Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Inilah Dunia' Bhumiband, bantu dedah bakat Nusantara

Di sebalik jenama band yang sudah dibina sejak sekian lama, mereka tidak bersikap mudah berpuas hati dan sentiasa pastikan ada bahan segar untuk diketengahkan. Walaupun dianggap nama 'papan atas' dalam persada muzik Nusantara, semangat sentiasa ingin belajar menjadi basahan si artis solo. BERITA HARIAN melaporkan kisah artis Singapura yang sudah ada jenama - Bhumiband dan Daly Filsuf - bagi menyelongkar resipi jaya mereka.
Feb 22, 2021 | 05:30 AM



MEREKA bermula dengan album Suara Dunia pada 2005, sekitar 16 tahun lalu.



Ini disusuli dengan Konspirasi Dunia dan yang terkini pada tempoh pandemik, muncul pula Inilah Dunia - The Bhumi Projek.



Band mapan Singapura yang dikenali dengan irama segar dan lirik simbolik untuk dijadikan pedoman mengambil masa tiga tahun bagi menyiapkan Inilah Dunia.



Banyak cabaran yang dihadapi anggota Bhumiband, Ard, Zuher, Reamie dan Kif sewaktu tempoh pemutus litar jangkitan Covid-19 ini.



Zuher memiliki studio rakaman Oqey Studio di Batam sejak 2017. Ia sepatutnya menjadi ruang utama merakam dan menerbit lagu Bhumiband.



Namun, hanya dua lagi dalam album ini, Kau Di Hati Ku dan Segalanya Kerana dapat dihasilkan di studio itu.



Dengan peralatan rakaman jauh di Batam dan sekatan kembara membuatkan mereka payah berulang-alik ke sana, Bhumiband terpaksa bergantung pada studio rumah dan projek yang berpindah alih bagi membereskan baki rakaman lagu mereka.



Sebagaimana jelas Zuher, 42 tahun:



"Dengan kemajuan sofwe muzik Pro-Tools yang menggunakan komputer, kami lebih mudah bergerak ke sana sini bagi proses rakaman.



"Kami malah dapat membuat rakaman lagu Cinta Nan Kembali di rumah penyanyi Sabrina.



"Namun, di sebalik penggunaan sofwe audio terkini, band kami tidak mahu bergantung sepenuhnya pada teknologi canggih ini.



"Kebanyakan lagu kami dirakam dengan penggunaan alat muzik sebenar. Malahan, bunyi kompang yang kedengaran juga lahir daripada paluan pemain kompang kumpulan Nurul Ihsan."



Usaha Bhumiband kekal relevan dalam dunia muzik Nusantara yang pesat berubah wajar dipuji.



Selain memiliki konsep mengekalkan kekata 'dunia' dalam setiap album mereka, Inilah Dunia pula adalah projek di mana Bhumiband mengajak sama artis lain dari Singapura, Malaysia dan Batam, meluah rasa tentang keadaan dunia kini.



Mereka yang dilibatkan sama bagi vokal dalam album ini termasuk Flique, Azlin, Indah Han, Juwiezy, Sabrina, Izaar (Bushmen), Jesslyn Tong, Zahara Asegaf dan Doddy Winata.



Sembilan lagu dalam album ini adalah Biru, Kehadiran Mu, Segalanya Kerana, Cinta Kan Kembali, Ku Ingin Tahu, Inilah Dunia, Sayang, Seadanya (Oqey Mix) dan Kau Di Hati Ku.



Kata Kif, 42 tahun, pula:



"Lagu Sayang sepatutnya adalah lagu cinta tetapi pada hari kami menghabiskan liriknya, saya mendapat berita seorang kenalan meninggal dunia.



"Beliau pergi, meninggalkan suami dan bayi kecil mereka. Peristiwa itu mengubah penceritaan lagu Sayang kerana kami ingin merakam bagaimana berita itu menjejas kami."



Reamie, 41 tahun, pula menambah, Bhumiband mahu gaya muzik Inilah Dunia kedengaran berbeza sebagai satu pembaharuan.



"Ia lari daripada stail muzik Bhumiband sebelum ini. Mereka yang sudah biasa dengar lagu Bhumiband, tidak akan mengenal pasti lagu ini lagu kami sekilas mendengarnya.



"Setiap lagu rencam genrenya dan gayanya, dengan ia tercetus hasil inspirasi peristiwa yang berubah dalam kehidupan kami.



"Kami mahu ia seperti runut bunyi... runut bunyi kehidupan kami," jelas Reamie lagi.



Kif mengambil contoh album runut bunyi filem pecah panggung Pretty Woman, yang memuatkan lagu David Bowie, Roy Orbison, Roxette, Go West, Red Hot Chilli Peppers dan artis lain.



Baginya, album itulah sumber inspirasi Inilah Dunia dengan ramai menjenguk kisah cinta, kehidupan dan kehilangan secara silih berganti.



Bagi Ard, 40 tahun, bekerjasama dengan bakat lain akan memberi mereka perspektif berbeza apabila rangkaian kenalan ditebarkan ke Malaysia dan Indonesia.



Apa yang dilakukan Bhumiband agar kekal relevan?



Kata Kif:



"Pada pandangan kami, dalam sesebuah lagu, 'hook' atau daya memancing pendengaran pendengar adalah satu elemen yang amat penting.



"Apabila telah ada "hook" itu, kami menyesuaikan elemen lain seperti instrumentasi dan irama mengikut edaran masa.



"Kami juga mendengar lagu-lagu baru dari genre yang lain kerana sebagai pemuzik, kami harus tahu apakah trend dan corak muzik yang didengar ramai dari masa ke masa."



Ard menambah, lirik yang mampu dikaitkan dengan kehidupan pendengar dan mampu mencuit perasaan juga penting.



Bhumiband, jelas Reamie, tidak terlintas untuk menjadi band yang terus bertahan lama.



Kerjasama dengan bakat baru, perkongsian bahan muzik di samping menyokong mereka dari belakang menjadi misi mereka berempat kini.



"Kami amat bersyukur kerana masih ada yang ingin mendengar lagu-lagu Bhumiband. Selain itu, kami berserah kepada ketentuan Tuhan dan rezeki serta harap pendengar dapat menerima lagu-lagu baru kami seadanya," tambah Reamie.



Akur persada muzik Singapura sudah banyak berubah, Ard berkata:



"Kami ingat pengalaman menonton kumpulan Urban Karma membuat persembahan di Pusat Dagangan Dunia (Singapura).



"Dahulu, kita harus berusaha mempromosikan diri dan keluar bertemu secara fizikal dengan mereka yang ingin mendengar lagu-lagu kami.



"Setiap kali kami membuat persembahan, kami sediakan pita "mixtape" atau cakera padat demo kami untuk diberikan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat.



"Sekarang, dengan penstriman dalam talian, band dapat dekati penonton dengan lebih meluas lagi dan edarkan karya mereka dengan mudah.



"Tapi lebih banyak cabarannya kerana pendengar muzik boleh memilih apa sahaja yang mereka ingin dengar. Band harus tampil dengan karya lebih menyerlah sebab saingan sengit."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >