Bagi seorang pemain piano, kehilangan keupayaan menggerakkan jari dengan lincah bukan sekadar menjejaskan kerjaya, malah boleh meragut sesuatu yang sudah menjadi sebahagian daripada jati dirinya.

Itulah antara detik paling mencabar yang pernah dilalui maestro jaz Singapura, Jeremy Monteiro, apabila beliau diserang penyakit De Quervain pada 2000.

Penyakit tersebut menyebabkan keradangan pada tendon di bahagian pangkal ibu jari dan pergelangan tangan kanannya, sehingga mengakibatkan kesakitan yang mengancam keupayaannya untuk terus bermain piano.

Pelbagai ikhtiar dilakukan, daripada akupunktur dan fisioterapi hingga rawatan perubatan tradisional Cina, namun kesakitan yang dialaminya tidak menunjukkan tanda pulih ketika itu.

Keadaan itu membuatkan Monteiro, kini 66 tahun, mempertimbangkan untuk berhenti membuat persembahan dan menumpukan perhatian kepada penyusunan muzik.

Selepas pelbagai rawatan gagal, beliau akhirnya menjalani pembedahan meskipun bimbang tidak lagi mampu bermain piano seperti dahulu.

“Saya sangat takut menjalani pembedahan kerana bimbang selepas itu tangan saya tidak lagi dapat bermain piano.

“Tetapi kira-kira dua minggu selepas pembedahan, saya sudah mula bermain walaupun masih mengalami sedikit kesakitan.

“Ketika itulah saya sedar yang mungkin saya boleh kembali bermain seperti dahulu,” katanya kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di studio muziknya sekitar Sims Drive, baru-baru ini.

Walaupun proses pemulihan mengambil masa sekitar enam bulan, Monteiro memerlukan tempoh lebih panjang untuk mendapatkan semula rentaknya bermain piano.

Malah, beliau terpaksa mengubah teknik bermain piano serta mencari jalan lain bagi beberapa rangkaian nota yang tidak lagi mampu dimainkan seperti dahulu.

“Muzik itu sudah ada dalam fikiran saya. Jadi, saya tidak perlu mempelajari muzik semula, sebaliknya membina semula teknik bermain piano dengan cara yang berbeza.

“Malah, saya rasa permainan piano saya sekarang lebih baik berbanding sebelum pembedahan,” katanya lagi.

Di sebalik cabaran kesihatan, perjalanan lima dekad Monteiro turut diperkaya dengan pengalaman bekerjasama dengan ramai seniman Melayu tersohor.

Antaranya Allahyarham Rahim Hamid, yang pernah digelar ‘Nat King Cole Singapura’ kerana persamaan suara dan penampilannya dengan legenda jaz Amerika Syarikat itu.

Monteiro bukan sahaja bertindak sebagai pemain piano, malah mengetuai kumpulan pemuzik yang mengiringi Allahyarham Rahim ketika membuat persembahan.

“Walaupun tidak pernah berpeluang bekerjasama dengan Nat King Cole, pengalaman bersama Allahyarham Rahim membuatkan saya seolah-olah merasai pengalaman itu.

“Allahyarham sentiasa melayan saya dengan baik.

“Malah, walaupun selepas tidak bekerjasama dengannya, saya tetap mengunjunginya di kediamannya sekitar Toa Payoh, terutama semasa Hari Raya,” kata Monteiro sambil mengenang kenangan manis bersama penyanyi itu.

Selain itu, hubungan rapat dengan penyanyi tempatan, Rahimah Rahim, yang juga anak Allahyarham Rahim, membuka peluang Monteiro terlibat dalam penerbitan album Rahimah berjudul, Penghibor Di Rantau, pada 1979, bersama Allahyarham Kassim Masdor.

Ketika itu, Allahyarham Kassim yang sibuk mengendalikan beberapa projek rakaman mempercayakan Monteiro menguruskan sebahagian besar kerja penerbitan dan menghasilkan susunan muzik bagi album berkenaan.

Antara perkara yang paling dikaguminya tentang muzik Melayu ialah keindahan melodi dan kerumitan struktur harmoninya.

Beliau khususnya menyanjung karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang disifatkannya memiliki kehebatan menggubah lagu setanding dengan komposer Amerika Syarikat, mendiang George Gershwin.

“Bagi saya, Getaran Jiwa antara lagu paling indah pernah dihasilkan di rantau ini.

“Susunan harmoninya begitu rumit dan mengagumkan,” ujarnya, yang turut menyanyikan lagu tersebut dalam konsert Jeremy Monteiro: 50 Years of Jazz (Jeremy Monteiro: 50 Tahun Dalam Dunia Jaz).

Konsert yang diadakan di Dewan Konsert, Esplanade pada 14 November itu meraikan jubli emas kerjayanya.

Dalam perkembangan lain, Monteiro turut memberikan perhatian kepada usaha melahirkan generasi baharu pemuzik jaz tempatan.

Sebagai pengerusi Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass), serta pengarah eksekutif dan muzik Persatuan Jaz Singapura (Jass), beliau berbangga apabila pertubuhan itu berjaya menganugerahkan 15 biasiswa kepada 14 individu.

Antara penerimanya ialah penyanyi muda, Maya Raisha, 24 tahun, yang dibimbing Monteiro sendiri sejak berusia 13 tahun.

Maya, yang kini melanjutkan pengajian Sarjana dalam Pengajian Jaz (Persembahan) di Sekolah Muzik Aaron Copland, Kolej Queens di New York, Amerika Syarikat, turut membuat penampilan sebagai vokalis dalam konsert Monteiro itu.

Beliau juga gembira melihat perkembangan masyarakat pemuzik jaz tempatan yang semakin rancak berbanding beberapa dekad lalu.

“Pada 1980-an, hanya segelintir pemuzik aktif dalam bidang jaz.

“Kini, kita mempunyai sekitar 30 hingga 40 pemuzik yang mampu beraksi pada peringkat antarabangsa.

“Saya tidak lagi berasa keseorangan. Kini, saya menjadi sebahagian daripada satu masyarakat pemuzik jaz,” kongsinya.

Setelah lima dekad mencurahkan bakti dalam dunia muzik, kecintaan Monteiro terhadap seni muzik terus mekar.

“Saya percaya Tuhan meletakkan saya di dunia ini untuk menghasilkan muzik dan menggembirakan orang lain.

“Jika saya kehilangan keupayaan untuk menggubah dan mempersembahkan muzik, saya rasa segala-galanya dalam hidup saya akan runtuh,” kata Monteiro.