Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jac pernah dipandang serong kerja kelab malam umur 18 tahun

Jun 18, 2024 | 5:30 AM
Jaclyn Victor
Konsert solo, Jaclyn Victor, selepas dua dekad dalam arena seni suara bakal direalisasikan di Zepp KL pada 12 Oktober. - Foto INSTAGRAM JACLYN VICTOR

Genap 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, Jaclyn Victor, kini sememangnya tersenarai sebagai antara penyanyi prolifik yang mempunyai vokal ampuh yang tiada tolok bandingnya.

Pengalaman beraksi di pentas ‘live’ pada usia muda disusuli penyertaan pertandingan realiti, Malaysian Idol, mematangkan perjalanan seni pemilik nama lengkap, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu.

Namun, siapa sangka, dalam mengejar impian dan membantu ibu tercinta mencari rezeki, beliau pernah berdepan pandangan skeptikal individu yang tidak memahami konsep menghiburkan pengunjung di pusat hiburan.

Dihina nyanyi di kelab

Menurut Jaclyn atau mesra disapa Jac, beliau pernah dihina seorang pemandu teksi yang menganggap pekerjaannya memalukan.

“Ketika itu saya masih muda, berusia dalam lingkungan 18 tahun tetapi sudah bekerja di sebuah pusat hiburan untuk menolong ibu mencari rezeki.

“Setiap hari saya berulang naik teksi dan tentu sahaja dalam perjalanan saya bertemu dengan ramai pemandu.

“Namun, saya berhenti berkongsi pekerjaan saya apabila suatu hati saya menaiki teksi seorang pemandu yang skeptikal dengan pekerjaan saya sehingga bertanya sama ada ibu saya tahu saya menyanyi di kelab malam,” katanya ketika ditemui majalah web, HibGlam.

Enggan mengenang kisah lampau serta mengingati pandangan negatif orang terhadap pekerjaan pertama yang dilakukannya sebelum menjuarai Malaysian Idol, Jac mengakui ibunya, Cik Maggie Victor, menjadi pendorong utama kerjaya seninya.

Sering juara

Tidak hairan, beliau tidak pulang dengan tangan kosong setiap kali memasuki pertandingan.

Selepas mencetuskan fenomena, Malaysian Idol, musim pertama pada 2014, 18 tahun kemudian, Jac kembali bergelar juara menerusi program, Gegar Vaganza musim sembilan (GV9).

Bahkan, pencapaian membanggakan itu diteruskan ketika All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada 2023 apabila beliau menewaskan ramai penyanyi berpengalaman lain dalam program tersebut.

Kini, sekali lagi anak sulung daripada empat bersaudara itu akan membanggakan keluarga apabila bakal tampil dalam konsert solo pertama.

Selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku sebagai anak seni, akhirnya impiannya berada di pentas mega secara solo bakal menjadi kenyataan pada 12 Oktober.

Konsert solo hadiah bermakna

Kemunculan di Zepp Kuala Lumpur nanti disifatkan sebagai hadiah bermakna dalam kerjaya seninya sekali gus menjadi penanda aras dalam berkarya.

“Konsert ini sangat bermakna bagi saya. Penanda aras untuk tempoh 20 tahun saya dalam industri ini dan masa untuk memberi semula kepada penyokong saya.

“Bukan mudah perjalanan untuk kekal relevan dalam industri tanpa sokongan hebat peminat membuatkan saya sangat teruja,” katanya ketika sidang media, ‘Jaclyn Victor First Solo Concert’ di Kuala Lumpur.

Ditanya kenapa baru sekarang mahu merealisasikan sebuah konsert solo, Jaq mengakuinya sebelum ini beliau ragu terhadap penerimaan ramai.

“Dulu saya selalu bertanya pada diri sendiri, kalau saya buat konsert, ada atau tidak orang datang. Mungkin orang kenal Jaclyn Victor, tapi tidaklah popular mana.

“Tambahan lagi, saya tidak ke depan dalam menggunakan media sosial. Artis baru pengikut berjuta. Saya pula, bertungkus lumus, kerja keras tapi pengikut media sosial sedikit.

“Cuma saya sudah fikirkan. Inilah masanya. Selepas 20 tahun, saya hadiahkan konsert solo yang pertama,” ujarnya dengan penuh semangat.

Tolak tawaran

Demi memberi tumpuan terhadap konsert solonya itu, pelantun lagu, Gemilang, ini mendedahkan terpaksa menolak beberapa tawaran lain.

“Saya tolak dengan cara baik tawaran mengadakan konsert lain. Jika tahun depan (2025) dapat (tawaran) saya boleh fikirkan, tahun ini (2024) saya fokus untuk ini,” katanya lagi mengenai projek antara Rag Doll Records dengan Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production itu.

Mengenai persedian menghadapi persembahan mega itu nanti, penghibur asal Kepong, Selangor itu lebih memberi keutamaan terhadap vokal.

Menurut Jac lagi, persediaan lain adalah mengikuti persembahan mahupun konsert penyanyi lain sebagai suntikan semangat.

Tiket bagi menyaksikan konsert solo pertama Jaclyn sudah mula dijual menerusi www.livepass.asia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg