Pengalaman sebulan dirawat di hospital kerana penyakit lupus yang menjejas sendi, otot serta bahagian lain pada badan sekitar awal 2024, membuatkan pelakon, pengacara dan usahawan busana, Izyan Mellyna Ishak, berehat daripada dunia seni selama setahun.
Ibu tiga anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun itu akui dirinya tidak putus-putus menangis dan dilanda kemurungan dek derita sakit yang dikesan pada 2016.
Kesan daripada penyakit itu, Izyan, 38 tahun, perlu berkerusi roda selama sebulan selepas keluar dari hospital kerana dilanda kelemahan yang membuatnya sulit berjalan seperti biasa.
Pada 2019, pelakon utama filem tentang ahli gusti wanita, Banting itu juga pernah dirawat selama sebulan di hospital kerana sejenis jangkitan otak yang dipanggil ‘fungal meningitis’ dan lupus yang biasanya menyerang wanita.
Lupus ini sering disebut sebagai penyakit yang menjejas daya ketahanan tubuh, di mana pesakit boleh mempunyai bahan antibodi yang menyerang tisu sihat dalam badan.
Kebiasaannya, antibodi melawan bakteria dan virus.
Bagaimanapun, selepas mengharungi tamparan lupus ini, Izyan yang bermula sebagai bakat cilik program kanak-kanak Ya Aliff mendapat semangat baru mengendalikan podcast, This Iz Podcast, yang menumpukan perhatian pada isu kesejahteraan dan kesihatan minda.
Beliau mendapat sokongan sahabat karibnya dalam bidang seni, Norman Ishak dan Adlina Adil, bagi menggerakkan podcast santai yang membuka minda dan mata Izyan pada pelbagai pengalaman dan cabaran individu yang diundang sebagai tetamu.
Sejak September 2024, podcast dalam bahasa Inggeris ini mencungkil trend sosial dan pengalaman peribadi tetamunya yang terdiri daripada rakan artis di Singapura seperti Norman Ishak, Adlina Adil, Siti Khalijah Zainal, Zaliha Hamid, Fir Rahman dan Fadhlur Rahman.
Setelah setahun berehat demi memastikan kesihatan dan pemakanannya lebih terjaga, Izyan pastinya terharu dan teruja apabila ‘dilamar’ Wisma Geylang Serai (WGS) sebagai pengacara ulang tahun keenam hab budaya, warisan dan seni itu, pada 25 Januari.
Fir Rahman digandingkan dengan Izyan sebagai rakan pengacara bagi acara Budaya Yang Disulam di Persada Budaya, mulai 7.45 malam, di Persada Budaya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 22 Januari lalu di ambang acara berkenaan, Izyan berkata:
“Inilah kali pertama saya mengacara program berskala besar buat WGS dan digandingkan dengan Fir sebagai pengacara.
“Sebelum ini, kami memang sudah banyak kali berlakon bersama. Saya pula pernah mengacara program anekaragam, Sheng Siong ‘Live’ di Suria tetapi untuk memulakan kalendar 2025 saya dengan tawaran mengacara untuk WGS, ia peluang keemasan setelah saya berehat setahun daripada penglibatan seni.
“Saya melihat WGS sebagai ruang berpotensi besar dan platform kukuh bagi menonjolkan pelbagai bakat yang kita miliki agar mereka dapat berkongsi pengalaman.
“WGS juga telah mengangkat seni dan budaya kita ke peringkat lebih tinggi dengan lokasi di Geylang sangat sesuai sebagai kunjungan bermacam lapisan penduduk.”
Menurut Izyan, pengalaman mengacara podcast mungkin membantu sedikit dalam beliau mengemudi acara meskipun premisnya berbeza sebab podcast menyediakan ruang lebih intim bagi bersembang secara bersahaja dengan tetamu.
“Tugas saya pada 25 Januari ini memerlukan lebih tenaga bagi menceriakan orang ramai yang hadir dan buat mereka lebih selesa dalam suasana perayaan ulang tahun WGS,” katanya.
Izyan akui beliau sebenarnya sudah lama ingin memulakan siri podcastnya sendiri, hasil perbincangan dengan Norman, tetapi mereka kerap menangguh rancangan itu kerana sulit memikirkan topik tumpuan podcast berkenaan.
“Saya cadangkan isu kesihatan mental, sesuatu yang mula meraih lebih perhatian warga Singapura di mana-mana. Kita pun perlu atasi tabu yang menghambat kita daripada berbincang secara terbuka tentang topik ini di samping peka apabila mengupasnya.
“Apabila kesihatan saya dah okey sedikit, saya tanya Norman, mengapa tidak kita mulakan sekarang? Jangan tangguh-tangguh sebab saya tak tahu bagaimana keadaan kesihatan saya nanti,” kongsinya.
Izyan dapati apabila berbual secara terbuka dengan rakan seninya, ada banyak perkara yang selama ini tidak disedari tentang pengalaman sebenar mereka menangani cabaran hidup tertentu.
“Saya dan pelakon serta pengacara, Fadhlur Rahman, akrab. Tapi selama ini, saya tak tahu beliau mempunyai anak perempuan dengan autisme.
“Selama ini, Fadhlur pun tidak pernah tunjuk atau kongsi tentang ujian hidupnya itu. Sebab itu, apabila kami perbualkan topik ini dalam rakaman podcast, mencurah-curah air mata saya. Terperanjat sebab tak pernah tahu.
“Saya juga tidak pernah memaksa dan mendesak tetamu saya untuk berkongsi lebih tentang pengalaman atau privasi hidup mereka. Terpulang kepada mereka. Saya nak mereka selesa mencurah pengalaman dalam sembang santai kami,” jelasnya.
Izyan gembira dan bersyukur mendapat maklum balas dalam bentuk pesanan langsung ke Instagram atau e-mel panjang daripada pendengar This Iz Podcast, yang berterima kasih kepadanya.
“Mereka tak rasa kesunyian sebab melalui perkara yang sama dengan saya atau tetamu yang saya undang.
“Alhamdulillah, mengendalikan podcast ini memberi saya semangat baru. Apabila saya berkongsi tentang kesakitan saya mengharungi lupus, saya juga dapat pesanan daripada pesakit lupus.
“Saya tak rasa kesunyian sebab rupanya, ada juga orang yang memahami kesakitan dan jerih payah saya. Mereka pun berkata, penjelasan saya tentang lupus membuatkan teman dan saudara-mara mereka lebih memahami keadaan mereka dan keterbatasan mereka. Tak perlu nak jelaskan lebih terperinci,” ujarnya.
Mengenai penerimaan anak-anaknya melihat ibu mereka sakit, Izyan berkata mungkin kerana mereka terlalu kecil bagi memahami situasinya, mereka tidak banyak merasakan impak situasinya sehingga menjejas kehidupan seharian.
“Ada tak ada, anak kedua saya yang lebih sensitif akan ingat setiap perkara membabitkan saya di hospital. Dia akan tanya mengapa ‘mummy’ selalu ke hospital? Apakah saya tidak ingatkannya?
“Abangnya pula lebih pendiam dan melahirkan perasaannya melalui tulisan, bukan secara langsung seperti dia rindukan saya tetapi dia akan tulis ‘Mengapa ‘mummy’ sudah lama tak balik?
“Yang bongsu pula macam tak perasan saya tiada di rumah selama sebulan. Macam kadangkala baru terasa, oh ‘mummy’ dah sebulan rupanya tak balik,” kata Izyan.
Dalam mengharungi usia yang hampir mencecah 40 tahun, Izyan akui beliau tidak seaktif dahulu dalam berkongsi kehidupan sehariannya di media sosial.
“Lainlah semasa zaman saya dikenali selepas filem Banting. Mentang-mentang orang dah kenal, saya ingat mereka nak tahu segalanya tentang kehidupan saya.
“Apabila dah berumur, saya lebih selesa simpan kisah kehidupan peribadi saya dan kongsi mana sahaja yang perlu,” katanya.
Beliau juga berpesan kepada orang di luar sana yang mengalami masalah kesihatan agar tidak mudah berputus asa.
“Kalau kita terus negatif, ia akan menjejas kesihatan minda kita. Daya minda kita pun boleh menjejas keadaan kesihatan fizikal kita. Semasa saya di hospital, asyik menangis sahaja sebab terasa lemah sangat.
“Tapi mak saya dan keluarga saya berpesan, saya tak boleh murung. Dari situ, saya bangkit perlahan-lahan dan rasa lebih tenang dan bersemangat kini,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg