Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MENJELANG HARI RAYA

J. Mizan kota impian rakam lagu Raya pertama

'Raya Raya' papar ceria bersua isteri di seberang selepas sempadan dibuka semula
Apr 27, 2022 | 05:30 AM



SEUMUR hidup bintang veteran era 1970-an, J. Mizan, bergelar penyanyi, tidak sekali pun beliau merakam lagu Hari Raya.



Justeru, memandangkan tahun ini cukup istimewa setelah dua tahun lamanya tidak bertemu dan pulang ke Pontian, Johor, untuk beraya dengan isteri tercinta, Mizan yang nama sebenarnya Jantan Mizan, 69 tahun, gembira dapat menghasilkan lagu Lebaran pertamanya.



Lagu Raya Raya itu hasil ilham jurulatih sepak takraw, Salleh Nanang, yang juga penggubah lagu dan penulis lirik.



Seperti lagu terdahulu Mizan, Tak Kembali, yang dicipta Salleh, Raya Raya juga mendapat sentuhan susunan irama pemuzik Shafiq Kamis.



Ketika dihubungi Berita Harian, Mizan yang terkenal dengan lagu Hari Ini Dan Semalam serta Senandung Hidup, berkata:



"Sejak saya berada di bawah naungan label EMI lagi, memang belum ada satu lagu Raya yang saya rakam.



"Jauh beza daripada artis EMI lain yang sekurang-kurangnya ada satu lagu Hari Raya sendiri. Macam Sharifah Aini, Uji Rashid, Hail Amir dan Halil Chik...mereka semua ada lagu Raya.



"Saya pun pelik mengapa tak terakam lagu Hari Raya ketika itu."



Baginya yang sudah lama idam-idamkan serta kepingin nyanyi lagu Hari Raya, tawaran Salleh bak pucuk dicita, ulam mendatang.



"Alhamdulillah, selepas asyik nyanyi lagu Hari Raya orang lain, saya kini ada lagu sendiri, Raya Raya.



"Dulu, peminat memang kerap bertanya, 'Mana lagu Hari Raya Mizan sendiri ya?' Sekarang, dah ada sendiri. Bolehlah saya nyanyikan di acara yang diundang. Salleh pula bukan orang lain...anak saudara saya sendiri," katanya lagi.



Beliau juga berterima kasih kepada Shafiq dari band rok Klutz kerana sudi membantunya.



Ditanya tentang perasaannya tentang Hari Raya yang bakal menjelang dalam masa kurang seminggu lagi, Mizan yang masih bertugas sebagai kakitangan di Hospital Besar Ng Teng Fong, berkata:



"Sejak pandemik melanda dua tahun lalu, keadaan sunyi sepi. Beraya pun ala kadar sebab tak boleh nak ke mana.



"Tahun ini, kelonggaran langkah sekatan dapat kita lihat. Selain dah boleh kunjung mengunjung, sempadan jalanan darat Singapura-Malaysia pun sudah dibuka semula.



"Saya terharu kerana dapat beraya dengan isteri. Kalau tidak, kami hanya buat panggilan video setiap hari. Beraya pun macam tu sebab beliau di Pontian, saya pula masih bekerja di Singapura."



Ini merupakan perkahwinan kedua Mizan selepas isteri pertamanya meninggal dunia pada Mac 2019 kerana jangkitan paru-paru.



Mengenang semula detik berlebaran dalam zaman kegemilangannya pada era 1970-an dahulu, Mizan berkata pastinya kenangan manis adalah ketika undangan untuk menyanyi di Malaysia dan Singapura tidak putus-putus.



Tahun ini, pada 14 Mei, beliau akan terlibat dalam satu persembahan Hari Raya, Malam Nostalgia 4 Generasi, anjuran Eco Blitz Pte Ltd dan Blitz Event Management Pte Ltd, di Singapore Repertory Theatre.



Ditanya mengenai ilham mencipta Raya Raya, Salleh menjelaskan beliau terdorong mencipta Raya Raya seawal Februari lalu ketika mendengar lagu Lebaran di YouTube.



"Saya terfikir bapa saudara saya memang tiada lagu Hari Raya walaupun sudah lebih empat dekad menyanyi.



"Saya pun buat lirik lagu ini. Ia memang muncul tepat pada masanya. Saya berbincang dengan Shafiq. Beliau pun bantu dengan susunan lagu ini. Terhasillah Raya Raya.



"Jalan cerita lagu ini bersandarkan keadaan kita yang bersyukur kerana sudah dua tahun tidak beraya pada skala lebih besar malah tidak dapat kunjung mengunjung seperti selalu kerana Covid-19.



"Tidak banyak cabaran menghasilkan lagu ini. Ia lebih pada jadual harian saya kerana sibuk melatih anak didik dalam sepak takraw. Kadang kala letih sedikit apabila pulang rumah.



"Namun, apabila berurusan dengan orang yang arif dalam bidang muzik seperti Shafiq dan yang berpengalaman macam Mizan, kerja kita jadi ringan. Alhamdulillah, proses rakaman hanya mengambil masa sejam 15 minit," kongsinya.




"Sejak pandemik melanda dua tahun lalu, keadaan sunyi sepi. Beraya pun ala kadar sebab tak boleh nak ke mana.



Tahun ini, kelonggaran langkah sekatan dapat kita lihat. Selain dah boleh kunjung mengunjung, sempadan jalanan darat Singapura-Malaysia pun sudah dibuka semula. Saya terharu kerana dapat beraya dengan isteri. Kalau tidak, kami hanya buat panggilan video setiap hari. Beraya pun macam tu sebab beliau di Pontian, saya pula masih bekerja di Singapura."
- J. Mizan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >