Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zalelo genggam ijazah Kelas Pertama Komunikasi

Selepas enam tahun hempas pulas imbangi kerjaya penyanyi dan usahawan Habibtea, anak Aman Shah penuhi cita-cita
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Zalelo, suss, Afrah Athasha Aman Shah
Afrah Athasha Aman Shah, atau lebih dikenali sebagai Zalelo, meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Komunikasi serta pengkhususan sampingan dalam bidang Pemasaran daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). - Foto ihsan ZALELO

Dalam perjalanan menimba ilmu secara sambilan di menara gading, penyanyi berusia 27 tahun, Afrah Athasha Aman Shah, atau lebih dikenali sebagai Zalelo, turut melalui detik sukar apabila berdepan tohmahan yang kadangkala meredupkan nyala semangatnya.

Kata-kata seperti, ‘Buat apa nak sambung pengajian sambilan? Susah nanti terkejar-kejar masa’, sering dilemparkan kepadanya.

Namun, ia tidak sedikit pun menghambat langkah Zalelo daripada mengecapi kejayaan.

Lebih membanggakan lagi, baru-baru ini, beliau telah menamatkan pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Komunikasi serta pengkhususan sampingan dalam bidang Pemasaran.

Zalelo meluahkan rasa syukur atas kejayaannya menamatkan pengajian dengan cemerlang setelah melabur masa dan tenaga di universiti itu sejak 2019.

Kejayaan itu turut lahir daripada hasil berhempas-pulas mengimbangi tanggungjawab sebagai anak seni dan pemilik usaha niaga ‘bubble tea’ Arab dan minuman ‘mojito’ jenama Habibtea, sekali gus pempengaruh di laman media sosial.

Sebelum ini, penyanyi lagu Tunggu itu, merupakan lulusan Diploma Reka Bentuk Runcit dan Layanan Tamu daripada Politeknik Temasek (TP), namun beliau sedar bidang tersebut bukanlah minat sebenarnya.

Mewarisi darah seni daripada kededua ibu bapanya, Allahyarham Aman Shah dan Farah Diba Abdul Aziz daripada kumpulan duo, The Queens, Zalelo mengakui dirinya lebih terangsang apabila bekerja di bawah tekanan.

“Saya suka menyibukkan diri dengan pelbagai perkara.

“Ia memberi saya satu kepuasan diri, seperti benar-benar sedang mencapai kejayaan dalam hal-hal yang saya lakukan secara harian. 

“Saya juga sangat teratur dalam merancang masa. Kalendar saya penuh dengan pelbagai kod warna untuk setiap komitmen yang berbeza.

“Saya juga sudah menguruskan Habibtea selama lima tahun (sejak 2020), dan kini saya mempunyai lebih ramai kakitangan. 

“Jadi, mengendalikan perniagaan ini jauh lebih mudah berbanding ketika saya baru bermula dulu.

“Saya masih menyimpan satu rakaman lama. Ketika itu, saya sedang mengikuti kuliah dalam talian, sambil melatih pekerja di reruai Habibtea di bazar Raya.

“Itulah antara detik ‘paling sibuk’ yang tidak akan saya lupakan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom.

Di samping itu, Zalelo turut berkongsi kepada BM mengenai hasratnya membuka kedai Habibtea pada 2025.

Bagaimanapun, impian itu terpaksa ditangguhkan, lebih-lebih lagi dengan berita ramai peniaga makanan dan minuman (F&B) terpaksa gulung tikar akibat ketidaktentuan ekonomi.

Dibesarkan dalam keluarga yang menekankan pendidikan, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik ini membentuk dirinya menjadi seorang yang berdisiplin dan teguh dalam pendirian, khususnya dalam usaha mempertingkatkan diri dari segi akademik.

Bahkan, Zalelo turut diberi peluang memperkasa kemahiran dalam bidang komunikasi dan pemasaran ketika memegang peranan sebagai pengurus publisiti sementara di SUSS. 

“Sekitar empat bulan lalu (Jun), pihak SUSS menghubungi saya dan menawarkan tugas sebagai pengurus publisiti di universiti tersebut.

“Tawaran ini hanya diberikan khususnya bagi penuntut Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku (SHBS) di SUSS sahaja.

“Dalam tempoh sebulan berkhidmat, saya mendapati pekerjaan ini sangat memuaskan dan saya juga dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan baik. 

“Malah, saya turut bertanggungjawab menghasilkan kandungan, mencipta dan mengurus laman Instagram, SHBS SUSS, bagi menarik perhatian ramai terhadap fakulti di universiti ini.

“Saya turut berpeluang mewawancara penuntut SUSS dan pensyarah dalam fakulti SHBS.

“Saya juga mengusahakan siri terbaru, Voices of SHBS, untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kegiatan di fakulti ini,” ujar Zalelo, yang turut terlibat dalam peraduan nyanyian realiti, Kaki Nyanyi, pada awal 2025.

Sekiranya arwah bapanya masih berada di sisi, apakah nasihat atau kata-kata pemberi semangat yang mungkin beliau titipkan melihat kejayaan Zalelo kini?

“Saya rasa beliau pasti akan berasa bangga, kerana ini merupakan hasil daripada segala usaha dan jerih perih saya, sambil terus aktif dalam bidang seni dan menguruskan perniagaan sendiri.

“Saya sedar ini mungkin sesuatu yang tidak sempat beliau capai dulu. Saya pernah bertanya tentang hal ini kepadanya.

“Beliau pernah berkata, ‘Dulu Papa minat bidang reka bentuk dalaman, tetapi tidak meneruskan minat itu dan memilih untuk menjadi penyanyi’.

“Meskipun kami pernah berpisah, begitu banyak perkara yang masih saling berkait. Oleh itu, saya yakin beliau pasti berasa bangga,” katanya, yang telah mendirikan rumah tangga pada 2023.

Dalam perkembangan lain, lagu hasil ciptaan Zalelo sendiri yang dijadikan runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Mediacorp Suria, Korban Musim Kedua, berjudul Bebas, meraih anugerah Lagu Tema Terbaik pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2025.

Ini merupakan kali kedua beliau menyumbang lagu bagi drama terbitan Monochromatic Pictures, yang digunakan sebagai OST drama itu serta diiktiraf.

Lagu OST bagi siri pertama drama Korban, yang juga dicipta oleh Zalelo dengan judul yang sama, dicalonkan dalam kategori Lagu Tema Terbaik di Pesta Perdana 2023.

Pada 11 Oktober, beliau turut mencatat sejarah dalam kerjaya seni dengan persembahan sulungnya, Pop and Rock Off!, di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade.

Selain menyajikan karya asli, Zalelo mempersembahkan untaian lagu saduran bertenaga yang memadukan unsur pop dan rok.

Beliau juga tidak melepaskan peluang membawakan lagu rok ‘wajib’ nyanyi, Gunslinger, nyanyian asal kumpulan Avenged Sevenfold, yang telah ditulis semula dalam versi Melayu olehnya dan menjadi tular di TikTok serta meraih sambutan daripada pencinta muzik di Malaysia dan Indonesia.

Seterusnya, Zalelo merancang untuk mengeluarkan lagu berbentuk respons kepada lagu dendangan arwah bapanya pada 1982, Adikku Pandai Menari, pada awal 2026.

Watch on YouTube

Sementara itu, bagi yang berminat untuk mendengarkan lagu Gunslinger (Avenged Sevenfold) dalam versi bahasa Melayu dendangan Zalelo, boleh tonton di bawah ini.

Watch on YouTube

“Saya suka menyibukkan diri dengan pelbagai perkara. Ia memberi saya satu kepuasan diri, seperti benar-benar sedang mencapai kejayaan dalam hal-hal yang saya lakukan secara harian.”
Zalelo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg