Pelakon drama ‘berhantu’ Love You Mr Arrogant, Zara Zya, 40 tahun, merancang untuk meneruskan tindakan saman fitnah kepada lelaki yang didakwa menyamar sebagai dirinya dengan tujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang, baru-baru ini.
Zara, atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, berkata tindakan undang-undang itu perlu dibuat demi membersihkan namanya akibat perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki terbabit.
“Saya sudah beri tempoh 24 jam untuk dia minta maaf, tapi sampai sekarang dia masih belum berbuat demikian.
“Malah, apabila pihak polis hubungi dia pun, dia beri banyak (pelbagai) alasan,” katanya kepada laman Harian Metro.
Terdahulu, Zara berkongsi lelaki yang didakwa menyamar sebagai dirinya dan memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang menerusi Instagram dan turut memaparkan tangkap layar perbualan individu berkenaan dengan mangsa.
Lelaki itu didakwa menyamar sebagai Zara dengan menghubungi mangsa secara bertulis dan bercetak melalui WhatsApp untuk menipu bagi mendapatkan wang.
Selain itu, lelaki itu turut meyakinkan mangsa dengan mendakwa ada projek usaha sama antara Zara dengan sebuah syarikat penerbangan.
Zara juga sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci terlebih dulu sebelum tindakan selanjutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg