Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumifolks jadi ‘hab hiburan’, satukan masyarakat melalui muzik
Rumifolks jadi ‘hab hiburan’, satukan masyarakat melalui muzik
Hampir setiap minggu, sesiapa sahaja yang berjalan di sekitar kawasan Arab Street, pasti akan terlintas dengan keriuhan orang ramai yang berkumpul di kawasan Bali Lane.
Suasana malam yang bukan sekadar diisi suara manusia berborak dan bergelak tawa sambil menghirup kopi beraneka perisa, malah adakalanya dimeriahkan lagi dengan persembahan muzik dan nyanyian.
Situasi itu pasti tidak asing bagi sesiapa yang kerap mengunjungi kedai minuman Rumifolks di 28 Bali Lane, yang telah menjadi satu tempat tarikan bagi belia untuk berhibur.
Sebagai satu ‘hab hiburan’, ia telah juga menjadi tempat penyatuan bagi belia untuk bersantai atau melepak sambil menikmati persembahan yang diadakan secara langsung.
Justeru, pada 7 September, buat julung-julung kalinya, acara nyanyian The Secret Set telah diadakan di Rumifolks dengan kerjasama SAH Entertainment.
Sesi tersebut telah menampilkan seorang artis tempatan atau lebih tepat lagi, penyanyi jalanan, iaitu Harris Osman.
Beliau juga dikenali sebagai ‘The Street Therapist’ kerana sering mendendangkan lagu ‘galau’ (lagu yang beremosi), yang mampu merawat hati dan jiwa bagi yang mendengarkannya.
Selain itu, pengunjung yang hadir pada malam itu turut dikejutkan dengan kehadiran penyanyi dari Indonesia, Mahalini, sebagai tetamu istimewa untuk membuat persembahan.
Berlangsung dari 7 hingga 10 malam, deretan jalan di Bali Lane itu dibanjiri peminat dan pengunjung tetap Rumifolks kira-kira seramai lebih 200 orang.
Terharu dengan sokongan daripada pelanggan, pemilik bersama yang juga merupakan Pengurus Sumber Manusia Rumifolks, Cik Umairah Alqadri, 30 tahun, memberitahu Berita Minggu (BM):
“Alhamdulillah atas kehadiran pengunjung yang begitu ramai.
“Kami sendiri agak terkejut dengan jumlah orang yang hadir bagi acara The Secret Set.
“Kami terkejut kerana The Secret Set merupakan acara yang baru.
“Sebelum ini, kami sudah mempunyai acara lain seperti Emo Night dan Galau Night yang mempunyai pengikut atau pengunjung yang tersendiri.
“Jadi, melalui sokongan pengunjung yang hadir malam ini, kami dapat lihat ada sokongan yang konsisten bukan sahaja untuk Rumifolks, malah untuk bakat-bakat tempatan juga.”
Menyifatkan Rumifolks sebagai tempat terbaik bagi acara The Secret Set, jurucakap SAH Entertainment berkongsi bahawa kedai minuman tersebut mempunyai suasana yang tepat bagi acara yang menampilkan persembahan secara langsung.
“Kami inginkan The Secret Set untuk bukan menjadi sekadar konsert konvensional, malah sebagai satu pengalaman, di mana penonton dapat menikmati muzik secara langsung dalam suasana yang tidak disangka.
“Rumi Folks secara semula jadinya bertepatan dengan visi tersebut, berbekalkan suasananya yang bertenaga dan kelompok pengunjung yang benar-benar menghargai muzik secara langsung serta pengalaman yang bermakna.
“Sesi The Secret Set pertama merupakan satu kejayaan yang begitu menakjubkan.
“Justeru, kami melihat peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama bersama Rumi Folks.
“Kami berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak pengalaman muzik secara langsung yang bersifat intim dengan menghimpunkan barisan artis, penonton, dan suasana yang tepat, “ kata jurucakap SAH Entertainment.
Rumifolks turut bekerjasama dengan stesen radio Ria 89.7 bagi siri acara Locals Only, yang menampilkan penyanyi tempatan sahaja untuk membuat persembahan di ruang kafe mereka.
Menurut Cik Umairah, usaha seperti itu bukan sahaja dapat menyatukan dan mengumpulkan masyarakat melalui muzik tanpa mengira latar belakang.
Malah mereka secara tidak langsung dapat menjadi wadah yang memperkenalkan bakat tempatan yang mungkin tidak diketahui ramai serta menyediakan ruang untuk mereka berkarya.
“Penting untuk kita sediakan wadah bagi bakat-bakat tempatan yang mungkin sebelum ini hanya muncul melalui media sosial.
“Jadi, kami harap wadah seperti ini akan memberi pendedahan tentang bakat ini kepada orang ramai dan mana tahu, ia dapat menyumbang kepada kejayaan yang lebih buat mereka,” tambah Cik Umairah.
Antara bakat yang telah raih manfaat ialah Harris Osman sendiri, yang telah diundang untuk membuat persembahan di Rumifolks (dahulu Rumi The Poet’s Cup) sejak 2023, ketika kedai minuman itu masih terletak di Haji Lane.
Harris, 27 tahun, turut berkongsi pandangannya yang melihat Rumifolks sebagai satu tempat yang mempunyai komuniti sendiri dan diikat melalui muzik.
“Apabila saya membuat persembahan di Rumifolks buat kali pertama, ia terasa sungguh ‘dekat’ kerana Rumifolks bukan sekadar kafe atau jenama.
“Ia merupakan satu komuniti yang digerakkan melalui cinta kepada muzik.
“Jadi, kita dapat lihat ramai yang akan berkumpul di sini dan meluangkan masa dengan baik,” kata Harris.
Tatkala melihat trend Rumifolks sebagai ‘hab hiburan’ yang sedang kian berkembang, Cik Umairah berkongsi terdapat perancangan baru yang sedang diusahakan.
“Kini, kita dapat lihat sudah ada komuniti yang terbina dan orang ramai pun sudah mula lebih mengenali kita.
“Jadi, pastinya kami ingin kembangkan lagi usaha menyatukan masyarakat melalui aspek hiburan.
“Ke depan, mungkin kita akan adakan ‘Rumifolks Entertainment’ tetapi masih sedang berada dalam tahap perancangan dan belum dapat dikongsi dengan lebih terperinci lagi,” kata Cik Umairah.