Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ibu tawan menara gading bersama dua anak

Oct 24, 2022 | 05:30 AM



Mencecah usia Jubli Emas atau 50-an tahun dengan menggenggam segulung ijazah merupakan satu pencapaian buat dua wanita bersemangat cekal ini.Jika yang seorang mengharungi keperitan penyakit barah tetapi tidak pernah lelah menimba ilmu, yang seorang pula menerima Anugerah Pelajar Terbaik seperti anak sulungnya yang juga tamat pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). BERITA HARIAN melaporkan.




MINAT meneruskan pengajian ke peringkat universiti sudah sekian lama tertanam dalam jiwa Cik Adlin Sandhora Bahar sejak tamat pendidikan di Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC) lebih tiga dekad lalu.



Bagaimanapun, kesukaran mendapat tempat kerana saingan sengit di universiti setempat dan kemudian kesibukan dan komitmen bergelar isteri dan ibu menjadi hambatan untuk kakitangan awam ini memburu cita-citanya.



Cik Adlin, kini 51 tahun, pernah diterima masuk ke universiti terbuka sewaktu bergelar ibu seorang anak. Ibunya pula menasihatinya agar fokus menjaga anak sulung daripada kembali berkuliah.



Sungguhpun begitu, usia dan masa yang bergerak pantas bukanlah penghalang bagi ibu empat anak antara 18 dengan 29 tahun itu mengejar aspirasinya.



Beliau kembali berkuliah dalam kursus Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu serentak dengan anak sulungnya Encik Raiyan Diny Safaruan, 29 tahun, yang mengambi kursus Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).



Kerja keras lima tahun berbaloi apabila ibu dan anak ini menerima anugerah pelajar cemerlang kursus sambilan masing-masing pada konvokesyen baru-baru ini.



Cik Adlin adalah penerima Anugerah Emas Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) manakala Encik Raiyan pula penerima Anugerah Pencapaian The Write Connection.



Anak kedua Cik Adlin, Cik Lydia Safrina, 24 tahun, juga tamat pengajian Sarjana Muda Sains (Kepujian) Terapi Pekerjaan daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) tahun ini.



Kededua Encik Raiyan dan Cik Lydia adalah karyawan di sektor jagaan kesihatan.



Ketika dihubungi Berita Harian, Cik Adlin berkata:



"Saya sering membaca laporan Berita Harian mengenai pekerja dewasa yang lebih berusia daripada saya tetapi masih cekal dan bersemangat memburu ilmu. Kalau mereka boleh, mengapa saya tak boleh?



"Saya ketepikan suara-suara yang bertanya apa manfaatnya bersusah-payah belajar pada usia lanjut. Kalau masa muda dulu ada sahaja halangan, sekarang saya memburu ilmu dengan niat memperkasa minat saya terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu.



"Seronok menelaah tentang sastera kanak-kanak dan dunia perfileman Melayu klasik pada zaman P. Ramlee. Saya dapat rakan belajar sebaya anak-anak saya yang banyak memberi galakan. Sebilangannya dalam sektor pendidikan."



Encik Raiyan yang lebih tertarik pada mata pelajaran sains dan matematik sebelum ini pula memilih bahasa dan sastera Inggeris kerana suka membaca buku sastera dan cereka Inggeris pada masa lapangnya.



"Saya memang tak rancang nak belajar sama-sama dan masuk universiti dengan ibu saya. Semua berlaku secara tidak diduga termasuk dapat ijazah pada hari yang sama.



"Kepuasan bagi saya adalah dapat menyelongkar maksud tersirat dalam teks sastera. Sebelum ini, saya setakat baca buku tetapi tidak faham tentang misi atau konteks tertentu mengapa sesebuah karya dihasilkan - apa latar belakangnya atau peristiwa sebenar yang mencetus ilham buat si penulis.



"Alhamdulillah, kerana saya sudah bekerja, saya mampu biaya sendiri pengajian saya ini tanpa menyusahkan ibu saya. Saya juga galakkan ibu memburu cita-citanya dan memberinya jaminan saya dan adik-adik akan menyokongnya. Ibu pernah berkorban cita-citanya untuk menjaga kami. Ini masa beliau teruskan misinya belajar sepanjang hayat," katanya yang memiliki Diploma Kebersihan dan Terapi Pergigian daripada Politeknik Nanyang (NYP).



Cik Lydia yang memiliki Diploma Sains Farmaseutikal daripada Politeknik Nanyang (NYP) pula berkata:



"Saya memang minat bidang pemulihan atau terapi dan ubat-ubatan serta mengusahakan cara membantu pesakit melakukan semula kerja-kerja harian. Ada banyak program bekerja sambil belajar di hospital yang silih-berganti ketika di SIT meliputi aspek kesihatan mental.



"Memang mencabar memutuskan untuk kami semua belajar serentak sebab urusan kewangan. Tapi saya selalu beritahu ibu tak usah stres. Kami boleh membantunya dalam aspek teknologi. Jangan takut mencuba." - HARYANI ISMAIL




APA KATA IBU



"Saya ketepikan suara-suara yang bertanya apa manfaatnya bersusah-payah belajar pada usia lanjut. Kalau masa muda dulu ada sahaja halangan, sekarang saya memburu ilmu dengan niat memperkasa minat saya terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu."
- Cik Adlin Sandhora Bahar.



APA KATA ANAK



"Memang mencabar memutuskan untuk kami semua belajar serentak sebab urusan kewangan. Tapi saya selalu beritahu ibu tak usah stres. Kami boleh membantunya dalam aspek teknologi. Jangan takut mencuba."
- Cik Lydia Safrina.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >