Kebimbangan mula mengisi jiwanya tatkala ibu dua anak, Cik Siti Khairunnisa Zulkifle, terpaksa terbang solo ke luar negara tanpa anak-anaknya di sisi.
Manakan tidak, bayinya masih menyusu badan sepenuhnya.
Seperti ramai ibu yang masih memberi susu badan, keprihatinan utama Cik Khairunnisa adalah sama ada stok susu badan yang ditinggalkan buat anaknya cukup sepanjang ketiadaannya dan sama ada bekalan susu dalam dirinya akan berkurang tanpa bayinya.
“Ini agak memberi tekanan memandangkan anak saya tidak mengambil susu formula disebabkan keadaan ekzema dan saya sangat berhati-hati apabila memperkenalkan tenusu ke dalam dietnya.
“Saya tak henti risau tentang bekalan susu saya sepanjang perjalanan – sama ada ia dapat terus memenuhi keperluannya atau tidak,” kata beliau.
Bagaimanapun, pemilik syarikat produk laktasi Milkforbubs itu mengorak langkah berani pada Julai 2024 untuk mengambil penerbangan ke Shanghai, China, selama empat hari atas urusan kerja.
Walau menyifatkannya sebagai satu “kemenangan”, apa yang benar-benar membuatkan pengalaman itu jauh lebih manis adalah beliau tidak pulang dengan tangan kosong.
Sebanyak empat kilogram susu beku yang dipam daripada tubuhnya berjaya diangkut sepanjang perjalanan 10 jam sebelum pulang ke pangkuan keluarga.
Membuat persiapan sebelum perjalanan, kata Cik Khairunnisa, adalah sangat penting dari segi mental atau fizikal.
Seawal sebulan sebelum menaiki pesawat, beliau sudah gigih berusaha mengepam lebih banyak susu daripada biasa supaya ia dapat dibekukan dan diberi kepada bayinya yang berusia sembilan bulan sepanjang ketiadaannya.
“Tekanan timbul apabila pam elektrik menggantikan mulut bayi kerana pam kurang berkesan dalam mengeluarkan susu badan.
“Ini selalunya membawa kepada jumlah terkumpul yang sedikit berbanding dengan apa yang diminum bayi jika memberi susu badan secara langsung,” ujarnya sambil menambah ini tentunya bukan mudah untuk golongan ibu.
Apabila berangkat dari Singapura, Cik Khairunnisa juga serba lengkap. Beliau turut membawa kotak pendingin, pita pelekat, pek ais dan gunting.
“Persediaan dan mempunyai bekalan yang betul akan membezakan sama ada susu itu akan basi atau tidak sewaktu transit (perjalanan),” katanya.
Menurut Hospital Universiti Nasional (NUH), susu badan segar hanya boleh tahan selama empat jam pada suhu bilik.
Jika disimpan dalam beg pendingin dengan pek ais pada suhu antara 4 dengan 15 darjah Celsius, ia boleh bertahan selama 24 jam dan lebih lama jika suhu semakin rendah.
Dalam usaha membawa pulang susu badannya dengan selamat, Cik Khairunnisa berkata ia sukar terlaksana tanpa sokongan kakitangan hotel serta syarikat penerbangan yang sedia membantu.
Menceritakan pengalamannya, Cik Khairunnisa berkata ketika menginap di Central Hotel Shanghai, peti sejuk di dalam biliknya tidak cukup sejuk untuk membekukan susunya, malah peti sejuk umum hotel itu juga tidak mempunyai ruang.
Sebaliknya, kakitangan hotel itu menawarkan untuk menggantikan ais di dalam kotak pendingin yang dibawa beliau dari Singapura dua kali sehari.
“Kemurahan hati dan kesanggupan mereka untuk membantu sangat menyentuh hati saya. Mereka memastikan peti ais itu penuh dengan ais segar, yang dapat memastikan susu saya tidak rosak,” katanya.
Dalam penerbangan pulang pula, Cik Khairunnisa risau jika dua kotak pendingin beliau yang penuh dengan susu akan terbalik dan ais cair mengalir keluar.
“Beliau (pramugari) memberitahu saya dengan jelas di mana susu saya disimpan dan memberi lebih perhatian dalam memastikan ia kekal tegak sepanjang penerbangan,” ujarnya.
Ibu yang memberi susu badan juga dinasihati membaca panduan syarikat penerbangan yang bakal diambil.
Contohnya, di bawah peraturan Singapore Airlines, golongan ibu perlu menyimpan susu mereka dalam pek 100 mililiter secara berasingan memandangkan sekatan cecair yang biasa dikenakan.
Proses memberi susu badan kepada anak, kata Cik Khairunnisa, boleh membebankan malah membawa tekanan kepada si ibu, apatah lagi jika mereka perlu meninggalkan bayi mereka.
“Dengan mengongsikan pengalaman saya, seperti mengepam sambil ke luar negara untuk tujuan kerja, saya harap ia dapat membiasakan perbualan tentang cabaran yang dihadapi ibu yang memberi susu badan sepenuhnya atau mengepam susu badan sambil mengimbangi tanggungjawab lain,” katanya.
TIP UNTUK IBU BERI SUSU BADAN
Hidrat diri dan dapatkan khasiat cukup
Utamakan minum air yang mencukupi dan makan makanan yang sihat dan berkhasiat. Elak berdiet, terutama pada hari-hari awal penyusuan kerana ia boleh menjejas bekalan susu secara negatif. Badan anda memerlukan tenaga dan zat makanan tambahan untuk menyokong pengeluaran susu.
Terima Bantuan Yang Dihulur
Beri susu badan kepada anak memerlukan masa dan tenaga, jadi jangan teragak-agak untuk menerima bantuan, atau memintanya, apabila ia melibatkan kerja rumah, pembersihan atau menidurkan bayi. Ini membolehkan anda memberi tumpuan kepada mewujudkan ikatan penyusuan kukuh dan memastikan anda dapat rehat yang mencukupi selepas bersalin.
Lepaskan Jangkaan Tidak Realistik
Jangan bandingkan diri anda dengan imej di media sosial atau video ibu-ibu dengan peti sejuk yang melimpah ruah dengan susu yang dipam. Ini bukan realiti untuk ramai ibu. Fokus pada hubungan penyusuan dengan bayi anda dan bukan pada jumlah susu yang anda pam. Jumlah yang dipam tidak selalunya merupakan pengukur yang boleh dipercayai tentang apa yang diambil oleh bayi anda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg