Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BUAL ANAK DAGANG

Imran Ajmain selepas 'Seribu Tahun'

Feb 17, 2020 | 05:30 AM



TATKALA meniti usia muda belia, penyanyi dan penggubah lagu asal Singapura, Imran Ajmain, tertanya-tanya mengapa Datuk M. Nasir tidak membawa atau membuka ruang bagi lebih ramai bakat Singapura cari makan di Kuala Lumpur.



Perkara ini membuatnya terkesan sehingga pernah terbetik dalam hati soalan "Mengapa orang Singapura harus berbangga dengan M. Nasir?"



Namun, setelah membina nama dan melalui jerih payah mencari rezeki di Kuala Lumpur selama 13 tahun, Imran, 38 tahun, menyedari tidak semudah itu menawarkan bakat Singapura peluang berseni di Kuala Lumpur.



Sebabnya, sebilangan besar akan mudah berputus asa, payah bersabar dan enggan terus mencuba dalam dunia seni penuh persaingan.



Sebagaimana kata Imran dalam wawancara bersamanya di pejabat Berita Harian baru-baru ini:



"Saya sendiri mencari rezeki di Malaysia. Ia tidak semudah mana, lebih-lebih lagi orang sana tak kenal saya dan kerja seni saya. Saya bukan juara peraduan realiti yang penonton kenali, malah tak pernah menang apa-apa peraduan pun.



"Nak bertapak di Malaysia memerlukan kecekalan. Sesetengah bakat kita ni tak nak bantu diri mereka sendiri. Mereka nakkan kejayaan sekelip mata. Apabila nampak macam tak bawa hasil, mereka nak pulang kembali ke Singapura."



Namun, Imran bangga melihat pencapaian dua karyawan muzik Singapura, Alif Abdullah dan Rauzan Rahman, yang pernah dibimbingnya ketika mereka berusia belasan tahun lagi.



"Tengok Alif yang mencipta trend muzik Melayu baru yang 'catchy' dan bermutu di Malaysia. Boleh dikatakan lapan hingga 10 lagu dalam Carta 15 Lagu Popular di Malaysia merupakan hasil ciptaan Alif. Lihat bagaimana beliau mencorak muzik 'reggaeton' Andi Bernadee. Beliau kini lebih matang, lebih-lebih lagi setelah pemergian ibunya.



"Kami sudah lalui jatuh bangun bersama sewaktu zaman popular Sudah Tu Sudah. Rauzan pula adalah personaliti kanak-kanak yang cuba keluar daripada takrifan orang ramai beliau masih budak dalam TV tu. Beliau pun kian matang dengan identiti muzik kreatif tersendiri.



"Sama macam saya... pernah saya dipanggil 'Budak Mat Yoyo' kerana penglibatan saya sejak usia lapan atau sembilan tahun dalam Bengkel TV Kanak-Kanak, Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC). Pengalaman sudah jauh mendewasakan kami," katanya lagi seraya tersenyum.



Ternyata, Imran yang ada di depan mata saya kini adalah yang lebih matang, tenang dan mempunyai misi dan visi dalam kehidupan.



Hampir 15 tahun lalu, saya mengenali beliau sebagai pengarah syarikat pengurusan acara Beats Society dan penggerak muzik hip hop.



Apabila akhbar ini mengendalikan beberapa sesi Kem Obor bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang kewartawanan, Imran berkongsi cetusan inspirasinya dalam penulisan lagu.



Pejam celik, masa berlalu dengan begitu pantas.



Selain masih terus menyanyi di majlis korporat atau makan malam, beliau kini karyawan pemasaran dan khidmat layanan pelanggan di dua restoran, Suka Sucre dan Minang Tapau by Fazley Yaakob.



Bersama dengan cef selebriti dan usahawan Datuk Fazley yang dikenali kerana idea bisnes, tugas motivasi dan kerendahan hatinya, Imran merasakan nikmat mengumpul pengalaman dan ilmu dalam sektor makanan dan minuman (F&B).



"Saya belajar tentang pengurusan masa daripada beliau. Sesibuk mana pun dirinya, beliau pastikan akan ada satu masa setiap hari untuk makan bersama isteri dan empat anaknya.



"Semua pesanan SMS dan WhatsApp pun akan dibalas sesegera mungkin. Justeru, tak boleh 'pakai' kalau ada yang kata mereka terlalu sibuk sampai tak terbalas pesanan orang lain.



"Bagi Datuk Fazley, membalas pesanan orang itu adalah tanda penghargaan atau rasa hormat buat orang lain dan betapa beliau menyifatkan segalanya walau sekecil mana pun harus diambil kira secara serius," katanya lagi.



Bagaimanapun, Imran yang kembali ke Kota Singa tempoh hari atas urusan program bimbingan muzik Noise kendalian Majlis Seni Kebangsaan (NAC) akur kecenderungannya berkongsi dengan bakat muda sejak daripada dahulu tetap berjalan seperti biasa.



"Saya pernah terlibat dalam program Noise sebelum ini. Saya bertuah diberi kesempatan terlibat dalam program bimbingan ini lagi.



"Kalau dahulu ramai bakat muda ini berkecimpung dalam muzik hip hop, sekarang yang terlibat dalam program ini menampilkan kerencaman genre muzik dengan trend lebih condong pada muzik elektronik dansa.



"Kebanyakan bakat muda kini lebih tahu tentang proses rakaman lagu sebab mereka melakukannya sendiri menerusi studio di rumah atau lebih bergerak aktif dalam media sosial. Mereka sudah ada pengikut sendiri di YouTube dan Instagram.



"Saya tidak perlu menggilap bakat mereka. Tumpuan saya lebih pada bagaimana nak beri mereka panduan memperkasa penulisan lagu, memasarkan diri mereka bagi 'gig' di luar negara, mewujudkan jenama yang kukuh dan menambah daya hibur di pentas," ujar Imran.



Beliau membimbing dua bakat Singapura berpotensi, Rangga Jones dan Kitty Purrnaz.



"Saya terharu kerana Rangga yang berketurunan Indonesia menyatakan ibunya merupakan peminat saya yang pernah beberapa kali bergambar dengan saya.



"Kitty pula adalah gadis yang awalnya begitu takut-takut dan pemalu. Namun muziknya bertaraf antarabangsa, mengingatkan saya tentang lagu-lagu elektronik dansa Britney Spears dan Kylie Minogue.



"Kami berusaha memberinya semangat agar lebih selesa dan relaks di pentas," tambah Imran.



Imran juga merasakan iklim persada muzik di Singapura sudah jauh berubah. Banyak geran dan program bimbingan yang tersedia buat bakat Singapura lebih menambah daya penghasilan dalam muzik.



Mereka hanya perlu pandai mencari ruang dan peluang termasuk memohon lesen dengan mudah bagi bergelar seniman jalanan.



Wadah YouTube juga menjana pendapatan buat bakat muda ini terokai.



"Ia jauh beza daripada zaman saya di mana segalanya kita perlu bangunkan sendiri dengan keringat. Payah mencari sokongan yang sudah sedia ada dalam perihal bikin album dan sebagainya," jelasnya lagi.



Dalam pada itu, Imran kini sedang menyiapkan album kelima yang menjalani rakaman di Bandung, Indonesia.



Ia berkonsepkan R&B.



"Jangan suruh saya buat lagu 'reggaethon' walau ia 'in'! Saya hanya suka mendengarnya tetapi tak mampu menyanyi irama sedemikian.



"Saya terfikir begitu cepat masa berlalu. Dah masuk album kelima tetapi lagu 'hit' Seribu Tahun masih lagi diminta ramai di majlis-majlis tertentu. Saya akui kadangkala muak nyanyi lagu 'keramat' ini berulang kali.



"Selepas saya hasilkan semula lagu-lagu lama termasuk lagu Hari Raya, masanya sampai bagi saya buat lagu bertema Ramadan pula. Ia bukan lagu kerohanian tetapi lebih pada melalui bulan puasa itu sendiri," jelasnya.



Kami berbual lebih sejam hari itu.



Seronok juga mendengar cerita Imran yang menyambut Hari Raya pada musim sejuk di Belanda, tempat satu-satunya kakak beliau tinggal bersama keluarga.



Langsung teringat bagaimana arwah ayahnya, penulis lirik Allahyarham Husaini Ajmain, membawa pengaruh besar dalam hidupnya sebagai anak seni.



"Saya bertuah kerana mewarisi penguasaan bahasa Melayu yang teratur dan lancar, baik lisan atau tulisan daripada arwah ayah. Beliau tidak pernah mengajar saya menulis lirik yang baik. Saya lebih banyak perhatikannya dan pastikan lenggok Melayu dalam lagu saya terus dikekalkan.



"Seperkara lagi, ayah yang pernah mengurus kumpulan Sweet Charity pernah berpesan kepada saya, sebagai pengurus, kita kendalikan semua dan harus jaga nama baik artis yang diurus.



"Misalnya dahulu, kalau ada apa-apa tak kena, lokasi konsert tak bagus atau sistem bunyian kurang elok, jangan biarkan artis itu yang menyuarakannya. Pengurus harus menyampaikan maklum balas itu kepada penganjur atau pengusaha lokasi konsert. Ayah belajar daripada cara kumpulan legenda The Beatles diurus.



"Artis disanjung ramai peminat. Jangan biarkan pandangan indah peminat terhadap artis ini berkecai. Pengurus harus pikul tanggungjawab besar itu agar tidak mengaibkan artis dan pelihara amanah agar nama baik mereka dijaga," tambah Imran.




"Saya sendiri mencari rezeki di Malaysia. Ia tidak semudah mana, lebih-lebih lagi orang sana tak kenal saya dan kerja seni saya. Saya bukan juara peraduan realiti yang penonton kenali, malah tak pernah menang apa-apa peraduan pun. Nak bertapak di Malaysia memerlukan kecekalan."
- Imran Ajmain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >