Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ibu Aliff Aziz senang lihat anak kian tenang

Jan 30, 2022 | 09:25 AM



Ibu mana yang enggan melihat anaknya berjaya dalam bidang seni yang disayangi. Mempunyai seorang anak dalam dunia hiburan sudah cukup berat amanahnya, apatah lagi kalau mempunyai dua anak sekali gus menceburi bidang ini. Akur bahawa dunia hiburan penuh dengan asam garamnya, dua ibu ini sentiasa berpesan dengan si anak agar bijak menjaga diri. BERITA MINGGU melaporkan pengalaman ibu kepada artis Singapura.



MENDIDIK anak yang berkecimpung dalam bidang seni, apa lagi dalam era mencabar media sosial, ibarat bermain layang-layang dengan harapan tali lelayang tidak putus dipukul badai.



Tidak boleh terlalu ketat sehingga si anak terasa payah bernafas dan tidak pula terlalu kendur sehingga anak terbiar membawa haluan sendiri malah terlepas bebas sampai memudaratkan diri.



"Kita harus main tarik hulur, tarik hulur...macam main layang-layang. Kalau dia tersilap dan terjatuh, kita tak boleh terus biarkan atau marah dia habis-habisan. Nanti dia semakin jauh daripada kita, susah pula keadaannya. Saya hanya mampu berdoa. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah. Moga Allah buka hatinya untuk berubah dan buat yang terbaik," jelas ibu penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Cik S. Hafiza Basharahil.



Masih segar dalam ingatan perbualan kami ketika menjamu selera di majlis persandingan juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid pada 2019. Kebetulan, kami berkongsi meja tengah hari itu.



Tabik saya dengan kesabaran dan kecekalan Kak Fiza (panggilan saya buatnya) dan suaminya Abang Aziz.



Tatkala itu, ujian Aliff yang terpalit dengan pelbagai isu tingkah laku dan kontroversi datang bertubi-tubi.



Sedikit sebanyak tempias kecaman warganet turut dilontar kepada ibu bapanya.



Namun, berkat kuasa Allah dan doa seorang ibu yang tidak pernah putus menampakkan hasilnya sewaktu pandemik Covid-19 melanda.



Satu demi satu berita perubahan positif Aliff, 30 tahun, memenuhi media sosial sejak beliau kembali ke pangkuan isteri Bella Astillah dan dua cahaya mata mereka, Mohamad Ayden Adrean, empat tahun dan Ara Adreanna, setahun setengah.



Beliau terdorong mengikuti jemaah tabligh selepas menonton Instagram TV pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail.



Sehari selepas Aliff dinobatkan sebagai juara peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza 8 (GV8) Ahad lalu, saya menghubungi Kak Fiza untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan anak sulungnya itu.



Wawancara kali ini sarat emosi, menyentuh jiwa dan penuh iktibar.



"Alhamdulillah, Aliff temui ketenangan yang selama ini dia cari bersama sahabat yang menerimanya seadanya dan tidak menilai.



"Sebelum ini, memang dia tercari-cari tetapi belum ketemu sahabat sebaik itu dan masih dibelenggu dengan pemikiran dia banyak dosa dan adakah orang baik yang sudi mendampinginya tanpa mengungkit dan mempersenda perbuatan silamnya?



"Pergaulan yang baik dan kasih sayang beberapa sahabat yang baru ditemuinya inilah yang membuka pintu hati Aliff untuk menuju ke arah kebaikan, sesuatu yang sangat bernilai dan tidak boleh dicari di mana-mana.



"Saya kira apabila Aliff bersatu semula dengan isteri dan anak-anak di Kuala Lumpur selepas lama terpisah ekoran pandemik menjadikan jiwanya lebih tenang, terurus dan bahagia. Aspek ini juga banyak membantu," cerita Cik Hafiza, yang juga mempunyai seorang lagi anak dalam bidang seni, Aisyah Aziz, 27 tahun.



Kembar Aisyah, Ayeen adalah satu-satunya yang tidak terlibat dalam nyanyian profesional.



Menurut Cik Hafiza lagi, ramai kenalan menyatakan mereka kagum dengan kecekalannya.



Namun, beliau menjelaskan dirinya sebenarnya tidak kuat tanpa sokongan dan kata-kata perangsang suaminya, Encik Aziz Sapdan.



"Biasalah, kita sebagai wanita dan ibu akan mudah emosi kalau timbul masalah anak. Rasa marah, rasa sedih semuanya bercampur-aduk. Senang juga beri reaksi.



"Saya tidak kuat. Yang lebih tabah, tenang dan sabar ayah Aliff yang mewarisi ketenangan ibunya. Mak mentua saya cukup baik. Ayah Aliff tidak mudah menggelacak. Katanya kepada saya, 'gunakan kelebihan saya sebagai ibu untuk doakan Aliff dan anak-anak lain'. Insya-Allah, doa ibu akan lebih mudah terkabul dan makbul.



"Beliaulah tunggak kekuatan saya. Memang beliau tak banyak berbicara tetapi selalu ada untuk anak-anaknya," kata Cik Hafiza lagi.



Ada ketika beliau tertanya-tanya di mana silapnya tetapi akur setiap ujian demi lebih mendekatkan dirinya dengan Allah. Mengingati detik sukar Aliff membangkitkan semula semangatnya, beliau berterima kasih ada insan berhati mulia seperti Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar dan pasukannya yang membantu.



"Menerusi isteri Suhaimi Yusof (pengacara, pelawak dan pelakon), kakitangan Dr Hasbi menghubungi saya dan menawarkan bantuan buat Aliff untuk bekerja bersama mereka dan semai semula semangat positif dalam dirinya.



"Ketika itu, saya akui Aliff berada pada tahap paling rendah kehidupannya. Sangat 'down'. Beliau diajak buat kerja kemasyarakatan dan mengagih makanan buat penerima bantuan Jamiyah. Saya difahamkan Dr Hasbi memberitahu kakitangannya lebih baik fikirkan cara mengusahakan bantuan buat Aliff daripada membiarkannya terus dikecam.



"Budi Dr Hasbi dan pegawai Jamiyah lain amat kami sekeluarga hargai. Ia beri Aliff arah tuju baru sebagai permulaan. Malah, mereka juga banyak membantu apabila Aliff perlu pulang ke pangkuan keluarga.



"Mereka selalu mendoakan dan faham Aliff tidak dapat teruskan bekerja di Jamiyah kerana amanahnya pada isteri dan anak-anak di Kuala Lumpur," cerita Cik Hafiza lagi.



Dengan Aliff membuka lembaran baru susuli kemenangannya di GV8, ibu yang menyaksikan sendiri jatuh bangun anaknya itu menyatakan beliau banyak belajar daripada Aliff.



"Aliff mensyukuri mempunyai ibu ayah yang masih sihat dan mendoakannya. Saya tak sangka akan belajar banyak daripada anak sendiri. Beliau selalu berkongsi tentang nikmat buat baik dengan orang dan ambil berat terhadap sahabat. Sepanjang bertanding di GV8, selalu Aliff pinta saya doakan rakan-rakannya yang lain.



"Saya mendoakan agar Aliff terus tenang, berlapang dada menjadi suami, ayah dan insan yang baik serta hidayah yang diberi Allah kepadanya akan terus berkekalan dan tidak ditarik balik. Sampai masa saya tutup mata, sekurang-kurangnya saya juga tenang dia dekat dengan Allah," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >