SELAMA bertahun-tahun, personaliti komedi, Husin Saaban telah memberi bermacam khidmat untuk majlis kahwin orang Melayu - sebagai pengacara majlis, deejay, bahkan pembikin pelamin juga.

Setiap pengalaman berkhidmat itu, kata Husin, beliau selalu membayangkan bagaimana majlis itu akan menjadi lebih baik, meriah dan bermakna.

Justeru apabila beliau akhirnya sendiri berkesempatan menjadi bapak pengantin dalam majlis bagi meraikan perkahwinan anak tunggalnya, Mohamed Raihan, 36 tahun, pada Ahad lalu, Husin menggabungkan semua pengalaman yang diraih dan merealisasikan majlis impiannya.

Raihan, yang bertugas di Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), telah memperisterikan gadis pilihannya, Cik Nabilah Syahirah.

Majlis berlangsung di dua dewan Istana Ballroom di Tanjong Katong Complex dihadiri lebih 1,400 orang.

Contohnya untuk upacara pernikahan, Husin sendiri memastikan ada persembahan qasidah dan selawat - yang menimbulkan suasana hening dan damai.

"Saya adakan raptai untuk memastikan semua berjalan lancar,'" kata Husin.

Bahkan majlis pernikahan disiarkan secara langsung di media sosial, atas tajaan Protrack Productions.

Untuk acara bersanding pula, kemeriahan dipecahkan dengan paluan kompang, tarian Melayu tradisional dan hiburan secara "live".

Bahkan pengantin ketika menuju ke tempat majlis, diiringi beberapa motosikal Harley Davidson dan lapan kereta mewah klasik.

Lebih menarik, ramai rakan-rakan artis tampil untuk membantu melancarkan majlis, kebanyakannya sebagai penyambut tetamu.

Antaranya termasuklah BJ Kadir, Sahfudin Mahfudz, Arif Esa, Keater HM, Norsiah Ramly dan beberapa orang lagi.

Yang lelaki mengenakan tanjak.

"Saya cukup terharu kerana ramai kawan-kawan tampil untuk membantu. Mereka sudah menjadi seperti keluarga saya.

"Tetamu pula, di kalangan penyanyi dan selebriti, ramai yang tidak teragak-agak menyumbangkan suara menghiburkan tetamu. Saya sangat-sangat berterima kasih," kata Husin.

Lebih bersyukur kerana beliau dapat menjalankan majlis itu selepas langkah-langkah kawalan Covid-19 dilonggarkan.

"Semasa Raihan dan Nabilah tunang setahun lalu, bilangan tetamu sangat terhad, banyak langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dan semua tetamu masih gunakan pelitup.

"Alhamdulillah... bila tiba majlis ini, keadaan sudah jauh lebih baik. Saya ibaratkan majlis ini sebagai hadiah untuk saya kerana Raihan satu-satunya anak saya," kata Husin.

"Saya adakan raptai untuk memastikan semua berjalan lancar... Saya cukup terharu kerana ramai kawan-kawan tampil untuk membantu. Mereka sudah menjadi seperti keluarga saya. Tetamu pula, di kalangan penyanyi dan selebriti, ramai yang tidak teragak-agak menyumbangkan suara menghiburkan tetamu. Saya sangat-sangat berterima kasih... Saya ibaratkan majlis ini sebagai hadiah untuk saya kerana Raihan satu-satunya anak saya."

- Husin Saaban.