KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu klasik, Datuk Seri Maria Menado, dilapor meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di sini, pada 12.25 tengah hari, 30 April, pada usia 94 tahun.

Allahyarhamha Maria yang membintangi banyak filem Melayu klasik ikonik, dilapor menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua, di sisi anggota keluarganya.

Menantu Allahyarhamha Maria, Encik Sairul Amar Ayob, dilapor berkata ibu mentuanya itu dimasukkan ke pusat perubatan tersebut pada 14 April lalu.

“Allahyarhamha Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” kata Encik Sairul kepada laman web, Astro Awani.

Encik Sairul dilapor berkata ketika itu, jenazah Allahyarhamha Maria masih di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor, bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan sahabat serta kenalan memberi penghormatan terakhir.

Jenazahnya dilapor akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Dilahirkan dengan nama asal, Liesbet Dotulong, pada 2 Februari 1932, Allahyarhamha Maria dianggap bintang filem Melayu termasyhur antara 1951 dengan 1963.

Allahyarhamha Maria berhijrah ke Singapura dan menganut Islam ketika berusia 19 tahun serta berkahwin dengan promoter tinju dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.

Allahyarhamha Maria mula menempa nama dalam industri perfileman selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions, sebelum muncul sebagai salah seorang pelakon wanita utama pada zaman itu.

Allahyarhamha Maria melonjak ke puncak populariti menerusi lakonannya sebagai watak utama dalam filem Pontianak terbitan 1957, yang dianggap sebagai antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikan beliau ikon awal genre berkenaan.

Dalam temu ramah bersama BH Online pada 2019, Allahyarhamha Maria berkongsi cabaran mengubah wajahnya daripada cantik menjadi buruk ketika membintangi filem seram, Pontianak dan Dendam Pontianak, lebih enam dekad lalu.

Menurutnya, proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah, malah mengambil masa panjang untuk dilakukan.

“Watak Comel dilakonkan dalam filem itu memerlukan saya melalui proses transformasi sebanyak tiga kali.

“Ia bermula dengan wanita bongkok yang menjadi cantik selepas meminum sejenis ramuan yang ditemui dalam sebuah buku. Dia bagaimanapun bertukar menjadi buruk apabila melanggar pantang, iaitu terkena darah.

“Bagi mengubah wajah saya, semuanya dilakukan secara alami yang memerlukan saya berbaring dan disolek. Bukan sekadar perlu menunggu lama untuk menyiapkan kerja solekan, babak transformasi pula harus dirakamkan satu demi satu supaya perubahan itu nampak jelas di layar,” katanya.

“Memang saya kena banyak bersabar, namun hasilnya memuaskan apabila ada yang ketakutan sebaik sahaja melihat wajah saya di set penggambaran,” tambahnya.

Pada 1957, Allahyarhamha Maria digelar ‘Wanita Terjelita Malaya’ oleh Majalah Times dan ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara’ oleh United Press International.