Enam syarikat industri pelancongan, termasuk gergasi penyewaan Airbnb, telah bersetuju untuk menghentikan promosi atau menjual tiket bagi kegiatan tunggang haiwan di Piramid Besar Giza di Mesir.
Langkah tersebut ekoran usaha berterusan Pertubuhan Layanan Beretika bagi Haiwan (Peta) untuk memberi perhatian terhadap kehidupan suram dan kekejaman berlebihan yang dilalui haiwan seperti unta dan kuda di kawasan piramid.
Siasatan diterajui Peta merakam pengendali haiwan dengan ganas – memukul unta dan kuda yang sudah terlalu letih – yang digunakan untuk mengangkut pelancong di bawah terik matahari.
Di samping itu, kuda yang cedera serta kekurangan zat makanan dilihat makan daripada longgokan sampah, dan bangkai kuda ditemui sudah dibuang di tapak sampah di luar piramid Giza, menurut Peta.
Unta yang dianggap sudah terlalu tua, sakit atau cedera sehingga tidak berguna lagi, selalunya diheret ke rumah penyembelihan.
“Semakin ramai pengendali pelancongan menolak keadaan itu dan menggalakkan pelancong menikmati pemandangan menakjubkan piramid besar tanpa menyokong kekejaman terhadap kuda dan unta,” kata naib presiden eksekutif Peta, Cik Tracy Reiman, dalam satu kenyataan.
“Peta memuji Airbnb dan syarikat perjalanan lain kerana menghindari kegiatan menunggang yang memalukan ini dan menggesa penguasa Mesir supaya menunjukkan ia prihatin, walau sedikit pun, dan bertindak untuk membela haiwan itu,” tambahnya.
Syarikat perjalanan utara Amerika tambahan yang tidak akan lagi menjual kegiatan menunggang haiwan di piramid Giza termasuk Black Tomato, Shore Excursions Group, ToursByLocals, Under30Experiences, dan World Travel Holdings.
Syarikat ini menyertai sebilangan perniagaan lain yang sebelum ini mengumumkan mereka tidak lagi akan mempromosi atau menjual kegiatan menunggang haiwan di piramid, termasuk Abercrombie & Kent Travel Group, British Airways Holidays, easyJet holidays, Exodus Adventure Travels, Grand Circle Corporation, Scott Dunn, dan TCS World Travel.
Kegiatan menunggang kuda dan unta di piramid hanyalah satu contoh bagaimana industri pelancongan terus bergelut dengan isu kebajikan haiwan.
Sama ada ia berupa perlumbaan lembu jantan di Sepanyol atau amalan tidak berperikemanusiaan menjual kegiatan menunggang gajah di seluruh Asia, masih terdapat banyak kesedaran yang diperlukan berhubung isu ini.
Peta kini menyeru seluruh industri pelancongan supaya menyusul langkah syarikat yang telah berhenti mempromosi atau menjual kegiatan tunggang haiwan di piramid Giza.
Apa yang juga penting, pelancong yang berkunjung ke piramid tidak perlu menunggu syarikat perjalanan untuk mendahului usaha ini.
Sebaliknya, pelancong boleh mengambil tindakan sendiri, dengan tidak mengambil bahagian dalam kegiatan menunggang kuda atau unta di sekitar piramid Giza.
“Unta dan kuda akan terus merana selagi orang ramai meneruskan kegiatan menunggang ini,” kata pegawai tanggungjawab korporat Peta, Cik Emily Guice. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg