Pelawak legenda era 1950-an, Mat Sentol, 92 tahun, masih dalam keadaan baik, walaupun tidak begitu cergas selepas berdepan masalah kesihatan dan keuzuran sejak beberapa tahun lalu.
Anak keduanya, Encik Roslee Abdul Rashid, 63 tahun, berkata bapanya lebih banyak terbaring atas katil kerana tidak berupaya melakukan pelbagai aktiviti seperti dahulu.
Bagaimanapun, Roslee berkata Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Yahaya, dalam keadaan baik, malah masih mampu bertutur dan memahami percakapan orang lain.
“Buat masa ini, saya uruskan apa yang boleh. Saya tak mahu ayah kurang rehat. Kadang-kadang saya bawa ayah untuk lakukan beberapa aktiviti seperti bersiar-siar untuk membantunya bergerak.
“Walaupun agak sibuk kerana menjaganya seorang diri di Johor Bahru, tapi saya pastikan ayah sentiasa dalam keadaan sihat.
“Dengan usia ayah, saya kena ambil kira faktor pemakanan, minuman termasuk membantunya untuk bersenam. Saya tolong yang mana termampu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada masa sama, Encik Roslee berkongsi, keadaan fizikal bapanya sudah tidak seperti dahulu dan badan sudah mula susut berikutan faktor usia.
“Sekarang sudah banyak lain. Kita fahamlah bila keadaan orang uzur ini. Cara ayah cakap dan pergerakannya juga agak terbatas.
“Kalau orang tengok ayah, tangan semua sudah kecut-kecut, macam tinggal tulang sahaja,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Encik Roslee berkata bapanya tidak berdepan kesukaran sekiranya diajak untuk bersembang, malah ingatannya terhadap kenangan lalu seperti filem yang pernah dijayakan masih kuat.
“Bercakap, bersembang macam biasa boleh. Dia masih ingat, memorinya juga baik. Kalau tanya mengenai memori lalu, ayah masih boleh bersembang seperti biasa.
“Dia selalu bersembang mengenai kerja seninya. Maksudnya cerita-cerita lama pun ayah masih ingat.
“Cuma, buat masa ini, saya juga mahu mencari tempat rawatan tradisional untuknya. Ini termasuk bagi merawat mata kirinya yang ada selaput,” katanya.
Mengenai rutin harian bapanya, Encik Roslee berkata beliau tetap akan membantu dari segi pergerakan walaupun sudah tidak larat untuk melakukan pelbagai aktiviti.
“Dalam sehari ayah memang banyak baring sahaja. Tapi, saya bantu dia bergerak kalau nak mandikan dan sebagainya.
“Cuma disebabkan ayah tak boleh duduk terlalu lama, jadi saya bantu sekadar yang dia mampu sahaja,” katanya.
Mat Sentol cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an lagi, serta pernah membintangi beberapa filem. Antaranya, Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.
Kini menetap di Larkin, Johor Bahru, seniman berkaliber itu juga pernah aktif menyumbangkan suara dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti jenama Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.
Mat Sentol yang popular dengan watak Mat Bond itu juga pernah menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU).
Bagaimanapun, kesihatan Mat Sentol mula merosot atas faktor usia, sejak kebelakangan ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg