Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Watak 'Cikgu Rose' sinonim dengan Roseyatimah

Ratu Filem Melayu buka, tutup tirai seni dalam dua karya agung P. Ramlee, 'Pendekar Bujang Lapok', 'Anak Bapak'
Oct 17, 2024 | 12:45 PM
IKON FESYEN: Keanggunan Allahyarhamah Roseyatimah menjadi pujaan ramai yang menjadikannya wajah penghias majalah pada tahun 1960-an. - Foto ROOTS.SG (LEMBAGA WARISAN NEGARA)
IKON FESYEN: Keanggunan Allahyarhamah Roseyatimah menjadi pujaan ramai yang menjadikannya wajah penghias majalah pada tahun 1960-an. - Foto ROOTS.SG (LEMBAGA WARISAN NEGARA) -

SETIAP kali mengamati lirik lagu Ratu dendangan Datuk Sheila Majid, akan terbayanglah dalam fikiran wajah ayu dan kelembutan budi bicara seniwati Datin Roseyatimah.

Kata-kata seperti 'Bak selembut sutera... kerlingan mempesona... tingkah laku dan melangkah susila... bak selembut sutera... gerak gaya budayanya dijaga... dan belaiannya...' cukup bagi menggambarkan Allahyarhamha Roseyatimah, yang nama sebenarnya, Rosnah Jasni.

Lanjutan daripada lirik itu, saya terus mendengar korus Ratu yang berbunyi begini, 'Ayu... ayu... yang terpancar di wajahmu sentosa selalu... ayu... ayu... anugerah yang diberi kekuatan kita sebenarnya...'

Tidak dapat disangkal lagi, Roseyatimah, yang dilahirkan pada 17 November 1943 di Singapura, antara Ratu Filem Melayu yang terpahat dalam ingatan ramai pencinta filem Melayu klasik dek wajah manis bak gulanya dan bakat besarnya.

Sepertimana kata Encik Taufik Hidayat Mansor, 48 tahun, seorang pegawai pemasaran: "Cikgu Rose (nama wataknya dalam filem Pendekar Bujang Lapok menjadi sumber inspirasi buat kakak-kakak saya yang nak bergaya cantik, tertib dan anggun macam beliau.

"Saya pula menganggap beliau sebagai antara bintang filem era P. Ramlee yang jelita. Semasa budak-budak berangan nak dapat isteri secantik beliau! Alhamdulillah, dapat isteri nama Rosnah sepertinya."

Karisma Roseyatimah turut mencetus ilham buat pelakon Malaysia, Nadiya Nisaa, menamakan anak keduanya yang lahir pada 2019, Aminah Rose.

Beliau memberitahu Berita Harian Malaysia, nama Aminah dipilih selepas anak sulungnya Omar mahukan adiknya memiliki nama dengan huruf A.

"Kebetulan saya menonton filem Pendekar Bujang Lapok dan melihat watak Cikgu Rose yang dilakonkan seniwati Roseyatimah. Justeru, saya rasa lagi comel kalau tambah Rose di belakang nama Aminah," tambahnya.

Menurut rencana Roseyatimah - Karier Bermula dan Berakhir Di Tangan P. Ramlee di dalam segmen Nostalgia, majalah Cinema Malaysia , nama Roseyatimah diberikan P. Ramlee yang mencungkil bakat lakonan jelitawan ini.

'Yatimah' diambil daripada nama ibunya, pelakon air mata Neng Yatimah. Bapanya penyanyi Jasni Ahmad, yang terkenal dengan lagu Menari Calypso dan Puteri Remaja.

Roseyatimah anak tunggal dalam keluarga.

Tidak ramai menduga watak Cikgu Rose, guru pelajar dewasa yang tidak tahu membaca di Kampung Pinang Sebatang merupakan pengalaman pertama Roseyatimah berlakon sebagai watak utama.

Beliau, yang baru berusia 15 tahun ketika itu, tampak bersahaja ketika diberi amanah besar sebagai wirawati yang menarik perhatian si tiga Pendekar Bujang Lapok - Ramlee, Aziz dan Sudin.

Sebelum ini, pada usia sembilan tahun, beliau hanya tampil sebagai pelakon tambahan tanpa dialog dalam filem Antara Senyum dan Tangis.

Bagi filem Pendekar Bujang Lapok, Roseyatimah antara 10 orang yang terpilih dalam sesi uji bakat yang turut mengetengahkan Aziz Sattar sebagai salah seorang penilai.

Namanya menjadi sebutan setelah berjayanya Pendekar Bujang Lapok. Ramai mengingatinya sebagai guru manis tetapi tegas yang menegur muridnya Pak Abu yang suka ketawakan si Bujang Lapok kerana tidak tahu membaca.

Babak Cikgu Rose perlu menjahit seluar Ramlee, Sudin dan Aziz yang koyak dalam latihan bersilat bersama bapanya Pendekar Mustar (lakonan Wak Mustarjo) masih bermain dalam fikiran.

Begitu juga adegan Cikgu Rose (yang menggunakan suara latar Saloma) menyanyikan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang bersama Ramlee yang menambat hatinya.

Roseyatimah kemudian meneruskan kerjaya seni sebagai anak wayang melalui filem-filem Cathay-Keris seperti Tunang Tok Dukun, Seri Mersing, Rumah Itu Duniaku, Jula Juli Bintang Tujuh, Lanchang Kuning, Badang, Cucu Datuk Merah, Tun Fatimah dan Muda Mudi.

Ketika mempelajari seni silat bersama Pak Awang di Boon Teck Road, Roseyatimah berkenalan dengan pelakon kacak Datuk Mustapha Maarof, yang kemudian dinikahinya pada 1967.

Mereka sama-sama berpindah dari studio Malay Film Productions (milik Shaw Brothers) ke Studio Cathay-Keris.

Di Cathay-Keris, mereka digandingkan dalam filem Seri Mersing arahan Salleh Ghani.

Filem Udang Di Sebalik Batu pada 1966 pula adalah yang terakhir menggandingkan mereka.

Beliau juga tampil bersama primadona filem Melayu, Siput Sarawak dan pelakon Rahman Rahim dalam filem Jepun yang menjalani penggambaran di Singapura dan Johor Bahru, Under The Stars of Singapore pada 1967.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia filem, Roseyatimah membawa satu lagi watak ikonik, jururawat bernama Cik Halimah, dalam filem komedi P. Ramlee, Anak Bapak, pada 1968.

Filem tersebut, yang menggandingkannya dengan P. Ramlee, sekali lagi merupakan hasil terbitan Merdeka Film Productions.

Cukup mencuit hati mengenang adegan Harun (watak anak orang kaya boros lakonan Ramlee) cuba memikat Halimah dengan lagu Terbang Burung Terbang.

Secara kebetulan, Roseyatimah bermula dengan filem P. Ramlee dan menutup tirai seninya dengan Allahyarham, yang disifatkan sebagai banyak memberi semangat buatnya menjelajah dunia lakonan.

Roseyatimah, dalam satu wawancara bersama televisyen Singapura, juga menghormati pelakon legenda, Nordin Ahmad, sebagai pelakon berkaliber yang banyak memberikan tunjuk ajar.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Mustapha, Roseyatimah dikurniakan tiga anak - Azlynna, Mohammed Khairuddin (meninggal dunia pada usia empat tahun) dan Mohamad Rezainuddin.

Menurut satu rencana laman mStar Online,Roseyatimah: Hilang di mata, tidak di hati pada 24 Februari 2014, beliau dilaporkan menjalani rawatan radioterapi selama 10 hari setelah dikesan menghidap penyakit barah buah dada.

Beliau kemudian minta dibawa pulang ke rumah bersama tangki oksigen. Seorang jururawat merawatnya di rumah.

Roseyatimah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 44 tahun di rumahnya di Subang Jaya, Selangor, pada 14 Disember 1987.

Tarikh itu selang tujuh bulan selepas bapanya Jasni meninggal dunia.

Sejak pemergiannya, suaminya Mustapha, yang meninggal dunia pada 15 Disember 2014, begitu setia dan tidak berumah tangga lagi sepanjang menduda selama 27 tahun.

"Mustapha sering mengelak kalau saya timbulkan soal kahwin kepadanya walaupun ada yang cuba menjodohkannya dengan beberapa wanita. Ada juga wanita yang cukup setia dengannya. Beliau cukup setia dengan isterinya Roseyatimah sehingga akhir hayatnya.

"Alhamdulillah doanya untuk disemadikan di sebelah pusara Roseyatimah termakbul," kata pelakon seangkatan, Datuk Maria Menado, dalam wawancara bersama mStar Online.

SETIA SUAMI KE AKHIR HAYAT

"Mustapha sering mengelak kalau saya timbulkan soal kahwin kepadanya walaupun ada yang cuba menjodohkannya dengan beberapa wanita. Ada juga wanita yang berkenan dengannya. Namun, beliau cukup setia dengan isterinya Roseyatimah sehingga akhir hayatnya. Alhamdulillah doanya untuk disemadikan di sebelah pusara Roseyatimah termakbul." - Pelakon seangkatan, Datuk Maria Menado.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg