Pengurusan dan pemilikan Iman Kindergarten & Childcare, prasekolah Islam yang tidak asing lagi di Singapura, telah diambil alih oleh syarikat Oaks Plus Limited (OPL) sejak Mei.

Pengurus Besar OPL, Encik Bakar Alsagoff, memberitahu Berita Minggu (BM) prasekolah yang mempunyai tujuh pusat itu akan terus dikendalikan sebagai prasekolah privet dan akan mengekalkan identiti, nilai serta kurikulum Islamnya.

“Iman mempunyai kehadiran yang lama dan kukuh dalam sektor prasekolah Islam, dan pengambilalihan ini membolehkan OPL membina serta memperkukuhkan kekuatan yang telah sedia ada sambil menyokong kemampanan jangka panjangnya,” kata Encik Bakar.

“Kami juga melabur dalam Iman dengan hasrat untuk mengembangkan jenama tersebut dalam ruang prasekolah Islam.

“Iman akan terus mengekalkan identiti, nilai dan kurikulum Islamnya, manakala OPL akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sokongan serta sistem organisasinya sambil memastikan kesinambungan bagi kanak-kanak, ibu bapa dan para pendidik,” tambahnya.

Iman Kindergarten & Childcare bermula sebagai Iman Kindergarten pada 2003 dan merupakan perkongsian perniagaan dua juruhebah terkenal pada ketika itu, Syah Ibrahim dan Adi Rahman.

Bermula dengan dua pusat, di Tampines dan Woondlands, prasekolah itu kini mempunyai tujuh pusat di Bukit Batok, Choa Chu Kang, Simei, Tampines, Taman Jurong, Yishun dan Woodgrove.

Ia mempunyai sekitar 300 bayi dan kanak-kanak berumur dari dua bulan hingga enam tahun yang mengikuti program sepenuh hari dari 7 pagi hingga 7 malam.

Selain Iman Kindergarten & Childcare, OPL turut mengendalikan 7Oaks Preschool di bawah skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).

“Keutamaan kami dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang ialah menyepadukan kededua jenama ini, memperbaharui persekitaran sekolah serta kehadiran jenama dalam talian dan luar talian, mengukuhkan asas dan program Iman, serta melabur dalam pembangunan kecekapan profesional kakitangan,” kata Encik Bakar.