Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ikon budaya dan muzik Bollywood, Lata Mangeshkar, meninggal dunia

Feb 06, 2022 | 02:25 PM



MUMBAI: Ikon budaya India tersohor dan penyanyi Lata Mangeshkar, yang mendefinisikan muzik dan irama buat ramai pencinta seni negara itu meninggal dunia pada Ahad (6 Februari).



Usianya 92 tahun dan beliau meninggalkan empat adik-beradik. Mangeshkar dirawat di hospital pada 11 Januari selepas dijangkiti Covid-19, jelas doktor.



Pemergiannya pada pagi Ahad adalah berpunca daripada kegagalan beberapa organ selepas 28 hari dirawat di hospital, kata Dr Pratit Samdani, yang merawatnya di Hospital Breach Candy di Mumbai, lapor televisyen kerjasama agensi berita Reuters, ANI.



Suara merdu Mangeshkar sering kedengaran di televisyen, corong radio dan pawagam sepanjang India mencapai kemerdekaan, menjadikannya penyanyi yang dinobatkan dengan gelaran si buluh perindu atau "The Nightingale" (burung bulbul).



"Saya tidak terkata-kata dan merasakan penderitaan India kehilangan Lata Mangeshkar," demikian bunyi ciapan Twitter Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.



Mendiang Mangeshkar akan menerima upacara pengebumian negara dengan pemerintah India akan mengamati sesi perkabungan negara dengan bendera India dikibar separuh tiang sepanjang Isnin, jelas Kementerian Ehwal Dalam Negeri India dalam kenyataannya.



"Lata Didi (Kakakku Lata) yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita. Mendiang membiarkan kekosongan tidak terisi dalam negara kita ini. Generasi mendatang akan mengingatinya sebagai penyokong setia budaya India, dengan suara merdunya mempunyai keupayaan tiada tolok bandingnya dalam memukau pendengar," jelas Encik Modi lagi.



Dilahirkan pada waktu prakemerdekaan India pada 1929, Mangeshkar mula menyanyi pada usia remaja dengan kerjaya selama 73 tahun. Beliau telah menyanyi secara purata sekitar 15,000 lagu dalam 36 bahasa.



Beliau memikat warga India yang kaki muzik dengan suaranya yang menyusup ke kalbu, mendendangkan segalanya daripada lagu patriotik hinggalah romantik, dalam filem dan album.



Dunia Bollywood di mana filemnya akan lesu tanpa sekurang-kurangnya enam lagu runut bunyi yang menggambarkan rasa cinta atau kesedihan menjadi tempat di mana nama Mangeshkar mula dikenali.



Personaliti Bollywood lain mengirim ucap takziah mereka di media sosial.



"Rasa cinta, rasa hormat dan doa," begitulah kiriman Twitter pemenang Oscar dan Grammy dari India, pemuzik A R Rahman. Banyak lagu ciptaannya yang memenangi anugerah dinyanyikan Mangeshkar.



Mangeshkar dilatih dengan irama klasikal. Beliau mencorak suaranya untuk memenuhi tuntutan filem Bollywood. Beliau bahkan menjadi suara latar dalam lagu buat pelakon 20-an tahun ketika berusia 60-an tahun.



Lagunya memberi inspirasi buat jutaan penduduk India sewaktu peperangan bersama China dan Pakistan melalui lagu patriotiknya.



Sesetengah lagunya juga digunakan bagi upacara keagamaan di kuil, keramat dan sekolah.



"Suara saya adalah anugerah dari Tuhan. Saya belajar untuk memberi emosi dalam suara saya. Apabila saya menyanyikan lagu untuk membuai tidur pendengar, saya adalah si ibu...apabila ia merupakan lagu romantik, saya adalah sang pencinta," jelasnya dalam satu wawancara media.



Beliau hanya enggan membawa lagu kabaret dan yang mempunyai lirik lucah atau perkauman kerana lagu sebegini tidak selari dengan nilai peribadinya. 



Mangeshkar, bagaimanapun, mendominasi industri filem Hindi selama lima dekad sehingga tahun 2000-an, bersama adiknya, Asha Bhosle.



Ada pihak yang mengecam dengan menyatakan beliau menggunakan kepopularannya dalam industri Bollywood untuk menyekat kehadiran penyanyi baru. Pengaruhnya begitu kuat sehinggakan pihak berkuasa Mumbai pada 2006 tidak meneruskan rancangan membuat jejambat lebuh raya selepas Mangeshkar menentangnya kerana menyatakan kerja pembinaan itu mengganggu privasinya.



Dikenali sebagai seseorang yang lemah lembut tutur bicaranya dan menggunakan sari, rambutnya ditocang dua seperti budak sekolah. Mangeshkar menerima pengiktirafan tertinggi buat masyarakat awam India, Bharat Ratna, pada 2001.



Beliau juga disampaikan dengan anugerah tertinggi orang awam dari Perancis, Legion of Honour pada 2009.



"Muzik itu tidak lengkap tanpa suara anda," jelas pelakon legenda Amitabh Bachchan mengenai Mangeshkar pada 2019, dalam satu acara meraikan ulang tahunnya yang ke-90.



Dalam perjalan seninya, Mangeshkar juga pernah menyanyikan lagu 'Sekuntum Mawar Merah' dalam bahasa Indonesia, hasil ciptaan komposer terkenal Indonesia, Rhoma Irama dan Eddy Milfaris. - Reuters



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >