Topik diikuti
Pergi ke BHkuSejarah kelam Othman Hamzah di balik tirai besi bawa hikmah
Sejarah kelam Othman Hamzah di balik tirai besi bawa hikmah
Penyanyi ‘Musliha’ enggan pandang belakang kisah 20 tahun lalu, lebih matang dan cekal kemudi kerjaya seni, niaga di seberang Tambak
Sejarah kelam Othman Hamzah di balik tirai besi bawa hikmah
Setiap seniman pasti pernah melalui sejarah silam yang membentuk dan mematangkan jiwa.
Penyanyi asal Singapura, yang juga usahawan hartanah di Malaysia, Othman Hamzah, memandang setiap episod kelam dalam dunia seni sebagai perjalanan yang sarat dengan pengajaran dan hikmah.
Pada awal 2000-an, Othman, 65 tahun, yang pernah berada di carta populariti antara lewat 1970-an dengan 1980-an, dihukum penjara selama 16 bulan atas dua kesalahan pecah amanah melibatkan wang sejumlah $50,000 dalam satu skim pelaburan.
“Saya tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang buruk, dan percaya ada hikmah di sebaliknya.
“Hikmah itu banyak mengajar dan membentuk saya dalam perjalanan kerjaya. Saya seorang yang suka berterus terang dan pada ketika itu, saya menyangka semua orang mempunyai niat yang sama seperti saya.
“Saya juga mudah mempercayai orang dan mengharapkan mereka bersikap sama. Cara saya berniaga pula sangat terbuka, dan dilakukan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, namun tidak semua orang berfikir seperti saya.
“Apabila ada yang melabur dengan saya, jangkaan mereka nyatanya berbeza dan pemikiran yang agak terhad menyebabkan perkara itu tidak berjalan seperti yang dirancang.
“Mereka menganggapnya sebagai satu kerugian, sedangkan ia sebenarnya masih dalam proses perniagaan yang ada ‘naik turunnya’.
“Ada masa rugi, ada masa untung. Dalam pelaburan, modal perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum hasil diperoleh.
“Jadi apabila berurusan dengan individu yang kurang berpengalaman dalam dunia perniagaan, di situlah timbulnya cabaran,” kata Othman, yang mempunyai tiga anak berusia 26, 32 dan 40 tahun itu, kepada Berita Minggu (BM), baru-baru ini.
Wawancara ini diadakan ketika Othman menghadiri rakaman rancangan hiburan Mediacorp Suria sempena Aidilfitri, Sinar Lebaran 2026.
Beliau mendendangkan lagu Raya berjudul, Menyambut Lebaran, yang terkenal pada 1980.
Othman juga berduet dengan juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid, dalam satu lagi lagu Raya, Gembira Bersama Di Hari Raya.
Beliau turut tampil bersama Sufi dalam sketsa komedi bertema Raya dengan pengacara, Hafidz Rahman, Zuhairi Idris dan Farhana M Noor.
Ketika menempuh episod kelam dalam kehidupannya tatkala itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu, Musliha dan Gadis Melayu itu, turut meluahkan rasa syukur kerana anak-anaknya tidak berdepan dengan isu buli di sekolah.
Malah, beliau bangkit daripada haru-biru kehidupan dengan sokongan keluarga dan sahabat terdekat.
“Ketika kejadian itu berlaku, alhamdulillah, anak-anak saya tidak berdepan sebarang peristiwa buli di sekolah.
“Bagi saya, dalam dunia ini hanya ada dua jenis manusia.
“Pertama, mereka yang menyukai dan mempercayai kita kerana keperibadian serta cara kita membawa diri. Golongan ini terdiri daripada keluarga dan sahabat.
“Selebihnya pula adalah mereka yang tidak kita kenali, dan apa sahaja yang diperkatakan tentang saya atau keluarga, saya tidak terlalu mengendahkannya,” tambahnya, yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.
Pada masa sama, ketika diminta mengimbau kembali perjalanan dalam industri seni, beliau turut mengakui antara cabaran yang dihadapi adalah isu nilai dan bayaran sebagai artis, yang kadangkala tidak setimpal dengan pengalaman dan sumbangan sebenar dalam bidang seni.
“Sewaktu masih aktif dalam bidang seni dahulu, saya sedar ramai artis lain mungkin kurang pengetahuan mengenai bayaran yang seharusnya diterima.
“Malah, saya sendiri pernah melalui pengalaman tersebut. Dahulu, saya hanya menerima bayaran sekitar $50 untuk sebuah rancangan televisyen.
“Selain itu, saya pernah mengendalikan syarikat pengurusan media dan artis iaitu, Logica Media Communications & Services.
“Melalui usaha ini juga, saya berusaha menyelaraskan keperluan acara dengan bayaran yang sesuai untuk artis.
“Sebagai contoh, sekitar 20 hingga 30 tahun lalu, bagi mereka yang bekerja makan gaji mungkin menganggap bayaran $1,000 itu besar, sedangkan hakikatnya tidak begitu kerana mereka membandingkannya dengan gaji sendiri.
“Ada juga dalam kalangan artis yang kurang menyedari perkara ini dan menerima sahaja jumlah bayaran yang ditawarkan tanpa pertimbangan lanjut.
“Secara tidak langsung, situasi ini turut memberi kesan kepada ‘periuk nasi’ artis lain dalam industri.
“Kini, alhamdulillah, saya melihat perubahan yang lebih positif apabila semakin ramai mula menghargai artis,” ujar datuk seorang cucu berumur enam tahun itu.
Dalam pada itu, bagaimana pula sambutan Hari Raya Othman pada 2026?
Menurutnya, sambutan Aidilfitri terasa sedikit berbeza, apatah lagi tanpa kehadiran ibunda tercinta, Allahyarhamha Zainab Ismail.
Pada usia 88 tahun, Allahyarhamha Zainab meninggal dunia pada Ogos 2025 akibat sakit tua.
“Setiap tahun, saya akan selalu pulang ke Singapura dan meluangkan Aidilfitri bersama ibu dan adik-beradik yang lain.
“Kali ini, sedikit berbeza kerana saya baru sahaja kehilangan ibu saya, pada 2025. Jadi, saya hanya pulang ke Singapura pada minggu kedua Raya, untuk mengeratkan silaturahim bersama adik-beradik.
“Antara hidangan ibu saya yang paling dirindukan ialah kuah kacang bersama ketulan daging yang dipotong kecil,” kongsi Othman.
“
Saya tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang buruk, dan percaya ada hikmah di sebaliknya. Hikmah itu banyak mengajar dan membentuk saya dalam perjalanan kerjaya. Saya seorang yang suka berterus terang dan pada ketika itu, saya menyangka semua orang mempunyai niat yang sama seperti saya.