Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remy Ishak tegur pelakon baru hanya mahu glamor di media sosial

Sep 12, 2025 | 10:44 AM
remy ishak
Pelakon Malaysia, Datuk Remy Ishak, bakal membintangi filem terbaru, ‘Khadam’ bersama pelakon terkenal Indonesia, Aghniny Haque. - Foto INSTAGRAM REMY ISHAK

Pelakon Malaysia, Datuk Remy Ishak meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pelakon baru yang didakwa kurang serius serta tidak bersedia menempuh cabaran sebenar dunia lakonan.

Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 43 tahun, menegaskan glamor dan populariti di media sosial bukanlah tiket bergelar pelakon.

Sebaliknya, tanggungjawab serta komitmen terhadap karya yang semestinya perlu menjadi keutamaan.

“Industri kita perlukan lebih ramai pelakon yang rajin dan bertanggungjawab. 

“Susah nak jumpa yang betul-betul serius sekarang ini. Kalau nak terasa, terasalah.

“Tapi, saya sudah jumpa ramai yang tidak bersedia,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau ditemui BHM pada sidang media pengumuman pelakon dan pasukan penerbitan filem Khadam di Malaysia, pada 10 September.

Filem seram terbitan bersama Red Communications dan Komet Productions itu bakal menyaksikan Remy bergandingan dengan pelakon terkenal Indonesia, Aghniny Haque yang dikenali menerusi filem KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah.

Menurut Remy, kecenderungan pelakon baru mengejar pengikut media sosial tanpa menitikberatkan mutu lakonan antara punca industri sukar berkembang.

“Kita mahu membawa industri perfileman Malaysia ke tahap lebih baik, jadi cubalah beri yang terbaik.

“Kalau hanya nak popular, cukuplah dengan media sosial.Tak perlu berlakon sebab lakonan perlukan disiplin dan kesungguhan,” tegasnya.

Di samping itu, Remy juga menambah bahawa walaupun dirinya bukan lulusan sekolah filem, disiplin serta tanggungjawab terhadap kerja membuatkan beliau lebih menghargai seni lakonan.

“Saya sendiri bukan lepasan filem, tapi bila bekerja, kita harus bertanggungjawab. 

“Lakonan bukan hanya soal hadir ke set penggambaran, ia soal persediaan dan penghayatan.

“Rupa paras tidak bermakna apa-apa kalau rasa itu tak sampai pada penonton.

“Kita berlakon untuk sampaikan rasa. Maka, kalau gagal, lakonan jadi kosong. Cantik saja tak cukup sebab akan sentiasa ada orang lebih cantik daripada kita,” katanya lagi.

Pelakon filem Pulang itu turut kecewa kerana mutu lakonan semakin jarang dititikberatkan oleh generasi baru.

“Berlakon bukan sekadar nampak elok di media sosial atau skrin. Ia lebih daripada itu – soal jiwa, pesanan dan kejujuran dalam penyampaian.

“Susah nak jumpa pelakon seperti Maya Karin, Erma Fatima, Umie Aida, malah Liyana Jasmay dan Sharifah Sakinah juga bagus. 

“‘Batch’ pelakon ini antara yang terbaik kerana mereka hadir dari zaman yang menghargai filem,” ujar Remy.

Dalam masa sama, pelakon asal Melaka itu kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan Aghniny ketika sesi bacaan skrip filem terbarunya, Khadam.

“Ketika sesi bacaan skrip baru-baru ini, beliau sudah beri sepenuhnya. 

“Itu baru baca skrip, tapi tenaganya luar biasa. Sampai saya terfikir, ‘gila betul orang ini’,” singkapnya.

Remy turut berkata setiap pelakon ada imaginasi tersendiri ketika membaca skrip, namun apa yang dipersembahkan Aghniny benar-benar meninggalkan kesan padanya.

“Ketika giliran beliau, watak itu hidup depan mata. Saya boleh rasa beliau memang tepat untuk filem ini,” jelas Remy.

Selain Remy dan Aghniny, filem arahan Shamyl Othman dengan skrip tulisan Fariza Azlina Ishak itu turut dibintangi oleh Siti Khadijah Halim, Jun Lojong, Zarra Zhaff dan Karl El.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg