Ratu Jaz, Datuk Sheila Majid, menyelar penyiaran iklan yang mendakwa dirinya menderita penyakit artritis hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.
Menerusi perkongsian yang dibuat dalam Instagram (IG), penyanyi lagu, Sinaran, itu menyifatkan berita tersebut sebagai palsu dan merepek.
“Memang mengarut, berita ini tidak benar. Lima tahun lalu, saya sibuk dengan kerja dan melancong sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kalau benar saya menderita penyakit ini, sudah tentu media tempatan akan menyiarkan berita ini lima tahun lalu. Kenapa baru sekarang?,” tulisnya dalam catatan yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM).
Melalui hantaran sama, pemilik nama sebenar, Shaheila Abdul Majid, 59 tahun, itu turut mempersoalkan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menggunakan namanya demi untuk menjual produk.
“Kenapa perlu menipu semata-mata untuk melariskan produk? Adakah anda tidak mempunyai keyakinan hingga terpaksa mengaitkan nama saya demi menjual produk?
“Produk anda adalah palsu, sama dengan artikel ditulis,” ungkapnya dalam nada berang.
Sementara itu, isteri kepada pengarah muzik, Datuk Acis itu, turut menyatakan beliau sedang memburu dalang di sebalik penyebaran berita palsu yang didakwa orang yang sama pernah memfitnahnya sebelum ini.
“Saya sedang mencari si pelaku yang sebelum ini pernah menuduh saya menggunakan produk pelansingan badan, namun tidak disertakan dengan bukti.
“Sehingga kini, saya gagal mengesan sumber terbabit. Mereka tahu bagaimana nak manipulasi situasi dan sembunyikan diri.
“Saya mohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bantu saya untuk mengesan mereka supaya saya boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka,” tegas Sheila.
Mengiringi hantaran itu adalah tangkap layar artikel yang memaparkan kisah bagaimana penyakit itu merosakkan sendi dan apa yang membantunya untuk pulih yang didakwa merupakan temu bual eksklusif bersama penghibur itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg