Sekurang-kurangnya sekali seminggu, Cik Siti Shahydah Lista Taha akan keluar rumah sekitar 9 malam, meninggalkan anak-anaknya yang sedang tidur di rumah ditemani suami atau ibunya.
Beliau menyarung kasut dan mencapai salah satu daripada tiga papan lungsur surfskate yang beliau miliki dan memandu keretanya ke Taman East Coast.
Di sana, beliau bertemu beberapa wanita lain, kebanyakan mereka kaum ibu, dan melungsur di taman lungsur selama sekitar dua jam sebelum pulang.
Cik Shahydah, 40 tahun, telah melakukan rutin sedemikian sekitar empat tahun selepas berjinak-jinak dengan sukan tersebut semasa pandemik Covid-19.
Ia adalah salah satu cara ibu dua anak berumur sembilan dan 14 tahun itu meluangkan masa untuk dirinya melakukan kegiatan yang diminati.
Peruntukan masa itu disebut sebagai ‘me time’ atau ‘masa sendiri’ .
“Saya diperkenalkan kepada kegiatan ini oleh saudara saya tetapi saya tidak terfikir saya akan mencubanya kerana ia nampak macam menyeramkan dan saya juga tidak yakin saya boleh melungsur disebabkan berat badan saya.
“Saya juga fikirkan tentang apa yang orang akan kata apabila melihat saya di atas papan lungsur.
“Tapi saya beranikan diri dan cuba. Pada mulanya saya tidak boleh mengimbangi badan di atas papan dan perlu memeluk tiang supaya tidak jatuh. Tapi sejak kali pertama mencubanya, saya terpaut dan mahu melungsur setiap hari,” kata Cik Shahydah.
Surfskate adalah sejenis kegiatan papan lungsur yang memberi pengalaman melungsur di atas tanah.
Papan lungsur itu dicipta oleh pelungsur ombak yang mahu melungsur walaupun pada hari laut tidak berombak.
Tidak sekadar khuatir keupayaannya melungsur, Cik Shahydah juga memikirkan tentang pandangan orang lain, lebih-lebih lagi ahli keluarga, apabila beliau kerap keluar malam.
“Tapi saya sedar, apa yang penting adalah saya tahu saya tidak mengabaikan keluarga saya. Saya bekerja sepenuh masa dan setelah pulang, saya luangkan masa bersama anak-anak dan pastikan keperluan mereka terjaga.
“Saya keluar rumah pun selepas anak-anak dan ibu saya sudah tidur dan apabila suami saya kerja malam.
“Saya juga menyesuaikan kegiatan ‘me time’ saya dengan keperluan anak-anak. Misalnya pada awal tahun dan menjelang musim peperiksaan, saya akan kurangkan kegiatan melungsur dan meluangkan lebih banyak masa dengan mereka,” kata pegawai eksekutif tuntutan itu yang pernah melungsur hingga tiga kali seminggu pada suatu ketika.
Memandangkan ramai rakan-rakan melungsurnya juga merupakan ibu dengan anak kecil, Cik Shahydah berkata mereka perlu menyusun masa dengan teliti serta memastikan ada orang di rumah untuk menemani anak-anak apabila mereka keluar bersukan.
“Saya selalunya melungsur pada hari biasa bagi mengelakkan ramai orang pada hujung minggu. Apabila tidak ada ramai orang, kami dapat memberi lebih tumpuan kepada kegiatan kami.
“Tapi adakala saya melungsur pada hujung minggu, dan saya akan bawa anak-anak melungsur bersama,” katanya.
Bagi Cik Shahydah, ‘me time’ adalah penting untuk ibu-ibu terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
“Sebagai ibu yang bekerja, saya meluangkan separuh hari saya di tempat kerja dan beberapa jam di rumah menguruskan anak-anak. Hujung minggu pula sibuk dengan kegiatan untuk anak-anak dan keluarga.
“Jadi dengan meluangkan sedikit masa untuk diri saya sekurang-kurangnya sekali seminggu, saya rasa ia baik bukan sahaja untuk mental bahkan juga kesihatan dan kecergasan diri saya,” kata Cik Shahydah.
“Sejak melungsur, saya dapati berat badan saya mula turun dan penyakit semput yang saya alami telah berkurangan. Badan saya juga rasa lebih ringan,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg