MUMBAI: Bintang kesayangan ramai, Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri Khan, telah menawarkan pejabat peribadi mereka bagi digunakan sebagai kemudahan kuarantin untuk pesakit Covid-19.

Bangunan empat tingkat di kawasan Khar West di Mumbai, India, telah dilengkapi dengan pelbagai keperluan untuk wanita, kanak-kanak dan warga tua.

Perbadanan Perbandaran Greater Mumbai menyatakan penghargaan kepada pasangan itu atas niat murni mereka di media sosial.

Di laman Twitternya, Shah Rukh Khan, antara lain menulis: "Kami berdua rasa berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada usaha anda untuk membantu dan menjaga warga Mumbai."