Topik diikuti
Pergi ke BHkuIkuti program menarik di perpustakaan S’pura pada Jun
Ikuti program menarik di perpustakaan S’pura pada Jun
Ikuti program menarik di perpustakaan S’pura pada Jun
Sempena cuti sekolah Jun ini, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengajak keluarga dan pembaca muda meneroka pelbagai program serta pengalaman menarik yang dianjurkan di perpustakaan serata Singapura.
Pengunjung berpeluang menikmati ruang membaca unik yang disediakan oleh NLB, termasuk Stories by the Beach di Sentosa, Perpustakaan Pop-up Fiksyen Sains baru di Parkway Parade, serta ruang Community TakeOver bertema kartun Snoopy di Perpustakaan Punggol dan Perpustakaan Daerah Jurong.
Selain itu, kanak-kanak dan remaja boleh menyertai pelbagai kegiatan yang menggalakkan budaya membaca, pembelajaran dan penerokaan ilmu melalui sesi penceritaan termasuk dalam bahasa Inggeris dan Melayu.
Turut ditawarkan ialah program interaktif dan praktikal yang meneroka bidang seni, literasi digital, sains, kemampanan alam sekitar serta kesejahteraan diri.
Semua program ditawarkan secara percuma, namun sesetengah kegiatan memerlukan pendaftaran awal.
Cerita Kita
Program ini menawarkan kanak-kanak peluang mengikuti sesi penceritaan dan kegiatan interaktif yang dikendalikan oleh pencerita terdiri daripada pustakawan dan sukarelawan.
Selain menikmati cerita pilihan yang disusun khas, peserta juga berpeluang memupuk minat terhadap buku bergambar dalam bahasa Melayu serta mengenali budaya, sejarah dan warisan Melayu dengan lebih dekat.
Tarikh: 4, 5, 11, 12, 18, 19, 25, 26 Jun
Masa: 11.30 pagi -12.30 tengah hari
Lokasi: Perpustakaan Choa Chu Kang, Perpustakaan Sengkang, Perpustakaan Yishun
Daftar di: go.gov.sg/ceritakita
Kelab Baca Ria
Direka khas untuk kanak-kanak berusia antara empat dengan lapan tahun, kelab membaca ini bertujuan memupuk rasa cinta terhadap buku bergambar bahasa Melayu serta membina tabiat membaca yang baik sejak usia muda.
Kelab ini bertemu sebulan sekali selama satu jam. Setiap sesi merangkumi aktiviti penceritaan yang diikuti dengan pelbagai kegiatan interaktif seperti seni dan kraf, serta permainan bahasa.
Sesi akan diakhiri dengan kegiatan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak melalui sesi membaca bersama.
Tarikh dan lokasi: Setiap Sabtu kedua di Perpustakaan Tampines, setiap Sabtu ketiga di Perpustakaan Yishun, setiap Sabtu keempat di Perpustakaan Woodlands
Masa: 11.30 pagi - 12.30 petang
Daftar di: go.gov.sg/bacaria2026
Sesi bercerita Masjid Assyafaah
Sesi bercerita ini dianjurkan dengan kerjasama Masjid Assyafaah sempena Hari Bapa. Ia akan meneroka nilai kekeluargaan, kasih sayang dan tanggungjawab.
Tarikh: 20 Jun
Masa: 11.30 pagi - 12 tengah hari
Lokasi: Perpustakaan Sembawang
Bina kemahiran berfikir dengan LEGO
Bengkel ini bertujuan mencetuskan rasa ingin tahu kanak-kanak terhadap teknologi dengan memperkenalkan LEGO bukan sekadar sebagai permainan, tetapi juga sebagai alat untuk berfikir seperti jurutera dan penyelesaian masalah.
Melalui penceritaan, demonstrasi visual dan cabaran yang menyeronokkan, peserta akan diperkenalkan kepada konsep asas pemikiran komputer seperti penguraian masalah dan pengecaman corak dengan cara yang mudah difahami serta menarik.
Melalui aktiviti secara berkumpulan dan secara langsung, peserta bukan sahaja dapat memahami konsep asas teknologi, malah turut mengukuhkan kemahiran literasi digital seperti mentafsir arahan, mengenal pasti dan membetulkan kesilapan, serta menerangkan proses pemikiran mereka.
Program ini sesuai untuk kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun.
Tarikh: 20 Jun
Masa: 11.30 pagi -12.30 tengah hari
Lokasi: Perpustakaan Woodlands
Ocean Keepers
Kanak-kanak yang mengikuti program ini akan dibawa ‘menyelami’ dunia lautan yang luas dan mempelajari tentang haiwan menakjubkan di dalamnya serta cabaran yang mengancam kelangsungan hidup mereka.
Kanak-kanak berpeluang menyertai pelbagai permainan interaktif dan cabaran untuk membantu menyelamatkan spesies haiwan itu daripada kepupusan.
Program ini sesuai untuk kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun dan merupakan sebahagian daripada Karnival Biodiversiti Marin di Perpustakaan Central.
Tarikh: 13 dan 14 Jun
Masa: 10 pagi - 5 petang
Lokasi: Perpustakaan Central
