SEMASA anak perempuannya baru berusia tiga bulan, Cik Nabila Shahood Din, 27 tahun, mengambil keputusan untuk bercerai.

Sepanjang perkahwinan mereka selama tiga tahun, suaminya itu bukan sahaja tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah sering keluar masuk penjara ekoran pelbagai kesalahan.

Ketika itu, usia Cik Nabila baru 21 tahun, namun, beliau bertekad dengan keputusannya itu.

"Dia bukan seorang suami dan seorang ayah yang bertanggungjawab. Saya tidak melihat sebarang masa depan bersamanya," ujar Cik Nabila dalam laporan akhbar The Straits Times dalam siri yang menyorot golongan milenial yang disifatkan sebagai generasi 'lembik' dan mementingkan diri sendiri.

Apabila Cik Nabila menuntut cerai beliau juga terpaksa menanggung beban hutang $10,000, yang dibelanjakan oleh bekas suaminya untuk membeli motosikal serta perbelanjaan lain.

Dua tahun pertama menyusuli perceraian itu merupakan detik paling suram dalam hidupnya.

Untuk mencari rezeki, beliau terpaksa melakukan tiga pekerjaan.

Pada sebelah pagi, Cik Nabila akan membersihkan rumah orang lain.

Pada sebelah tengah hari pula beliau akan menjadi tutor bagi murid sekolah rendah sementara pada sebelah malam pula beliau merupakan pegawai pengurusan hutang untuk syarikat SP Services, yang menangani panggilan pelanggan yang mempunyai bayaran air lampu tertunggak.

Meskipun dengan tiga pekerjaan, lulusan GCE peringkat 'O' itu mendapat kurang $2,000 sebulan. Ia hampir tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan, apatah lagi membayar hutang bekas suami.

"Saya berasa amat tidak berdaya, tertekan dan tidak keruan," akuinya.

Ayah Cik Nabila, seorang pekerja pembersihan secara kontrak, telah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika Cik Nabila masih kecil. Ketika itu, ibunya sendiri perlu melakukan tiga pekerjaan sebagai pekerja pembersihan untuk mencari rezeki buat keluarga.

Cik Nabila, anak bongsu tiga beradik yang berumah tangga seawal usia 18 tahun memutuskan untuk berkahwin atas dasar cinta, sesuatu yang beliau sifatkan kini sebagai naif atau lurus bendul.

"Ayah saya meninggal dunia semasa saya masih terlalu kecil dan saya sedang mencari cinta. Saya rasa bekas suami boleh mencintai dan melindungi saya," ujarnya.

Lama-kelamaan, Cik Nabila menyedari bahawa cinta semata-mata tidak dapat mengekalkan perkahwinan itu.

Nasibnya berubah apabila beliau melihat iklan akademi latihan yang menawar untuk mengajar wanita bagaimana untuk mendapatkan pendapatan tambahan dalam perdagangan kecantikan di laman sosial Facebook.

Beliau mendaftarkan diri untuk kursus pendek tentang bagaimana menjalankan rawatan muka dan lain-lain.

Berbekalkan kemahiran itu, beliau bekerja lebih 12 jam sehari dan memperolehi pendapatan $12,000 dalam masa dua bulan dengan pergi ke rumah pelanggan untuk menjalankan rawatan muka. Ia membolehkan beliau melangsaikan hutangnya.

Selama tiga tahun, beliau bekerja sebagai pakar kecantikan bebas.

Kemudian, sekitar dua tahun lalu, Cik Nabila menyedari beliau memiliki kemahiran mendengar serta menjalin hubungan dengan orang lain. Maka itu beliau meluaskan sayapnya untuk menceburi latihan kehidupan.

Beliau mengajar kemahiran pembangunan peribadi kepada kaum wanita seperti cara menangani emosi dan belajar mencintai dan menerima diri sendiri. Di samping itu, beliau turut membimbing tentang kemahiran kecantikan agar mereka juga dapat memperolehi pendapatan tambahan buat diri sendiri.

Pelanggan beliau termasuk ibu tunggal serta isteri yang didera, selain golongan karyawan yang mencari kerjaya alternatif atau untuk mendapat wang belanja tambahan.

Banyak yang telah berlaku kepadanya sepanjang enam tahun.

Beliau berjaya memperolehi pendapatan yang mencukupi untuk membawa ibu dan neneknya merealisasikan impian mereka untuk menunaikan umrah - sesuatu yang dilakukan secara tahunan sejak 2015.

Kos untuk mereka bertiga ke sana ialah sekitar $10,000.

Pada 2016, Cik Nabila diundang untuk menyertai Forum Pakar Niaga anjuran Kelab Pelajar Keusahawanan Sekolah Perniagaan Harvard untuk berkongsi pengalamannya di Universiti Harvard yang berprestij di Amerika Syarikat.

Perasaannya bercampur baur antara bangga dengan kerendahan hati.

"Sejurus selepas ceramah itu, saya berlari ke tandas untuk menangis. Mereka yang menonton saya ialah kalangan doktor, ketua eksekutif serta jutawan dan saya berasa amat kerdil di hadapan mereka," akui Cik Nabila.

Apa yang menguatkan dirinya melalui detik sukar ialah semangat enggan menyerah kalah selain galakan keluarganya.

"Nasihat saya kepada wanita lain adalah, usah menyerah diri. Pelajari kemahiran dan pengetahuan baru. Saya keluar daripada zon selesa saya dan mengambil kursus yang mengubah hidup saya.

"Ramai wanita berasa mereka tidak boleh melakukannya memandangkan mereka perlu ada di rumah dan menjaga anak-anak. Saya akan memberitahu mereka, usah gunakan anak-anak anda sebagai alasan untuk tidak berjaya.

"Malah, anak-anak boleh menjadi dorongan terbesar untuk menempa kejayaan."