Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Irama keroncong Orkestra Melayu kembali di Esplanade

Sep 12, 2020 | 5:30 AM
KEMBALI BERAKSI: Orkestra Melayu Singapura (OMS) tampil dengan skala kecil bagi persembahan percubaan berupa sajian instrumental irama keroncong di Teater Luar Esplanade pada 8 malam ini. Foto ini pula dirakam ketika OMS membuat persembahan langsung di ruang legar Esplanade bagi program penstriman langsung di laman Facebook Esplanade dan laman 'Offstage' pada 1 September lalu. - Foto ORKESTRA MELAYU SINGAPURA
KEMBALI BERAKSI: Orkestra Melayu Singapura (OMS) tampil dengan skala kecil bagi persembahan percubaan berupa sajian instrumental irama keroncong di Teater Luar Esplanade pada 8 malam ini. Foto ini pula dirakam ketika OMS membuat persembahan langsung di ruang legar Esplanade bagi program penstriman langsung di laman Facebook Esplanade dan laman 'Offstage' pada 1 September lalu. - Foto ORKESTRA MELAYU SINGAPURA -

KERINDUAN membuat persembahan awam di depan khalayak ramai dan menerima tepukan gemuruh pembakar semangat daripada penonton sudah lama menyelubungi jiwa penggiat seni Orkestra Melayu Singapura (OMS).

Apabila wabak Covid-19 melanda dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan koronavirus berkuat kuasa demi keselamatan ramai, beberapa acara melibatkan OMS dibatalkan.

Ini termasuk acara menyalakan lampu Hari Raya yang sepatutnya berlangsung di Geylang Serai pada April lalu.

Namun sekitar 8 malam ini, kerinduan itu akan ada penawarnya apabila OMS diundang pusat seni Esplanade bagi menyajikan persembahan percubaan di Teater Luar Esplanade.

Acara ini adalah sebahagian program percubaan perintis yang diusahakan Esplanade bulan ini sebagai langkah persediaan menyambung semula persembahan langsung pada skala kecil buat tontonan awam dengan langkah keselamatan kekal diperhatikan.

Ia sejajar dengan rancangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) mengembalikan persembahan langsung di beberapa lokasi pilihan sekitar Esplanade.

Justeru pada malam ini, Teater Luar Esplanade akan bergema lagi dengan irama instrumental berupa lagu keroncong malar segar seperti Sayang Disayang, Rangkaian Melati dan Kasih.

Persembahan ini dibuka bagi tontonan orang ramai. Tiada tiket diperlukan dengan tempat duduk yang tersedia diberi kepada yang dahulu tiba di ruang persembahan.

Ketika dihubungi, Ketua OMS, Encik Ibrahim Hamid, berkata:

"Apabila Covid-19 melanda, kami begitu terjejas dengan pembatalan beberapa persembahan.

"Kami sudah membuat persiapan awal daripada persediaan skor muzik yang ingin disajikan di samping jadual yang sudah ditetapkan.

"Alhamdulillah, setelah menanti beberapa bulan, OMS kembali beraksi di pentas Teater Luar Esplanade.

"Selain irama keroncong, kami akan mengubah suai lagu Inggeris 'antik', Fly Me To The Moon, dengan sentuhan keroncong. Ia adalah satu usaha mempelbagaikan sajian lagu kami buat penonton bukan Melayu."

Beliau akur mengadakan persembahan langsung dalam keadaan pandemik ini belum reda agak mencabar sebab anggota OMS terpaksa menyesuaikan latihan dan persembahan mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (MOH) dan NAC.

"Misalnya, dua minggu lalu, kami diundang bagi persembahan dalam talian. Kami perlu tampil dengan hanya empat pemuzik dan seorang penyanyi.

"Dalam persembahan percubaan di Teater Luar Esplanade pula, kami diberi kelonggaran tetapi hanya lapan pemuzik sahaja yang akan dilibatkan tanpa penyanyi.

"Latihan dibuat dengan jarak dua meter antara pemuzik ditetapkan, kemungkinan mengikut saiz pentas. Kami akan menggunakan alat muzik asli keroncong seperti sepasang ukulele yang dipanggil 'cak' dan 'cuk' dan selo keroncong," tambah Encik Ibrahim.

Esplanade juga memutuskan untuk tidak melibatkan penyanyi bagi persembahan percubaan OMS ini dengan pesanan agar segala garis panduan NAC dipatuhi.

Ditanya mengenai harapannya selepas ini, Encik Ibrahim berkata beliau dan anak-anak buahnya di OMS berharap pandemik koronavirus ini dapat dibendung dengan vaksin yang berkesan kelak dapat diusahakan pemerintah.

"Kami di OMS serta rakan seni lain ingin kembali beraksi secara aktif dan berkarya bagi menghiburkan semua," tambahnya lagi.

Dalam jawapan e-mel kepada Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Esplanade Co Ltd, Cik Yvonne Tham, menjelaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa termasuk MCCY, NAC dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

Beberapa rakan kerjasama seperti penyedia khidmat tempahan tiket Sistic, artis dan penyewa ruang persembahan juga dilibatkan.

"Langkah pengurusan keselamatan kami juga sudah dikuatkuasakan sejak Jun lalu memandangkan pusat beli-belah Esplanade Mall dan ruang awam kami sudah dibuka.

"Lokasi persembahan di Esplanade juga sudah dibuka bagi sesi rakaman dan latihan sejak Julai lalu.

"Pemeriksaan suhu badan dan penggunaan aplikasi SafeEntry juga dilaksanakan bagi kesemua lokasi di Esplanade. Kerja pembersihan dan sanitasi lokasi persembahan dan peralatan persembahan dibuat secara lebih kerap dengan artis dan kakitangan di belakang pentas juga akur pada amalan jarak selamat," jelas Cik Tham.

Antara langkah baru yang diperkenalkan termasuk sistem tempahan tiket yang memastikan tempat duduk anda berada pada jarak selamat (tiada penonton di kanan, kiri, depan dan belakang anda) dan kaunter barangan layan diri.

Cik Tham menambah, Esplanade tiada garis waktu khusus bila Esplanade dibuka semula secara rasmi. Ini bergantung pada perkembangan situasi Covid-19.

"Kami membiarkan segalanya dicorak mengikut keadaan tetapi sedang merancang acara pesta dan siri program bagi beberapa bulan mendatang.

"Lebih penting lagi, kami mengambil peluang ini bagi mengusahakan sesuatu yang inovatif di samping menjana seberapa banyak pengalaman baru dan bermakna buat artis dan penonton menerusi wadah digital atau adunan konsep persembahan langsung serta digital.

"Sedang fokus kami pada artis Singapura, kami juga bakal mengusahakan cara baru bekerjasama dengan artis antarabangsa pada bulan depan," ujar Cik Tham.

PERSEMBAHAN PERCUBAAN

ORKESTRA MELAYU SINGAPURA

Butiran: Mulai 8 malam ini di Teater Luar Esplanade.

Dibuka kepada orang awam, tiada tiket diberi, tempat duduk disediakan dengan mereka yang datang dahulu didahulukan.

KONSERT 'TRIPLE BILL'

Butiran: Mulai 5 petang esok di Dewan Konsert Esplanade

Pemuzik klasikal India daripada Persatuan Seni Halus India (Sifas) akan membuat persembahan.

Ini disusuli dengan persembahan kuartet alat muzik 'brass' oleh TEH Trio dan Tan Yao Cong.

Persembahan alat muzik 'pipe organ' oleh Phoon Yu pula adalah sajian hiburan ketiga.

- Hanya dibuka buat tetamu yang diundang. Tiket elektronik dengan tempat duduk khusus disediakan.

FROM HERE ON (KERJASAMA KUMPULAN SINGAPORE DANCE THEATRE)

Butiran: Mulai 3 petang dan 7.30 malam, 23 September (Rabu) di Teater Esplanade

Dibuka kepada orang ramai dengan tiket elektronik akan diberikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg