Pelakon berpengalaman Malaysia, Sahronizam Noor, 53 tahun, berdepan ujian kesihatan selepas disahkan mempunyai tumor (ketumbuhan) di bahagian kanan belakang badannya.
Bagaimanapun, Sahronizam berkata beliau masih menunggu pengesahan doktor sama ada tumor itu barah atau tidak.
“Sebenarnya, bengkak di bahagian skapula atau tulang belikat sudah lama.
“Awalnya, saya tidak rasa ia serius kerana tidak sakit.
“Lama-kelamaan saya mula lenguh di bahagian tangan dan walaupun mendapatkan rawatan urut, sakit itu tetap tidak hilang,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Dek bengkak itu semakin membesar dan menyengat, Sahronizam mengambil keputusan membuat pemeriksaan di klinik kesihatan di Malaysia.
“Saya membuat pemeriksaan di klinik kesihatan dan menjalani x-ray, tetapi keputusan tidak jelas.
“Kemudian saya dirujuk ke Hospital Ampang dan hasil pemeriksaan x-ray masih menunjukkan ketulan di bahagian skapula,” jelasnya.
Sejurus itu, Sahronizam dirujuk kepada pakar ortopedik di hospital sama dan menjalani ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).
“Pada 12 September lalu, saya menjalani MRI dan menerima keputusan pada 17 September yang mengesahkan ketulan itu adalah tumor, tetapi belum diketahui sama ada ia barah atau tidak.
“Di Hospital Ampang, mereka tidak melakukan biopsi, jadi saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor di HKL mengatakan ketulan itu adalah 100 peratus tumor, tetapi kepastian hanya boleh diperolehi melalui beberapa prosedur untuk mendapatkan sampel tisu,” ujar Sahronizam.
Beliau turut berkata akan kembali ke HKL untuk mendapatkan keputusan akhir pada 2 Oktober.
“Selepas mendapat keputusan akhir, baru saya boleh berkongsi sama ada ia barah atau bukan.
“Doktor juga berharap ia hanyalah tumor,” tambahnya.
Sebelum ini, isteri Sahronizam, Safura Yaacob, yang juga seorang penyanyi dan pelakon, berkongsi mengenai masalah kesihatan suaminya menerusi hantaran di akaun Instagram.
Meskipun berdepan cabaran kesihatan, Sahronizam memaklumkan beliau tetap bekerja dan sedang menjalani penggambaran di Pekan, Pahang, Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg