Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Huraian digital bersepadu IMDA bantu SME sektor runcit, keselamatan

Bantu firma gabung pelbagai fungsi niaga, bolehkan aliran maklumat lancar rentas operasi
Jul 18, 2024 | 5:30 AM
komputer
Huraian pengurusan runcit pelbagai saluran (OCRM) peruncit dan pengurusan keselamatan bersepadu (ISM) akan dirintis selama setahun dan dijangka menyokong 100 SME mendalami keupayaan digital mereka. - Foto PIXABAY

Syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam sektor runcit dan keselamatan boleh memanfaatkan huraian digital bersepadu daripada dua kategori baru di bawah inisiatif Huraian Digital Lanjutan (ADS) Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Dua kategori yang dilancarkan ialah pengurusan runcit pelbagai saluran (OCRM) untuk peruncit dan pengurusan keselamatan bersepadu (ISM) untuk agensi keselamatan, dengan kerjasama Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

IMDA dalam kenyataannya berkata dua kategori itu merupakan huraian khusus sektor yang bertujuan membantu perusahaan menggabungkan pelbagai fungsi perniagaan dan membenarkan aliran maklumat yang lancar merentasi operasi mereka, di samping menghasilkan analisis dan pandangan data.

Program perintis itu akan berjalan selama setahun dan diharap dapat melengkapkan 100 SME dengan huraian digital yang canggih untuk memperdalam keupayaan digital mereka, memacu transformasi digital dan membina daya tahan perniagaan untuk pertumbuhan dalam ekonomi digital.

Inisiatif ADS IMDA dilancarkan pada 2020 untuk menyokong SME dalam mengguna pakai huraian digital bersepadu yang sejajar dengan pelan digital industri pemerintah.

SME yang layak boleh menerima sehingga 70 peratus sokongan pembiayaan untuk menggunakan huraian sedemikian.

Huraian Digital Bersepadu bantu SME

Huraian digital yang boleh membantu menyepadukan dan menyelaras operasi perniagaan menjadi semakin penting lebih-lebih lagi apabila syarikat mempunyai rancangan berterusan mengembangkan perniagaan mereka.

Dengan memanfaatkan huraian OCRM baru misalnya, peruncit boleh memberikan pelanggan pengalaman secara bersatu merentas titik interaksi pelanggan seperti kedai runcit fizikal, e-pasaran dan saluran dalam talian.

Pada masa yang sama, mereka boleh menyepadukan operasi merentasi fungsi bahagian belakang seperti pengurusan inventori dan pengurusan perhubungan pelanggan.

Cik Jeannie Lim, penolong pengarah urusan perkhidmatan dan perusahaan pertumbuhan EnterpriseSG, berkata bahawa pengguna kini mengharapkan personalisasi peringkat tinggi dan peralihan yang lancar merentasi pelbagai titik interaksi pelanggan daripada jenama.

“Sokongan bagi huraian OCRM akan membantu peruncit menguruskan permintaan ini dan memperkemas operasi dengan menyediakan pemantauan yang disatukan tentang aspek kritikal (perniagaan) seperti pengurusan inventori dan perhubungan pelanggan,” katanya.

Agensi keselamatan kecil dan sederhana pula boleh memanfaatkan huraian ISM untuk meningkatkan keupayaan operasi mereka dan melanjutkan tawaran perkhidmatan mereka melangkaui operasi pengawal keselamatan tradisional.

Huraian diperkasa AI

Sebagai contoh, platform ISM bersepadu dapat memanfaatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) seperti penglihatan komputer, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam.

Ia juga boleh disepadukan dengan sistem lain untuk menawarkan pemantauan tentang pengurusan kemudahan bersepadu melalui papan pemuka, serta membolehkan pemantauan masa nyata, kawalan dan tindak balas insiden.

Encik Harris Rusdi Chai, pengarah direktorat dasar keselamatan MHA, kumpulan operasi bersama, berkata:

“Terdapat minat yang semakin meningkat oleh industri keselamatan untuk bergerak ke arah model operasi yang lebih diselaraskan dan bersepadu, dan ISM menyediakan huraian untuk berbuat demikian.”

IMDA berkata huraian itu akan dinilai berdasarkan kesesuaiannya untuk penggunaan besar-besaran SME, sebelum ditingkatkan melalui sokongan seperti Geran Huraian Produktiviti.

Encik Leong Der Yao, Penolong Ketua Eksekutif, Kumpulan Transformasi Sektoral, IMDA, berkata:

“Apabila SME mengembangkan perniagaan mereka dan mempergiat penggunaan huraian digital mereka, keperluan penyepaduan yang lancar menjadi pertimbangan penting.

“Huraian OCRM dan ISM, disusun dengan huraian tersenarai pilihan rakan kongsi, adalah penting kepada strategi Pelan Tindakan Perusahaan Digital (DEB) yang lebih luas untuk memperkasakan SME menerima huraian digital bersepadu.

Encik Leong menambah, dengan memanfaatkan huraian bersepadu ini, SME dapat menyelaraskan operasi, meningkatkan keupayaan mereka, dan kekal berdaya saing dalam landskap pasaran yang berkembang pesat masa kini ini.

Manfaat Huraian Digital

Antara SME yang telah mendapat manfaat daripada huraian OCRM ialah Superpets.

Syarikat makanan dan produk untuk haiwan belaan menggunakan aplikasi mudah alih untuk menguruskan pesanan pembelian dalam talian untuk mempertingkat saluran e-dagang mereka.

Menurut Encik Simon Ang, Timbalan Sistem dan Informatik, Superpets:

“Sebelum ini, kedai elektronik kami di pasaran Lazada dan Shopee beroperasi secara berasingan. Kami terpaksa melakukan kemas kini stok secara manual bagi lebih 6,000 produk yang berbeza. Sistem bersepadu yang baru meningkatkan kecekapan operasi kami dengan ketara.”

Bagi Encik Peter Shanmugam, Pengarah Urusan, syarikat Khidmat Penyiasatan dan keselamatan Pedro pula, pihaknya mempunyai rancangan memanfaatkan platform ISM.

“Kami jangkakan bahawa platform ISM akan menghasilkan anggaran 40 peratus penjimatan kos tenaga kerja dengan mengoptimumkan peranan pegawai keselamatan, pekerja pembersihan dan kakitangan pengurusan hartanah.

“Penjimatan ini, ditambah dengan kerjasama yang lebih baik dengan pembekal perkhidmatan pengurusan kemudahan lain, akan memperkasakan pelanggan kami,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg