Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Irama trauma hilang orang tersayang

Sejurus tamat NS, bakat muda S'pura, Nifail Adib, orak langkah baru ketengah lagu sendiri
Nov 14, 2022 | 05:30 AM



WALAUPUN tidak pernah kehilangan seseorang yang bermakna dan cukup disayangi, penyanyi muda Singapura, Nifail Adib Mahadi, cuba membayangkan trauma yang melanda sesiapa yang mengharungi perasaan sedemikian.



Lantaran, terciptalah lagu pertamanya, Dunia Ini Tanpamu dua tahun lalu yang tidak diterbitkan dahulu atas rasa bimbang ia mampu diterima ramai atau masih 'mentah' untuk disaji buat santapan halwa telinga pendengar.



Hanya sebulan yang lalu, lagu ini mampu didengar di gedung digital dan ia sudah distrim lebih 3,200 kali di Spotify sejauh ini.



Ikuti apa kata Nifail, 21 tahun, anak sulung pengacara acara korporat dan majlis kahwin, Mahadi Mashuri, dalam wawancara bersama Berita Harian.



Soalan (S): Bagaimana tercetus idea untuk 'Dunia Ini Tanpamu'? Apakah persoalan yang diketengahkan dan cabaran merakam lagu ini?



Nifail: Saya mula mencipta dan menulis lirik bagi lagu sendiri sekitar dua tahun lalu. Saya tiada sesiapa yang dapat saya kongsikan karya saya.



Sejujurnya, saya tidak tahu jika lagu ciptaan saya ini baik ataupun tidak. Tetapi Dunia Ini Tanpamu adalah lagu pertama ciptaan saya.



Ia bukan lagu yang berentak rancak atau 'catchy'. Kandungannya juga tidak terlalu dalam maksudnya. Ia juga bukan lagu terbaik yang saya pernah hasilkan.



Saya perhalusi lagu ini tetapi mengekalkan jalan cerita atau isi lagu ini. Saya ingin membuktikan kepada diri saya sendiri bahawa lagu pertama saya ini boleh bertahan di luar sana dan diterima baik.



Ia juga satu cara baik untuk melihat perkembangan saya dalam bidang penulisan lagu. Susulan daripada itu apabila saya mencipta lagu baru, saya pasti kenang pengalaman pertama ini.



Saya menghasilkan lagu ini dalam perspektif pemikiran seseorang yang kehilangan orang tercinta dan perlu menangani trauma hidup.



Saya tidak pernah mengalaminya. Alhamdulillah. Namun, saya ingin kaitkan diri saya secara lebih dalam lagi dengan orang yang pernah melalui pengalaman sedih ini menerusi bait-bait lirik lagu ini.



Saya rasa sukar untuk mendedahkan segalanya kepada orang sekeliling tentang perjalanan hidup saya tetapi saya terfikir kalau saya menulis lagu ini daripada perspektif pemikiran orang lain, ia lebih mudah.



Justeru, saya benar-benar menghormati penulis lirik yang dapat mendedahkan isi hati mereka dalam sebuah lagu tanpa ada kesulitan.



Lirik lagu saya ini tidak kompleks sebab saya membayangkannya sebagai dialog perbualan seseorang yang kehilangan orang tercinta kepada dirinya sendiri.



Bagaimana dia ingin orang yang disayangi itu kembali hidup meski seminit sahaja.



Dalam video muzik saya, seorang suami dipaparkan kehilangan isterinya dan perlu menangani amanah membesarkan anak mereka secara sendiri di samping mengekalkan semangat wajanya bertemankan kepercayaan pada Allah yang Maha Menjaga dan Maha Pengasih.



Teras lagu sebegini yang menggambarkan keperitan mendalam memang jarang diketengahkan dalam pasaran muzik yang kerap menampilkan lagu cinta.



S: Apakah yang membuatkan Nifail berasakan masanya tepat untuk terbitkan 'Dunia Ini Tanpamu' sekarang?



Nifail: Saya sebenarnya menghasilkan dan merakam lagu ini sekitar dua tahun lalu. Rancangannya adalah untuk menerbitkan lagu ini sebelum saya memasuki Perkhidmatan Negara (NS) tetapi banyak pula halangan untuk mengeluarkannya.



Saya masih lagi terkapai-kapai dalam impian memastikan zaman NS dan penglibatan muzik saya adalah yang menjanjikan kecemerlangan.



Lagi pun, pada masa itu macam tak tepat masanya untuk keluarkan lagu berkenaan. Saya bersyukur dapat belajar daripada menyaksikan rakan seni lain mekar dalam kerjaya seni mereka sepanjang dua tahun itu.



Dunia Ini Tanpamu dikeluarkan pada 30 September lalu, hari di mana saya rasmi tamat NS. Ia adalah hari pertama saya mengeluarkan lagu ciptaan saya sendiri.



S: Memandangkan ayah anda juga dalam bidang hiburan dan pernah menjadi bakat televisyen kanak-kanak dan remaja, apakah nasihatnya?



Nifail: Ayah saya sebenarnya agak berahsia tentang penglibatannya dalam dunia hiburan. Bagaimanapun, saya sudah terbiasa membesar dengan melihatnya menjadi pengacara di acara-acara korporat dan majlis kahwin.



Saya mungkin mempunyai wajah mirip ayah sewaktu muda tetapi saya tidak seyakin beliau apabila berada di pentas.



Ibu bapa saya tahu akan minat saya terhadap muzik. Mereka tidak pernah menghalang dan menganggap saya sebagai anak yang sudah dewasa dan bebas membuat keputusan sendiri. Mereka beri saranan mereka kadangkala tetapi saya harus jujur pada diri saya sendiri.



Saya mempunyai perjalanan seni saya sendiri tetapi pastinya bersyukur ibu bapa menyokong saya.



S: Dengan sempadan dibuka dan sekatan Covid-19 dilonggarkan, bagaimana masa depan bagi bakat muda seperti Nifail?



Nifail: Teruja nak sambung semula persembahan bukan sahaja dalam talian tetapi pada acara fizikal juga.



Mudah-mudahan saya dapat peluang menyanyi di Indonesia kerana saya pernah menyertai peraduan anjuran Indonesia. Harapan saya juga adalah bagi menjalin kerjasama dengan lebih ramai artis setempat walaupun saya pemalu orangnya.



Saya yakin penyanyi muda alaf baru kini menjanjikan sesuatu yang berbeza buat persada seni Singapura. Kita harus saling membantu.



S: Apakah yang anda pentingkan dalam ciptaan lagu?



Nifail: Apabila saya mengarang lagu, saya mencari cerita. Lirik dan melodi menyusuli selepas itu. Setiap lagu ada ceritanya, dan cantik bukan, dalam tempoh tiga minit kita dah dapat tahu apa yang ingin disampaikan? Nilai dan pesanan dalam lagu akan tersemat di fikiran.



Lain pendengar, lain takrifan dan pengajarannya.



Lagu sekarang menyeronokkan dan berulang-ulang lirik atau iramanya. Tapi adakalanya ada lagu yang lebih baik. Ia mahakarya yang miliki sisipan permata yang membuatkan sesiapa yang mendengar terpegun. Inilah lagu yang saya harap dapat saya hasilkan suatu hari nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >