Topic followed successfully
Go to BHkuHindar ‘Sindrom Kelas Ekonomi’ semasa penerbangan jarak jauh
Hindar ‘Sindrom Kelas Ekonomi’ semasa penerbangan jarak jauh
Bagaimana mengesan gejala dan mengambil langkah berjaga-jaga?
Hindar ‘Sindrom Kelas Ekonomi’ semasa penerbangan jarak jauh
Perjalanan jarak jauh, khususnya penerbangan yang memakan masa lapan jam atau lebih, mendatangkan risiko paling besar kepada penumpang menghidap keadaan perubatan yang boleh mengancam nyawa.
‘Sindrom Kelas Ekonomi’ – yang merujuk kepada tempoh berpanjangan seseorang tidak bergerak dalam ruang yang terbatas – boleh mengurangkan pengaliran darah secara keseluruhan, lalu membawa kepada Embolisme Pulmonari yang boleh menyebabkan seseorang meninggal dunia.
Darah beku berlaku apabila pengaliran darah semakin perlahan atau berhenti, disebabkan kurangnya bergerak.
Berada dalam sekitaran kelembapan rendah – seperti dalam pesawat – juga boleh menyebabkan dehidrasi yang memekatkan darah. Ini membuat seseorang lebih cenderung mengalami darah beku dalam penerbangan tempoh panjang.
Bagaimana mengesan gejala dan mengambil langkah berjaga-jaga?
Berikut soal jawab bersama Dr Pinakin V Parekh, Perunding Pakar Kardiologi, Pusat Jantung dan Vaskular The Harley Street, Singapura. – Foto PUSAT JANTUNG HARLEY STREET
1. Apa itu Trombosis Urat Dalam, atau ‘Deep Vein Thrombosis’ (DVT) dan bagaimana ia membawa kepada Embolisme Pulmonari atau ‘Pulmonary Embolism’ (PE)?
DVT berlaku apabila darah beku timbul di dalam urat dalam kaki.
Anda boleh mendapat DVT apabila anda duduk atau baring buat tempoh berpanjangan, seperti sewaktu penerbangan atau ketika berehat di katil setelah pembedahan.
Apabila anda tidak bergerak cukup, darah di dalam urat mengalir lebih perlahan ke jantung, dengan darah terkumpul di dalam urat dan menyebabkan darah beku timbul.
Apabila bekuan itu terpisah dan mengalir dalam darah ke paru-paru melalui jantung, PE berlaku.
Ini keadaan yang bahaya dan boleh mengancam nyawa kerana darah beku boleh menyekat saluran darah di dalam paru-paru, menyebabkan kurang oksigen untuk diserap oleh paru-paru dan membawa tekanan kepada jantung.
Sekitar 4 peratus hingga 14 peratus orang yang mengalami DVT mempunyai risiko meninggal dunia disebabkan PE.
2. Apa tanda-tanda awal DVT/PE dan apa yang perlu penumpang lakukan dalam kes kecemasan?
Sekitar separuh mereka yang mengalami DVT tidak menunjukkan sebarang gejala.
Gejala paling biasa DVT yang berlaku sama ada di kaki atau lengan ialah bengkak pada kaki atau lengan, sakit yang tidak dapat dijelaskan, kulit hangat apabila disentuh, dan kemerahan kulit.
PE juga boleh berlaku tanpa sebarang gejala DVT.
Beberapa gejala PE termasuk kesukaran bernafas, degupan jantung lebih laju daripada normal atau tidak tetap, ketidakselesaan atau sakit dada yang bertambah teruk apabila mengambil nafas dalam atau apabila batuk, batuk berdarah, dan tekanan darah amat rendah, pening atau pengsan.
Sekiranya anda mengalami sebarang simptom itu, anda harus berjumpa pakar kardiologi dengan segera kerana PE boleh menyebabkan kematian mendadak akibat serangan jantung.
3. Apa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami DVT/PE?
Faktor risiko sedia ada untuk DVT/PE termasuk keadaan seperti:
- Urat varikos
- DVT atau PE sebelumnya
- Baru menjalani pembedahan umum besar atau dalam pemulihan selepas pembedahan besar.
- Duduk buat tempoh yang lama, seperti semasa penerbangan jarak jauh.
- Tidak berupaya bergerak, pergerakan terbatas, atau lumpuh.
- Peningkatan tahap estrogen disebabkan oleh kontraseptif oral, terapi penggantian hormon atau kehamilan (sehingga tiga bulan selepas bersalin).
- Sejarah keluarga pembekuan darah dan gangguan pembekuan.
- Kanser, terutamanya jika kanser telah merebak, dan jika pesakit telah menjalani kemoterapi dan pembedahan
- Kecederaan pada urat yang disebabkan patah tulang, kecederaan otot teruk atau pembedahan besar pada pinggul, pelvis atau kaki.
- Keadaan perubatan seperti penyakit jantung, penyakit paru-paru dan penyakit radang usus.
- Umur semakin meningkat.
- Obesiti.
4. Apa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko menghidap DVT/PE sebelum dan sewaktu penerbangan tempoh lama?
Apabila membeli tiket penerbangan, cuba beli tempat duduk di tepi lorong berbanding dengan tempat duduk di tepi jendela kerana ini membolehkan anda bergerak lebih bebas dalam ruang yang kurang terbatas.
Sebelum penerbangan, buat janji temu dengan doktor anda untuk membincangkan risiko anda, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan pencair darah seperti antikoagulan atau antiplatelet, atau mungkin mengalami risiko darah beku, lebih-lebih lagi jika anda telah menjalani pembedahan atau seorang anggota keluarga mempunyai sejarah darah beku.
Sewaktu penerbangan, terdapat cara untuk mencegah pembentukan darah beku, lalu mengurangkan risiko menghidap DVT/PE.
Pertama, perlu peka tentang risiko dan tanda-tanda mahupun simptom darah beku.
Sering gerakkan kaki anda jika anda duduk buat tempoh lama.
Senaman mudah yang boleh dilakukan adalah dengan meluruskan kaki anda dan melenturkan buku lali anda beberapa kali, menarik jari kaki anda ke arah anda. Ini boleh memperbaiki aliran darah dalam kaki anda.
Rujuk kepada doktor anda dan ketahui sama ada stoking mampatan preskripsi mungkin sesuai untuk anda.
Ini perlu disesuaikan kepada setiap individu.
Pastikan diri anda mempunyai hidrasi baik sepanjang penerbangan.

