KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) dan Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) mengaku tidak bersalah pada Khamis (20 Mei) dalam dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri ketika membeli permaidani di Nilai pada 2 Mei dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut Malaysia Gazette, usahawan berusia 32 tahun itu didakwa kerana gagal mengimbas butiran peribadinya pada aplikasi MySejahtera atau berdaftar secara manual maklumat peribadinya sebelum memasuki premis berkenaan.
Beliau telah membayar ikat jamin RM5,000 ($1,610).
Suaminya, PU Riz, 26 tahun, juga didakwa dengan kesalahan yang sama di samping tidak menggunakan pelitup. Beliau juga diikat jamin dengan RM5,000 bagi setiap kesalahan.
Keseluruhannya, mereka membayar ikat jamin RM15,000 ($4,829).
Kes ini dijadualkan dibicarakan pada 4 Jun.
Mereka dituduh di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) 2021.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan yang didakwa.
Pasangan ini telah memberi kenyataan di ibu pejabat polis Nilai pada 4 Mei selepas gambar dan video mereka di kedai permaidani itu tular di media sosial.
Pada 27 April, Neelofa diminta membayar kompaun kerana gagal mengamalkan jarak selamat sewaktu majlis persandingannya baru-baru ini dan kerana melanggar undang-undang merentas negeri dengan mengambil bahagian dalam kegiatan yang tidak dibenarkan polis. - Agensi Berita