Penyanyi kegemaran ramai, Aina Abdul dan Ernie Zakri kerap menjadi tumpuan ramai, apatah lagi jika mereka saling bersaing dalam acara melibatkan penyampaian anugerah gah.
Nama kedua-duanya memang tidak asing lagi kerana memiliki tahap vokal bertaraf antarabangsa.
Namun begitu, nama mereka sering dibandingkan oleh segelintir peminat muzik.
Ramai menganggap Aina, 29 tahun, dan Ernie, 31 tahun, saling bersaing sehingga rata-rata warganet memberi respons toksik dalam media sosial, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Aina menjelaskan kritikan negatif warganet sama sekali tidak menjejas hubungannya bersama Ernie sebagai rakan baik dalam industri.
Penyanyi lagu Sepi dan Semalam itu berkata beliau mengenali sikap Ainations (kelab peminatnya) yang sebenar iaitu tidak akan bercakap buruk sehingga mencalar imej dirinya sebagai Aina Abdul.
“Satu komen tak akan memberi kesan kepada apa-apa perkara. Saya dan Ernie, kami masih ‘best buddies’ (sahabat karib). Kami pergi gimnasium bersama, jadi tiada istilah saling bersaing sesama sendiri.
“Walaupun ada memberikan komen buruk mengenai saya dan Ernie, tetapi saya tak mahu peminat bertelagah.
“Saya tahu peminat saya, sekiranya benar yang berkata-kata dalam media sosial memang peminat tegar Aina, saya yakin mereka tak akan berkata buruk seperti ini. Saya akan tetap pertahankan peminat saya,” ujar Aina.
Tambah Penyanyi Wanita Popular Anugerah Berita Harian (ABPBH) ke-35 ini, Aina berharap orang ramai akan berhenti menyakiti Ernie dan keluarganya.
“Jumpalah saya dan Ernie. Kami ‘cool’ sahaja. Saya harap tolong jangan cakap perkara yang boleh melukakan hati Ernie dan keluarga. Saya tak nak ada masalah dengan sesiapapun sebab saya mahukan persaingan menyeronokkan dan industri yang meriah.
“Kalau nak tahu, saya dan Ernie tak pernah sekali pun bercakap mengenai industri ataupun peminat bila berjumpa. Kami cuma seronok makan. Banyak perkongsian dari hati ke hati... perihal wanita. Sembang kedai kopi sahaja,” akhirinya.
Sebelum ini, nama Aina dan Ernie hangat menjadi perbualan ramai di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai kontroversi.
Beberapa bulan lalu, heboh media sosial menyatakan tentang ‘peminat taasub’ Aina yang mengecam Ernie sehingga ada yang memberi amaran agar perbuatan itu dihentikan.
Ernie pula berkata beliau tidak berkecil hati jika ada yang tidak senang dengan suaranya atau tidak suka pada cara beliau menyanyi kerana menganggapnya perkara biasa. Lantaran pula, semua orang ada cita rasa berbeza.
Ernie, pelantun lagu Ku Bersuara, berharap budaya membandingkan artis tidak akan diteruskan kerana semua orang mempunyai kekuatan dan kelainan tersendiri. Baginya, hubungan beliau dengan Aina baik-baik sahaja.
“Industri ini kecil sangat. Kalau tidak mahu sokong tidak mengapa. Nak sokong, alhamdulillah. Jangan gaduh-gaduh okey. Jangan stres! Kami dekat sini okey sahaja.
“Kenapa kena serabutkan fikiran anda semua? Tolong buat baik kepada orang lain, jika bukan dengan saya tapi orang lain,” ujar Ernie.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg