Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

J. Mizan hargai 'Hari Ini dan Semalam' kerana peminat

Aug 14, 2022 | 06:07 AM



DARIPADA seorang budak pejabat yang suka menyanyi kepada bintang era 1970-an yang disanjung ramai kerana lagu 'hit' seperti Tiada Jalan Kembali dan Hari Ini dan Semalam.



Begitulah perjalanan hidup penyanyi veteran Singapura, J. Mizan atau nama sebenarnya, Jantan Mizan, kini 69 tahun, yang seangkatan dengan Datuk D J Dave, Datuk Hail Amir, Uji Rashid dan Halil Chik.



Hingga ke hari ini, beliau masih mengekalkan suara merdunya persis dalam kaset dan piring hitam yang dimainkan lebih lima dekad lalu.



Mizan yang masih gigih mencari rezeki sebagai pembantu kesihatan di Hospital Besar Ng Teng Fong di Jurong East Street 21 bahkan bersyukur masih ada lagu baru untuk dirakam ataupun acara untuk dijayakan baginya beramah tamah dengan peminat setianya.



Hasil ilham peneraju band rok Klutz, Shafiq Kamis, dan anak saudara Mizan sendiri, Salleh Nanang, yang lebih dikenali sebagai jurulatih sepak takraw, dua lagu baru tercipta untuk Mizan dendangkan.



Tak Kembali dan Raya Raya dihasilkan dalam tempoh pandemik dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat Mizan.



Raya Raya sebagai lagu Lebaran pertama Mizan yang dimuatnaikkan ke laman Facebook Berita Harian pada musim Raya lalu sudah ditonton sebanyak 12,500 kali.



Pada 3 September ini pula, beliau dan ikon pop-yeh-yeh Jeffrydin akan menghiburkan peminat di acara Blitz Event Management Pte Ltd, Mengimbau Kenangan Hi-Tea Bersama...di kafe The Malayan Council (cawangan Winstedt).



Ketika dihubungi Berita Minggu, Mizan berkata beliau memang suka aktifkan diri dengan tugasan atau kegiatan menjelang usia '70 sen'.



"Selagi sihat, saya masih lagi tolak pesakit di hospital dan membantu jururawat kanan memindahkan mereka ke katil atau dari katil ke kerusi roda.



"Sebelum ini jadi pengawal keselamatan. Memang tak bolehlah duduk lepak-lepak di rumah. Mesti nak buat sesuatu.



"Sebab itu, saya masih terima undangan menyanyi dan kini serahkan pada penganjur termasuk jika ada perancangan buat 'show' di Seberang Tambak.



"Saya hargai sokongan dan kepercayaan penganjur dan peminat untuk saya terus menghiburkan mereka selepas lebih lima dekad zaman kegemilangan era 1970-an berlalu," jelasnya.



Menurutnya, Shafiq dan Salleh banyak mendorongnya untuk kembali menyanyi dan menghasilkan lagu baru.



"Kalau tak kerana mereka, tak ada lagu baru J. Mizan. Saya pun hairan teman-teman selabel di EMI dulu ada lagu Raya. Saya sahaja tidak diberi lagu Lebaran. Apabila dah berusia, baru ubat rasa terkilan dengan lagu Raya pertama. Kata orang, biar lambat, asal tetap ada lagu Raya," jelasnya.



Mengimbas era keemasannya dahulu, Mizan yang menetap di Johor Bahru berhampiran Pasar Larkin bersama isterinya, berkata:



"Saya harus hargai jasa jiran saya, penulis lirik Tiada Jalan Kembali, Kamali Hudi, yang mengusulkan agar saya menjadi artis rakaman.



"Pada masa itu, saya menyanyi di kugiran orang kahwin Kamasutra. Beliau usulkan saya jumpa 'orang kuat' EMI, Kassim Masdor. Saya pergi ke pejabat EMI di MacDonald House dalam keadaan tak tahu-menahu saya pernah ke situ untuk kirim surat.



"Selain Abang Kassim, saya juga berurusan dengan S. Atan. Beliau memang garang. Salah sedikit kena marah. Sebab beliau pentingkan mutu. Tetapi selepas rakaman selesai, beliau memang baik hati."



Mizan puas bikin 'show fun fair' dengan Uji dan D J Dave malahan teringat detik pesawat tertunda ke Pulau Pinang dan tayar kereta yang memandu mereka ke lokasi acara pula pancit.



"Orang dah gegar pentas sebab kami belum sampai. Apabila kami sampai sahaja pada 9 malam, memang berdebar berdepan dengan peminat yang marah dan lama menanti.



"Terus kami nyanyi tanpa henti. Alhamdulillah, mereka okay selepas itu," ceritanya seraya ketawa.



Apabila ke Kuching, Sarawak, untuk menjelajah kem tentera dan komando bersama dua bakat Singapura, Kadir Lontong dan Ana Mariana selama tiga bulan, ia pengalaman menyeronokkan buat Mizan untuk kerja di rantauan.



"Dah macam-macamlah pengalaman yang dilalui seperti masuk kawasan pedalaman dengan menaiki bot laju dan angkut 'amplifier' sekali.



"Pada masa itu, saya buat 'show' bersama M. Daud Kilau dan A. Rahman Hassan," jelasnya.



Setiap yang manis dalam perjalanan seninya disimpan sebagai kenangan manakala yang pahit dijadikan iktibar.



Mizan akan ingat jasa mantan penyiar Suharti Ali menghasilkan lirik bagi lagu Senandung Hidup.



Beliau juga akan ingat detik suaranya hilang selama dua minggu di ambang konsert bersama Datuk Ramli Sarip dan kumpulan rok Indonesia, God Bless.



"Saya berdoa agar suara cari rezeki saya ini kembali kerana enggan jejas prestasi di pentas. Alhamdulillah, empat hari sebelum konsert, suara saya datang kembali.



"Begitulah kalau nak jadi penyanyi, kena banyak bersabar dan hargai peminat. Tanpa mereka, kita pun tak ke mana," tambahnya.



Nota: Bagi yang ingin temui J. Mizan pada 3 September ini, boleh lungsuri laman Facebook Blitz Event Management untuk tempah tiket $78 (seorang) dan $150 (dua orang).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >