Apabila pelakon dan penyanyi Indonesia, Randy Dionisius Pangalila, menimang cahaya mata pertamanya, Blair, pada 2021, beliau sudah dapat rasakan kehidupannya bakal berubah fasa demi fasa.
Setiap langkah dan keputusan yang diambil itu penting kerana Randy, 34 tahun, akur ia akan menjejas kehidupan orang lain seperti isteri dan anaknya yang dalam tanggungan bahkan menjadi penawar setiap duka lara.
Lantaran itu, pelakon sasa yang juga seorang petinju tendang profesional atau ‘kickboxer’, mengambil keputusan mengejut untuk meninggalkan sukan seni bela diri campuran (MMA) pada 2024 setelah menumpaskan lawannya, Jackson Karmela (Kkhajhe), dalam pertarungan Byon Combat, di Stadium Tertutup Tenis di Senayan, Jakarta, sekitar Jun 2024.
Di dalam fikirannya, terbayang wajah isterinya, Chelsey Frank, yang berasal dari Canada, dan dua anak mereka, Blair, empat tahun, dan Asher Griffin, dua tahun.
Hatinya tertanya-tanya, “Apa akan jadi kepada isteri dan anak-anak jika perlawanan tinju tendang yang disertai membawa pada kecederaan, kesakitan dan musibah, yang tidak diingini?”
Randy, yang mula dikenali ramai di Singapura, selepas menjayakan sinetron ‘berhantu’, Cinta Fitri, berkongsi demikian dengan Berita Harian (BH), dalam satu wawancara Zoom, baru-baru ini.
Wawancara itu diselaraskan wadah penstriman, Vidio, studio Base Entertainment, dan divisyen media massa, CJ ENM Hong Kong Limited, sempena tayangan siri drama Indonedia, Bad Guys.
Siri drama jenayah itu dipadankan daripada versi asal dalam bahasa Korea.
Randy membawa watak Haidar, seorang kaki tipu berkemahiran tinggi, yang membantu seorang pesuruhjaya polis, Jaka (lakonan Oka Antara), untuk menjejak penjenayah lain.
Selain Haidar, pasukan yang dibentuk Jaka yang dibelenggu keterbatasan sistem undang-undang, terdiri daripada penguat kuasa kartel dadah, Anton (Dwi Sasono) yang tahu selok-belok dunia samseng; penggodam bijak bernama Elias (Omara Esteghlal), dan pegawai polis berdedikasi, Sekar (Maudy Effrosina).
Menjelaskan tentang kesan bergelar ayah kepada dua cahaya mata comel, Randy tertawa seraya berkata: “Saya bersyukur kerana dikurniakan dua anak yang comel. Merekalah jantung hati saya.
“Saya akur kehidupan saya banyak berubah dengan kehadiran mereka. Mereka membuatkan saya mengubah tanggapan peribadi saya terhadap kerjaya saya.
“Saya adalah penggiat tinju tendang yang memegang gelaran juara tetapi saya mengambil keputusan berani untuk meninggalkan sukan yang saya cintai.
“Saya lebih rela bersara demi anak-anak saya. Lainlah kalau saya masih bujang atau belum ada anak.
“Ketika itu, saya hanya ingin membuktikan bahawa saya adalah petinju paling kuat di Indonesia. Saya akan mati-matian berjuang.
“Tapi apabila ada anak, saya lebih prihatin tentang kebajikan dan penjagaan mereka. Siapa akan jaga mereka kalau sesuatu berlaku pada saya? Sebab sukan ini penuh risiko.
“Saya berbincang dengan isteri saya tentang perlawanan terakhir saya. Beliau menyokong saya sepenuh jiwa raganya sebab saya ingin berikan yang terbaik bagi perlawanan penutup tirai kerjaya saya itu.
“Mujurlah, saya menang gelaran juara nasional itu. Sekurang-kurangnya, saya menutup kerjaya saya dengan kejayaan yang manis. Pengorbanan saya untuk Blair dan Asher.”
Menyentuh tentang drama Bad Guys, Randy sebenarnya teruja membawa watak sebagai kaki tipu yang cuba menjerat penjahat lain.
“Saya kira drama ini memaparkan tema dan jalan cerita yang menarik. Ia ibarat satu pakej yang menyeluruh, dengan unsur misteri, ‘thriller’ dan komedi ringan.
“Cabaran bagi watak Haidar ini ialah saya selalu perlu menukar wajah saya. Kadangkala saya berjanggut, kadangkala hanya bermisai.
“Saya adalah pelakon yang selalu perlu datang seawal 4.30 pagi untuk didandan. Wataknya memang hebat bergasak dengan lawan tetapi kalau nasib tak baik, akan ada lebam dan berdarah sana sini pada tubuh,” ujarnya.
Mengenai babak paling mencabar, Randy tidak fikir dua kali untuk berkongsi tentang situasi Haidar diseksa di tingkat bawah tanah sebuah bangunan lama.
“Saya benar-benar terasa kadar oksigen sangat rendah di situ. Saya payah bernafas sebab diikat dan diseksa dalam penggambaran selama 10 jam.
“Saya pula tidak mengenakan baju pada masa itu. Ada juga babak bertarung yang menyebabkan badan saya lebam-lebam,” singkapnya.
Sejauh manakah minatnya pada bidang kecergasan membantu dalam membawa watak Haidar, Randy menjelaskan ia menolong dari segi daya tahan stamina tetapi bukanlah sesuatu yang diperlukan.
“Watak Haidar biasa-biasa sahaja. Dia bukan jejaka sasa tetapi tentunya saya perlu pastikan tahap kecergasan saya baik kerana ada beberapa babak yang memerlukan ketangkasan pergerakan,” ujarnya yang sukakan warna-warni watak yang dibawa dalam Bad Guys.
Namun, selepas hampir 20 tahun bergelar anak seni, Randy impikan peluang membawa watak dalam filem muzikal seperti, The Greatest Showman, yang dijayakan Hugh Jackman.
“Tak pernah seumur hidup saya bawa watak muzikal dalam filem. Saya boleh menyanyi, menari dan berlakon. Tapi ia tidak pernah terjadi kecuali dalam sinetron.
“Bagaimanapun, bagi sinetron, saya tak dapat nak mendalami watak muzikal itu sebab biasanya kita buat penggambaran hari ini untuk episod esok.
“Selalunya agak terkejar-kejar dan kelam-kabut, lantas payah memberikan segalanya,” tambah beliau.
Randy kini sedang sibuk menghidupkan satu lagi siri drama aksi untuk Vidio, berjudul Algojo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg