Topic followed successfully
Go to BHkuSheila Rusly jadi duta produk pes segera, Bibik Express
Sheila Rusly jadi duta produk pes segera, Bibik Express
Selepas ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’ labuh tirai, pengacara usahakan kandungan masak di media sosial bersama dua menantu
Sheila Rusly jadi duta produk pes segera, Bibik Express
Pengacara, pelawak, pelakon dan penerbit serba boleh Malaysia, Sheila Rusly, yang terkenal dengan slogan dan program memasak, ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’, telah mendarat di Kota Singa pada 9 Mac di Our Tampines Hub (OTH), bagi mempromosikan produk pes segera yang dikeluarkan oleh Bibik Express kepada warga Singapura.
Produk Bibik Express merupakan jenama pes Malaysia yang tidak mengandungi bahan pengawet, tambahan dan pewarna.
Terdapat enam jenis produk pes segera yang dilancarkan oleh Bibik Express termasuk pes bawang merah, bawang putih, halia, cili kering, cili padi dan kunyit.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Sheila selaku duta produk Bibik Express, berkongsi bahawa produk itu sangat ringkas dan mudah digunakan terutama bagi wanita berkerjaya mahupun ibu rumah tangga.
“Secara menyeluruh, saya rasa produk ini sangat mudah digunakan oleh mereka yang suka memasak tetapi tidak mempunyai kelapangan waktu.
“Bagi sesetengah orang, mereka rasa ‘leceh’ untuk memasak kerana perlu menyiapkan bahan terlebih dulu.
“Jadi dengan adanya produk Bibik Express ini, ia sangat memudahkan proses memasak di dapur,” kata Sheila, 53 tahun.
Produk Bibik Express diedarkan secara rasmi oleh syarikat HSG Global dan boleh didapati di pasar raya ternama seperti NTUC FairPrice, Giant, Prime serta Shell.
Ia juga tersedia di pasar raya Sheng Siong mulai hujung Mac.
Dalam pada itu, syarikat HSG turut membekalkan produk runcit ke pasaran luar negara seperti Arab Saudi, Thailand, Batam, Brunei serta Malaysia.
Ketika BH menemui Sheila pada 9 Mac di OTH, beliau turut berkongsi resipi masakan khas Minang, Gulai Daging Salai, dengan menggunakan produk daripada jenama Bibik Express.
Dalam tempoh kurang setengah jam, Sheila berhasil menyiapkan hidangan dengan aroma yang menggiurkan deria rasa.
“Saya berharap agar penerimaan pengguna di Singapura bagi produk Bibik Express mendapat sambutan yang baik kerana saya tahu, ramai wanita di Singapura kebanyakannya adalah wanita berkerjaya.
“Jadi, dengan adanya produk Bibik Express, semoga ia dapat memudahkan lagi proses wanita di luar sana yang cuba sedaya upaya, menyediakan hidangan makanan di rumah untuk dinikmati keluarga,” tambah Sheila.
Selain itu, sesi memasak secara langsung di depan khalayak turut mengimbau kenangan Sheila terhadap program yang dikendalikan selama 15 tahun iaitu, ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’.
“Sudah tentu, saya merindukan program, ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’. Malah, saya rasa sebahagian besar peminat rancangan itu terdiri daripada warga Singapura.
“Apabila berjumpa dengan peminat di Singapura, mereka selalu mengatakan rindu pada program tersebut, yang menghidupkan lagi suasana Ramadan.
“Tapi, bagi saya yang telah mengendalikan program rancangan memasak itu selama bertahun-tahun, sudah sampai masanya saya mencuba hal yang lain pula,” ceritanya.
Mengubati rasa rindu terhadap program kesayangan ramai itu, Sheila kini lebih aktif mengeluarkan kandungan memasak berjenama di laman Instagram dan juga TikTok miliknya.
Malah, pelakon filem, Pontianak Menjerit itu, akur bahawa dengan lebih ramai yang menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat dan cebisan hiburan, beliau perlu mengikut arus trend semasa agar kekal relevan.
Lebih daripada itu, beliau turut meluahkan rasa seronok menjana kandungan di media sosial bersama menantu perempuannya, Elisha Sandha dan Beatrice Chitra.
“Saya tidak ada anak perempuan. Jadi bila ada menantu perempuan pula, saya dapat berkongsi banyak perkara, terutamanya perihal memasak.
“Sebelum kedua anak lelaki saya mendirikan rumah tangga, rasa ‘tak kena’ pula nak berkongsi resipi makanan dengan mereka.
“Kebetulan pula, Elisha dan Beatrice, minat memasak. Justeru, ia menyemarakkan lagi suasana di dapur dan saya juga akan berkongsi petua masakan dengan mereka,” ulas Sheila.
Ramadan dan Syawal 2025 lebih istimewa memandangkan ini kali pertama menantu Sheila, Beatrice, menunaikan ibadah berpuasa setelah mendirikan rumah tangga dengan anak bongsunya, Luth Mikhail, pada 3 Januari.
Beatrice merupakan mualaf dan telah memeluk agama Islam pada Ogos 2024, sebelum menjalankan pernikahan dengan Luth.
Sheila turut merakamkan rasa syukur bakal menimang cucu kedua hasil perkongsian hidup anak sulungnya, Uzair Haqimy dengan Elisha.

