Orang Sunda biasanya dikatakan memiliki sifat sopan, ramah dan murah senyum.
Sejurus mewawancara penyanyi Indonesia yang dikenali dengan suara lantang dan serak-serak basah, Cakra Khan, 33 tahun, saya dapat rasakan pendapat itu tepat mencerminkan dirinya yang santai dan mudah diajak ‘ngobrol’ (berbual).
Penyanyi asal Pangandaran, Cakra, atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, mula dikenali dalam industri muzik sejak lagu ‘galau’ (perasaan kacau-bilau yang melanda selepas putus cinta) berjudul, Harus Terpisah, mendapat sambutan hangat pengamat seni hiburan dan muzik pada 2012.
Beliau ditemui Berita Minggu (BM) di Hotel Royal Plaza on Scotts pada 15 Jun ketika berada di Singapura bagi mempromosikan konsert solo sulungnya, Divine, anjuran Shiraz Projects.
Konsert itu dijadual berlangsung pada 18 Julai di The Star Theatre, bermula 8 malam.
“Rasa seronok dan gementar pasti ada. Bagi setiap pertunjukan (persembahan), saya akan mempersiapkan dengan baik.
“Alhamdulillah, peminat dan pasukan penerbitan memberikan sokongan yang amat memberangsangkan.
“Ini juga merupakan kali pertama saya adakan konsert solo. Sebab biasanya saya yang menjadi artis jemputan dalam konsert rakan artis lain,” kata Cakra kepada BM, dengan penuh keterujaan.
Selain lagu ‘wajib’ nyanyi, Harus Terpisah, Cakra juga bakal membawakan senarai beberapa lagu dalam album terbaru, Divine, seperti Broken Symphony, Kepada Hati, Cahaya, Sehebat Apapun Cinta, Salah Tapi Baik dan Kamu Adalah.
Bagi Cakra, album ini memiliki makna istimewa sepanjang kerjaya beliau dalam industri muzik kerana bukan sahaja menandakan kemunculan semula selepas 11 tahun album pertama diterbitkan, malah menjadi ruang untuk memperkenalkan karya muzik hasil kolaborasi bersama pemuzik serta penerbit ternama dari Indonesia dan Malaysia.
Di samping itu, anak bongsu dalam keluarga dua beradik itu, menyaring setiap lagu yang dimuatkan dengan teliti, termasuk beberapa ciptaan asli yang ingin beliau ketengahkan kepada peminat setia.
Lebih menakjubkan, lagu utama yang menghiasi album itu, Broken Symphony, adalah hasil ciptaan pemuzik muda Malaysia yang berbakat tinggi, Aisha Retno, dan diterbitkan oleh pemuzik dan komposer Indonesia, Petra Sihombing.
Lagu yang mengisahkan tentang perjuangan untuk keluar daripada hubungan toksik itu turut menjadi tumpuan dalam album terbaru Cakra, dengan melodi yang menyentuh hati, lirik yang mendalam serta susunan muzik orkestra yang megah.
Namun, bagi Cakra, lagu Kepada Hati, ciptaan bersama William Chow, Jeje dan Ade Govinda, tetap paling dekat di hatinya kerana sejajar menceritakan pengalaman hidup.
“Kalau soal lagu yang paling dekat di hati sekarang, tentunya Kepada Hati. Bagi saya, lagu ini memberikan saya galakan dan semangat.
“Dalam kehidupan, banyak pasang surutnya yang tidak kita ketahui.
“Apa pun yang terjadi, kita jalani sahaja kehidupan dengan seadanya.
“Sejujurnya, saya ‘anak galau’ sejati. Maka itu, saya lebih mudah tersentuh dengan lagu yang menyayat hati,” ulas Cakra.
Konsert solo pertama di Singapura bukanlah satu-satunya pengalaman baru bagi Cakra. Justeru, beliau sudah biasa dengan makanan setempat di sini.
Katanya, hidangan sup tulang Deen Tiga Rasa di pusat penjaja Golden Mile, yang sempat dinikmatinya sebelum wawancara bersama BM, berjaya mencuri perhatian dan kini menjadi salah satu perkara yang paling dinantikan setiap kali berkunjung ke Kota Singa.
Bercerita tentang bakat nyanyian pula, Cakra akur ia mula dikesan sejak usia kecil lagi.
Mengimbas kenangan di bangku tadika, beliau akui dirinya seorang anak ‘pertakilan’, perkataan yang sering digunakan orang Indonesia bagi kanak-kanak yang sangat aktif kerana sering menjadi orang pertama yang akan menawarkan diri secara sukarela untuk persembahan skala kecil di sekolah.
“Setiap kali ada persembahan kecil di tadika, guru akan bertanya siapa yang mahu tampil ke hadapan.
“Saya selalu jadi yang pertama, sebab hadiahnya adalah coklat berbentuk payung!
“Tapi lama-kelamaan, guru saya pun menyuruh saya untuk memberi peluang kepada kawan-kawan lain,” katanya sambil tertawa, mengenang detik manis itu.
Menyentuh artis jemputan pada konsert Divine, Cakra dengan penuh kegembiraan mengesahkan kehadiran penyanyi popular Malaysia, Ernie Zakri, dan komposer tersohor Indonesia, Ade Govinda, yang tular dengan lagu, Masing-Masing, bakal menambah lagi seri persembahan pada konsert itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai artis tempatan yang bakal melengkapkan persembahan konsert tersebut bagi mengekalkan elemen kejutan.
Dalam pada itu, Cakra memberi sedikit pembayang bahawa beliau pernah membuat persembahan bersama artis berkenaan.
Tiket bagi konsert Divine berharga antara $128 dengan $248 boleh ditempah melalui laman Sistic https://www.sistic.com.sg/events/cakra0725
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg