Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indahnya teroka ‘Negeri di atas Awan’ di Jawa Tengah

Dieng Wonosobo tawarkan panorama menakjubkan dengan keindahan alam yang mempesona dan sentiasa dingin
Mar 30, 2025 | 5:30 AM
Penulis, Encik Mustaffa Yaakub, dan isterinya, Cik Masita Asmawi, bergambar di Sikapuk Hill dengan latar belakang seolah-olah dalam cerita dongeng di atas hamparan awan putih yang menyelimuti kawasan suhu udara 14 darjah Celsius.
Penulis, Encik Mustaffa Yaakub, dan isterinya, Cik Masita Asmawi, bergambar di Sikapuk Hill dengan latar belakang seolah-olah dalam cerita dongeng di atas hamparan awan putih yang menyelimuti kawasan suhu udara 14 darjah Celsius. - Foto ihsan MUSTAFFA YAAKUB

Kami memilih berkunjung ke Dieng Wonosobo sebagai destinasi percutian apabila salah seorang rakan kami dari Indonesia mengesyorkan lokasi tersebut yang kini menjadi salah satu tempat paling ‘hit’ dan popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Ia menawarkan panorama yang menakjubkan dengan keindahan alam yang mempesona, malah sering disebut ‘Negeri di Atas Awan’ dengan suhu udara yang sentiasa dingin.

Percutian lima hari empat malam bermula dari Jakarta dengan menaiki Kereta Api Indonesia (KAI) dari Stesen Gambir ke Stesen Pekalongan.

Jarak antara Gambir dengan Pekalongan ialah 350 kilometer.

Perjalanan mengambil masa kira kira empat jam.

Setibanya di Stesen Pekalongan, kami singgah di Hotel Santika untuk bermalam dan meneruskan perjalanan ke Dieng Wonosobo keesokan paginya dengan menaiki kenderaan van persiaran jenis Toyota.

Dalam perjalanan turun, kami selit kunjungan ke sebuah Muzium Batik Pekalongan dan diberi penerangan jelas tentang batik Indonesia – asal usul, tradisi daerah, makna, pengaruh moden dan seni.

Kami kemudian singgah di sebuah rumah ala ‘vintage’ Limun Oriental Pekalongan untuk melegakan dahaga.

Limun Oriental Cap Nyonya Silhuet menjual air minuman ringan soda dari botol kaca pelbagai perisa, yang telah beroperasi sejak zaman Belanda pada 1920 dan sudah menjadi minuman khas penduduk tempatan.

Kami kemudian melanjutkan perjalanan ke Dieng.

Jarak Pekalongan dan Dieng ialah 65 kilometer dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Setibanya di Dieng, hanya kenderaan kecil berkuasa tinggi yang mampu melalui jalan kecil sejauh 9 kilometer yang sempit, berbukit dan berliku-liku ke atas bukit, ke penginapan kami di Villa Sikapuk Hill.

Cuaca sejuk sekitar 14 darjah Celsius menyambut kami.

Kepuasan amat terasa apabila akhirnya kami sampai ke puncak dan benar-benar terpesona melihat keseluruhan keindahan panorama landskap sungguh menakjubkan.

Kami amat teruja menginap di bilik kabin Sikapuk Hill yang tertinggi dan paling menarik kerana dapat menyaksikan dengan jelas pemandangan luas panorama dengan latar belakang megah Gunung Sindoro, ladang pertanian dan kampung-kampung kecil dari sudut kamar berkaca.

Keindahannya begitu lengkap, dengan memanjakan mata menyaksikan matahari terbit pada 5.17pagi.

Awan tebal mula menyelubungi kawasan menutupi pemandangan dan hanya gunung Sindoro sahaja dapat dilihat.

Daerah Dieng senantiasa dingin kerana faktor seperti iklim, dan geologi dan kawasan tinggi di Jawa Tengah, Indonesia.

Dengan ketinggian sekitar 2,000 meter dari atas paras laut, suhu rata-rata di Dieng sekitar 15-20 darjah Celsius.

Suhu terendah pernah di bawah sifar -3 darjah Celsius pada 14 Julai 2019.

Keunikan Dieng tidak hanya terletak pada landskapnya yang memukau, malah pada fenomena alam yang jarang ditemui di tempat lain.

Percutian kami menjadi lebih seronok apabila berpeluang menaiki jip pacuan empat roda (4WD 4x4) menikmati perjalanan ke Kawah Sikidang, sebuah kawah sulfur yang masih aktif.

Kami melawat Telaga Warna dengan warna air sering berubah-ubah.

Kemudian kami ke Candi Arjuna, candi tertua dibangunkan pada abad ke-8 Masihi.

Selasai aktiviti di Dieng, kami meneruskan perjalanan ke Yogyakarta.

Walaupun Indonesia sering kami kunjungi, Dieng adalah kunjungan kali pertama kami yang cukup memberi kepuasan, romantik dengan keindahan alam yang tersembunyi.

Dari panorama, makanan, budaya, gaya hidup, sejarahnya, ia telah memberi kesan mendalam dan menyenangkan, menjadikan percutian ini suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

Penulis ialah seorang pesara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg