KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Sheila Majid, menegaskan sebuah artikel yang mendakwanya berdepan saman ‘Bank of Malaysia’ adalah palsu dan sengaja direka untuk ‘mengumpan’ pembaca.
Dalam satu pos di Instagram (IG), Sheila, 59 tahun, turut menafikan bahawa beliau seorang jutawan, sebagaimana yang ditulis dalam artikel itu, yang bertajuk ‘Bank of Malaysia menyaman Sheila Majid atas kenyataannya dalam rancangan TV secara langsung’.
Penyanyi yang diberi jolokan Ratu Jazz itu berkata beliau menyedari tentang artikel itu selepas dimaklumkan mengenainya oleh rakan dan keluarga, lapor BH Online (Malaysia).
“Ini adalah penipuan. Saya mempunyai ramai rakan dan keluarga yang prihatin dan bertanya kepada saya mengenai artikel ini. Oleh itu, saya terpaksa memberitahu semua bahawa ini adalah palsu.
“Pertama, tiada Bank Malaysia di Malaysia dan saya bukan jutawan seperti yang ditulis dalam artikel ini (walaupun saya mengharapkannya),” tulisnya dalam pos IG itu.
Datuk Sheila, yang nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, berkata beliau sama sekali tidak pernah terbabit dalam skim pelaburan yang didakwa dalam artikel itu.
“Jika saya boleh membuat jutaan (ringgit) dengan ‘tip’ ini, mengapa saya masih menyanyi? Saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana pelaburan yang didakwa ini (dan juga mana-mana daripada anda).
“Ini hanyalah umpan untuk orang lain menyertai skim palsu ini. Tolong berhati-hati. Bagaimanapun, semuanya baik dengan saya. Alhamdulillah,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Sinaran itu berharap sebaran artikel palsu mengenai dirinya dihentikan.
“Saya harap dengan kenyataan ini akan menghentikan semua spekulasi daripada artikel palsu ini.
“Terima kasih semua atas keprihatinan anda. Selamat menjalankan ibadah puasa,” tulisnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg