benci terhadap bekas suaminya, malah sentiasa membuka ruang agar anak-anak dapat bertemu bapa mereka.
“Saya tak pernah halang anak-anak kalau mereka mahu jumpa bapa mereka.
“Saya juga tidak pernah mengajar atau meminta anak-anak membencinya.
“Saya selalu mendidik anak-anak supaya menghormati bapa mereka walau apa juga keadaan,” katanya.
Sehubungan itu, Raja Azura menggesa Adzmin agar tampil memberikan kerjasama dalam urusan tuntutan nafkah di mahkamah, sekali gus membuka jalan kepada pertemuan bersama anak-anak.
“Jadi, Adzmin Osman, tolong beri ruang dan peluang kepada anak-anak awak.
“Pertimbangkan, fikirkan dan buang ego jauh-jauh.
“Setinggi mana pun ego kita, ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Saya mahu beritahu, anak-anak inilah yang suatu hari nanti akan menjaga dia jika dia sakit.
“Saya juga ada anak perempuan. Suatu hari nanti, jika dia berkahwin, pastilah dia mahu bapanya sendiri yang menjadi wali,” katanya.
Semasa prosiding, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan Raja Azura terhadap Adzmin.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Salehan Yatim, selepas berpuas hati dengan penjelasan serta keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung.
Peguam syarie yang mewakili Raja Azura, Encik Mohammad Amirul Hanizan, berkata permohonan berkenaan membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah, yang didakwa masih gagal dilaksanakan Adzmin sehingga kini.
Pada 10 September 2025, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya terhadap Adzmin, yang didakwa culas melaksanakan tanggungjawab nafkah mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin, anak kepada mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24 tahun; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23 tahun; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21 tahun.

