Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Timothée Chalamet ungguli kategori sengit Golden Globes, tewaskan Leonardo DiCaprio

Golden Globes pembuka musim anugerah Hollywood 2026, menjelang Oscars pada Mac
Jan 12, 2026 | 6:29 PM
timothee chalamet, golden globes 2026
Pelakon kacukan Perancis-Amerika, Timothée Chalamet, mencipta kemenangan dalam salah satu kategori paling sengit pada Anugerah Golden Globes yang ke-83, apabila merangkul piala Pelakon Lelaki Terbaik Filem Muzikal atau Komedi menerusi wataknya sebagai pemain pingpong profesional dalam filem, ‘Marty Supreme’ (2025).  - Foto REUTERS

Pelakon kacukan Perancis-Amerika, Timothée Chalamet, 30 tahun, mencipta kemenangan dalam salah satu kategori paling sengit pada Anugerah Golden Globes yang ke-83, apabila merangkul piala Pelakon Lelaki Terbaik Filem Muzikal atau Komedi menerusi wataknya sebagai pemain pingpong profesional dalam filem, Marty Supreme (2025). 

Anugerah Golden Globes menjadi antara acara pembuka musim anugerah Hollywood 2026, menjelang Anugerah Akademi (Oscars) pada Mac.

Walaupun pengundi Golden Globes tidak mempunyai kuasa menentukan pemenang Oscars, kemenangan dalam majlis ini mampu meningkatkan perhatian terhadap calon berpotensi menerima Oscar.

Penerima Golden Globes dipilih oleh lebih 300 wartawan hiburan di Hollywood, berbanding kira-kira 9,000 pengundi bagi Oscars.

Badan pengundian Golden Globes turut diperluaskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selain penganjur melaksanakan pembaharuan susulan kritikan terhadap isu etika dan kekurangan kepelbagaian.

Di samping itu, Chalamet turut menewaskan nama-nama besar termasuk Leonardo DiCaprio, 51 tahun; George Clooney, 64 tahun, serta beberapa calon ternama lain pada majlis permaidani merah yang berlangsung di Hotel Beverly Hills, California, pada 12 Januari.

“Kategori ini sarat dengan bakat. Saya memandang tinggi anda semua,” kata Chalamet kepada rakan pencalonan. 

Pelakon itu turut akur pernah pulang dari majlis yang sama pada tahun-tahun lalu tanpa sebarang kemenangan.

“Saya akan berbohong jika tidak mengatakan detik-detik itu menjadikan kemenangan kali ini lebih bermakna,” katanya lagi, lapor Reuters. 

Sebelum ini, DiCaprio dianggap saingan berat Chalamet, menerusi peranannya dalam filem komedi gelap, One Battle After Another (2025).

Bahkan, pada majlis berprestij itu, filem terbabit membolot beberapa anugerah.

Antaranya termasuk pelakon Teyana Taylor, 35 tahun, yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik bagi filem One Battle After Another.

Manakala, pengarah Paul Thomas Anderson, 55 tahun, pula merangkul dua anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik dan Skrip Terbaik bagi filem yang sama.

Filem One Battle After Another terbitan Warner Bros turut bersaing dalam kategori Filem Muzikal atau Komedi Terbaik, sebaris dengan filem Marty Supreme lakonan Timothée Chalamet serta filem komedi gelap Bugonia (2025), yang merupakan antara calon lain.

Sementara itu, filem Jay Kelly (2025) muncul sebagai antara calon Filem Drama Terbaik, dengan Clooney membawakan watak pelakon yang bergelut dengan legasinya, di samping Adam Sandler, 59 tahun, sebagai pengurus yang setia.

Dalam kategori lain, Lagu Golden yang merupakan karya popular hasil fenomena K-Pop di wadah penstriman Netflix, Demon Hunters, turut dinobatkan sebagai Lagu Asal Terbaik

Ketika menerima anugerah itu, penyanyi kacukan Korea-Amerika, Ejae, 34 tahun, berkata:

“Tidak pernah terlambat untuk ‘bersinar’ seperti mana anda dilahirkan untuk ‘bersinar’.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg